JOM FOLLOW

Saturday, 14 June 2014

Suami Pilihan Dia [bab 5]





Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...


BAB 5

Tengah hari itu, perubahan air muka dan moodku dikesan oleh Puan Shimah. Terus dia mengajak aku berborak-borak dengannya.Aku cukup yakin dia ingin mengorek rahsia hatiku. Ah… kadang-kadang aku fikir Puan Shimah dan Syamil sama aje. Suka sangat ambil tahu hal peribadi aku. Kenapa? Tidak bolehkah mereka menganggap aku sebagai pekerja saja  di rumah ini.

“Kenapa Leen monyok aje hari ni? Syamil pun macam tu.” Ujar Puan Shimah sebaik saja kami berdua duduk mengambil angin di pangkin.

Aku berjeda buat seketika sebelum menjawab soalan Puan Shimah. Apa yang harus aku jawab? Aku sendiri tidak tahu untuk memberikan jawapan seperti apa.

“Leen okey aje puan.” Akhirnya hanya itu yang terluah. Harap-harap Puah Shimah dapat terima jawapanku.
Namun harapanku meleset. Wanita itu sekali lagi bertanya.

“Kalau okey Leen mesti dah tersenyum ceria hari ni seperti selalu. Aunty tengok Leen lain aje hari ni. Syamil pula mula termenung semula. Sejak Leen muncul dalam rumah ni, dah banyak perubahan yang aunty nampak dalam diri dia. Kalau dua tahun lalu, sukar betul untuk kami semua melihat senyuman dan percakapan mesranya. Sekarang, Syamil dah kembali menjadi dirinya. Aunty yakin semua tu sebab Leen.”

Dalam hati aku mengeluh lemah. Kenapa hal itu masih berbangkit.  Aku bukan siapa-siapa yang berjaya buat Syamil berubah. Lelaki itu berubah sebab sudah tiba masanya untuk dia berubah. Mungkin dia sudah mampu menerima setiap apa yang berlaku dalam hidupnya.

Kebisuanku buat Puan Shimah menggamit tanganku kemas. Apa yang pernah diucapkan olehnya beberapa bulan yang lalu sekali lagi terucap hari ini. Aku terpana lagi.

“Aunty berhajat untuk meminang Leen untuk Syamil. Kali ni, pinangan aunty bukan dari aunty atau uncle tapi dari Syamil sendiri. Dia mula sukakan Leen.” Hampir saja aku pitam mendengar kata-kata yang baru terluah dari bibir Puan Shimah itu. Syamil melamarku? Benarkah?Dia mula sukakan aku? Tak mungkin.

“Percayalah Leen. Tanya Syamil sendiri kalau Leen tak percaya cakap aunty ni. Semalam Syamil meluahkan perasaannya di depan uncle dan aunty. Dia minta aunty lamar Leen untuk dia. Dah lama aunty tunggu berita gembira ni sayang. Akhirnya hati Syamil terbuka lagi untuk menerima perempuan lain menjadi isterinya. Aunty bersyukur sangat.” Puan Shimah memelukku kemas. Dikucup dahiku berkali-kali bagai meraikan berita gembira ini.

Aku bingung. Benarkah Syamil sukakan aku dan ingin menjadikan aku isterinya? Sejak bila dia mula sukakan aku? Kenapa selama ini layanannya terhadapku hanya biasa-biasa saja. Mungkinkah benar perubahan dirinya semenjak dua menjak ini yang lebih ramah dan mesra menegurku di sebabkan oleh perasaan sayangnya yang mula bercambah untukku?

Atau mungkin Syamil lakukan semua ini semata-mata terdesak dengan desakan ibu bapanya dan perasaan sayangnya terhadap Amin? Lelaki itu memang terlalu sayangkan Amin. Menganggap anak kecilku itu seperti anaknya sendiri. Mungkinkah sebab itu dia ingin mengambilku sebagai isterinya? Menjadikan aku pengganti arwah isterinya dan menjadikan Amin pengganti anaknya? Hanya sebagai teman pengganti? Bukan kerana betul-betul dicintai?


*********

Petang itu selesai menyiapkan kerja rumah, segera aku mengangkat kaki keluar dari rumah agam itu. Lamaran yang disampaikan oleh Puan Shimah aku jawab dengan satu jawapan. Bagi aku masa untuk berfikir. Itu saja yang mampu aku lakukan. Aku tidak sanggup untuk merasa kecewa lagi. Andai Syamil benar-benar ingin berkahwin dengan aku bukan kerana benar-benar cintakan aku, tak guna aku menerima lamaran itu. Aku tidak mahu disakiti lagi.

Petang itu aku pulang sebelum Syamil pulang dari tempat kerja. Aku tidak ingin bertembung dengannya apa lagi berdepan dengan soala-soalannya yang mampu buat hati aku beremosi lebih.

Patutkah aku berhenti kerja aje di rumah itu? Tapi kalau aku tak kerja, bagaimana dengan kehidupan aku dan Amin? Ya Allah… bantulah aku menyelesaikan segala kekusutan ini.

Sedang aku menunggu teksi untuk pulang, tiba-tiba saja ada sebuah kereta berhenti dipinggir jalan. Cukup aku kenal dengan si pemilik kereta itu. Dari sebarang jalan, aku dapat lihat dengan jelas renungan tajam Syamil memandang ke arahku.

Dengan berhati-hati lelaki itu melintas jalan. Dia berlari anak mendapatkan aku dan Amin. Kupeluk erat Amin. Beg galas segera kucapai dan akhirnya aku bangun bersedia untuk melangkah pergi dari situ.

“Nak pergi mana? Kenapa tak tunggu saya balik hantarkan awak?” soal Syamil dengan nada suara yang agak keras. Aku menelan liur. Serius benar wajah lelaki itu. Bagaikan aku sudah melakukan kesilapan yang sangat besar.

“Leen nak balik cepat. Sebab tu Leen balik dulu.” Jawabku agak takut-takut. Sudah aku terbiasa dengan muka serius Syamil tapi apabila lelaki itu bernada keras, hatiku berasa sedikit sedih. Kenapa dia seperti ingin memarahi aku?

“Dah. Sekarang biar saya hantar awak balik. Mulai esok, saya akan datang ambil awak dan hantarkan awak pulang. Faham? Meh sini Amin biar saya dukung.” Tidak seperti biasa kali ini Syamil mengambil kasar Amin dariku. Masam wajahnya seperti marah dengan aku kerana tidak menunggunya di rumah.

Syamil merampas pula beg galas yang terisi dengan barangan bayi Amin. Digalas di bahunya lalu dia melangkah ke tepi jalan. Aku pandang dia lama. Sikapnya betul-betul seperti ayah kepada Amin. Memang betul kata arwah Makcik Piah. Adam Syamil memang seorang lelaki yang cukup bertanggungjawab dan penyayang.

Kerana sikapnya itulah buat aku suka padanya. Tapi tidak pula aku tahu perasaan sebenarnya terhadapku. Lamaran itu adakah benar lahir dari hatinya?

“Leen… cepat. Hari pun macam dah nak hujan aje ni.” Suara Syamil mengejutkanku dari lamunan. Segera aku menyeka air mata yang bergenang. Terus aku membuntutinya melintas jalan.

Masuk saja dalam kereta Syamil terus menghidupkan enjin kereta dan membuat pusingan U. Aku diam di tempat duduk tanpa dapat memalingkan muka ke mana-mana. Memikirkan lamaran Syamil buat hatiku jadi segan berdua-duaan dengannya seperti ini.

“Mama cakap dia dah beritahu awak pasal lamaran saya. Kenapa awak tak terima? Awak… awak tak rasa apa yang rasa? Hmm?” Syamil menoleh ke arahku. Aku kaku di situ tanpa dapat membalas renungannya. Aku bukan menolak. Aku Cuma perlukan masa.

“Leen… please say something…” Suara lembut Syamil menyapa ke telingaku. Apa yang harus aku jawab lagi.

“Leen belum bersedia.” Ujarku sebaris. Jawapanku itu buat Syamil menghentikan keretanya di pinggir jalan. Aku kaget dengan perbuatannya. Terus aku pandang dia.

“Belum bersedia atau awak memang tak sukakan saya?” Soalan itu muncul di bibirnya.

Bukan! Jawabku dalam hati. Sayangnya ia tak terluah di bbir.

“Atau masih berharap dapat bersatu dengan bekas suami awak?” Sekali lagi aku terpana. Aku tarik nafas panjang. Tak pernah terlintas di fikiranku untuk kembali pada Farhan. Takkan pernah!

“Leen tak mungkin kembali pada dia.”

“Dah tu kenapa tak terima saya?” soal Syamil agak tertekan. Kecewakah dia apabila aku tidak memberi jawapan di atas lamarannya?

“Sejak bila tuan sukakan Leen? Leen janda anak satu. Orang biasa. Orang takde harta. Leen tak layak untuk Tuan Syamil.” Kata-kataku buat Syamil mendengus keras. Dia keluar dari kereta dan memaksa aku juga keluar sama.

“Keluar. We need to talk.” Arah lelaki itu sambil sebaik saja membuka pintu kereta. Aku terpaksa keluar sambil mendukung Amin. Untuk memandang Syamil aku sudah tidak berdaya. Lelaki itu kelihatan tengah berserabut betul sekarang. Habis dilonggarkan tali leher dan lengan baju kemejanya pula disingkap hingga ke siku.

Syamil berdiri di hadapan aku sambil bercekak pinggang.

“Awak betul nak tahu sejak bila saya sukakan awak?” Aku diam. Nak angguk malu, nak geleng sayang. Ya memang aku nak tahu!

“Bermula dari saya tengok awak duduk di perhentian bas setelah saya menolak untuk menghantar awak pulang. Bukan mama yang paksa saya untuk keluar hantar awak pulang masa tu.  Tapi hati saya. Hati saya yang meronta-ronta untuk kembali mencari awak. Saya risau kalau ada sesuatu yang tak elok berlaku pada awak.”

Benarkah apa yang aku dengar ini? Tapi kenapa Syamil masih melayan aku dingin selepas dari kejadian itu? Dia berbaik dengan aku apabila aku membawa Amin ke vila itu. Tidakkah itu bermaksud dia hanya sukakan Amin bukan aku? Dan andai dia memang sukakan aku. Kenapa di saat Puan Shimah melamar aku pada kali pertama, Syamil terus menolak. Kalau suka kenapa tolak?

“Tiga tahun saya hidup kesunyian tanpa kehadiran orang yang saya sayang. Mungkin tiga tahun satu tempoh masa yang terlalu singkat untuk seseorang mencari pengganti isterinya. Tapi tiga tahun saya dengan tiga tahun orang lain berbeza. Selama tiga tahun saya hukum diri saya dengan apa yang berlaku. Saya tak mampu terima hakikat isteri dan anak saya meninggal dalam kemalangan kerana kecuaian saya memandu. Takde orang faham perasaan bersalah saya pada mereka.” Syamil berhenti berkata-kata. Dia meraup-raup mukanya bagai menyesali apa yang berlaku.

Simpati. Itu yang aku rasa pada Syamil.Pasti perit menanggung perasaan bersalah itu. Aku juga pernah menanggung perasaan seperti itu. Aku rasa bersalah pada arwah Mak cik Piah kerana aku sebagai anak angkatnya gagal untuk membahagiakan dirinya di saat-saat akhir hidupnya. Kadang-kadang terlintas dihati aku mengenai satu perkara. Andai aku bersetuju menerima lamaran pertama Puan Shimah dulu, pasti Mak cik Piah akan sangat gembira dan kesihatannya akan lebih membaik. Tapi aku menolak. Dan akhirnya Mak cik Piah pergi tanpa dapat aku menunaikan permintaan terakhirnya untuk menerima Syamil dalam hidupku.

“Kehadiran awak buat saya merasa ingin mencintai dan dicintai sekali lagi. Saya yakin dengan perasaan saya. Bukan saya yang minta perasaan ni hadir dalam hati saya, Leen. Tapi Dia yang hadirkan perasaan ni untuk saya. Saya sayangkan awak.  Saya nak lindungi awak. Saya nak jaga Amin. Terimalah saya sebagai suami awak…”

Syamil merayu dengan suara perlahan. Aku gelengkan kepala tidak mampu menerima lamarannya. Aku tak yakin dengan perasaan Syamil. Aku takut, aku bakal disia-siakan lagi. 

“Awak betul-betul tak sukakan saya? Awak… awak sukakan lelaki lain? Hmm?” Syamil menyoal lagi. Aku bingung untuk bersuara.

“Leen nak balik. Hantar Leen balik tuan….” Hanya itu yang mampu terluah. Segera aku masuk ke dalam kereta dan mengemaskan pelukanku pada Amin. Anak kecil itu sudah lena dalam dakapanku. Sebaik saja Syamil  masuk ke dalam kereta, aku terus memalingkan muka tanpa memandang ke arahnya lagi.

Syamil tidak lagi menyoal apa-apa soalan. Dari air mukanya, aku dapat rasakan lelaki itu sedang kecewa.
Dia diam, aku diam. Akhirnya kebisuan menghiasi ruang antara kami.


*********

Malam itu, aku duduk berteleku lama di tikar sembahyang. Solat sunat Istikharah aku tunaikan memohon petunjuk dari Allah SWT. Hanya Dia yang mampu membantu aku menyelesaikan segala keluh kesah hatiku ini.

Kenapa hati aku sukar untuk yakin dengan cinta Syamil terhadapku? Aku tahu lelaki itu seorang yang baik dan bertanggungjawab. Tapi ini mengenai hati. Aku takut andai Syamil mencintai aku kerana terpaksa dan terdesak. Aku dah tak sanggup nak hidup merana kerana perbuatan seorang lelaki.

“Ya Allah, aku memohon petunjuk memilih yang baik dalam pengetahuanMu, aku mohon ditakdirkan yang baik dengan kudratMu, aku mengharapkan kurniaMu yang besar. Engkau Maha Kuasa dan aku adalah hambaMu yang dhaif. Engkau Maha Tahu dan aku adalah hambaMu yang jahil. Engkau Maha Mengetahui semua yang ghaib dan yang tersembunyi…

Ya Allah, jika Adam Syamil dalam pengetahuanMu adalah baik bagiku, baik pada agamaku, baik pada kehidupanku sekarang dan masa datang, takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku kemudian berilah aku berkah daripadanya…

Tetapi jika dalam ilmuMu hal ini dia akan membawa bencana bagiku dan bagi agamaku, membawa akibat dalam kehidupanku baik yang sekarang ataupun pada masa akan datang, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Semoga Engkau takdirkan aku pada yang baik, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu. Amin… Amin ya rabbal ‘alamin…”


********

Pagi-pagi lagi aku sudah dikejutkan oleh bunyi hon kereta yang dibunyikan bertalu-talu di laman rumah. Aku yang baru ingin menyusukan Amin segera menyarung tudung lalu melangkah ke ruang tamu. Dari celah tingkap aku memerhatikan gerangan siapakah yang pagi-pagi lagi sudah membuat bising di hadapanku rumahku.

Aku agak terkejut melihat Syamil sedang menekan-nekan hon kereta bagai memaksa aku untuk keluar menemuinya. Segera aku membuka pintu rumah dan turun mendapatkannya.

“Kenapa dengan tuan ni? Bising tau tak. Malu jiran tengok.” Aku membebel panjang dengan sikap keanak-anakan Syamil. Tidak bolehkah lelaki itu lebih beradab dengan memberi salam. Sengaja nak buat bising dan tarik perhatian.

“Saya suka dengar suara awak membebel.Saya memang sengaja nak buat bising pun.” Ujar Syamil bersahaja. Aku mengerutkan kening. Malas nak melayannya aku segera naik ke rumah. Entah apa tujuan lelaki itu datang ke sini pagi-pagi begini. Adakah dia masih berkeras untuk aku menerima lamarannya?

“Mama suruh saya jemput awak. Kami sekeluarga akan balik kampung. Kak Som pun ikut sekali. Mama nak awak juga ikut sekali.” Tiba-tiba Syamil bersuara. Aku berpaling ke belakang memandangnya. Balik kampung? Tiba-tiba aje kenapa?

#bersambung....

*Balik kampung untuk apa? KAHWIN?


11 comments:

  1. walaupun sye x bce dri mula, tpi cter akaq mmg best..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau sudi, boleh baca dari awal hehe
      Mekasih alhamdulillah. *Moga Allah redha*

      Delete
    2. hri ni bru berkesempatan bace dri awal cter ni.. memang best..huhu..
      ssuai je lagu ni dng cter ni..
      moga akaq terus sucsess..

      Delete
  2. emm xingtlah. leen balik then ad yg xsuka leen ke mcm mna ya? sungguh xingt pulk part yg ni. huhu

    xpelah... tnggu next bab. rajin2 update cepat ya. hihihi ;)

    (AinaaAzlan)

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe... kalau tak ingat sila baca bab selepas2 ni.hahaha
      InsyaAllah akak akan bergegas update ;)

      Delete
  3. Errkkk...nape ajk blk kg??nak knalkan ngn sedara ke...hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kenapa kenapa kenapa?hehe.... mungkin ya mungkin tak.

      Delete
  4. Kak FI , awat banyak sangat mungkin ? Dan kenapa Syamil ajak balik kampung ???
    Menimbulkan suspen betul .
    Apapun semakin best dan menarik ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kenapa?? jenggg.. mane leh habaq...hehe
      Mekasih miss sunshine Alhamdulillah ^^

      Delete
  5. Assalamualaikum,
    saya adalah salah seorang pembaca novel di blog ini. Berminat tak untuk menerbitkan sendiri novel dalam bentuk ebook?
    pihak kami akan menyediakan platform(ruangan) kepada penulis-penulis untuk menerbitkan karya-karya mereka dalam bentuk ebook untuk dijual terus kepada pembaca.
    Jika berminat sila hubungi penulis@appnovella.com untuk penjelasan lanjut

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam. Dalam bentuk ebook? OK. InsyaAllah saya akan pertimbangkan :)
      Menarik ni..

      Delete