JOM FOLLOW

Sunday, 26 April 2015

Mencari Si Pelengkap Hati [BAB 3]



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


BAB 3

“Okey kelas. Buka muka surat lima belas.” Suara Cikgu Kalsom kedengaran jelas di ruang kelas. Cikgu yang mengajar subjek Pengajian Am bagi tingkatan enam rendah ini pantang kalau pelajarnya main-main dan tidur saat dia mengajar. Pantang tahap terus denda pelajarnya berdiri atas kerusi sehingga tamat sesi pembelajaran.

Seperti pelajar lain, aku turut membelek muka surat yang sama. Namun, fokusku terus hilang di bawa angin. Mengelamun entah ke mana. Suara Cikgu Kalsom tidak lagi kedengaran.

Mood untuk belajar sebenarnya sudah 98 peratus terpadam dalam diri. Namun, apabila memikirkan kesungguhan ibu ingin melihat aku berjaya, aku gagahkan jua meneruskan sesi persekolahan di tingkatan enam ini. Walau hati kata tidak mahu teruskan, demi ibu aku gagahkan juga.

Keputusan SPM agak mendukacitakan. Hanya memperolehi satu A. Itupun dalam Bahasa Melayu. Syukurlah Bahasa Melayu aku lulus. Yang lain? Hmm… cukup-cukup makan. Walaupun begitu, aku tetap masih berjaya menggenggam Sijil Pelajaran Malaysiaku sendiri. Satu kejayaan terbesar dalam kamus hidup gadis bernama Nuha Huda binti Abdullah.

Demi melihat aku selangkah lagi berjaya seperti orang lain, ibu menyuruh aku masuk ke alam tingkatan enam. Sambung belajar, buat dengan lebih bersungguh-sungguh demi peluang untuk aku berjaya ke menara gading menjadi lebih cerah.

Aku ikutkan saja kata ibu. Kupaksakan diri untuk menempatkan diri di sekolah ini kembali. Walaupun ramai kawan yang mengejek dan mengatakan aku tidak usah bersusah payah menyambung pelajaran, aku tebalkan muka dan cekalkan hati untuk teruskan. Semuanya kerana IBU!

Mak Su Kinah dan Pak Su Azam tak habis-habis memerli aku. Kata mereka, usahlah aku sambung belajar lagi. Pergi saja ke Kuala Lumpur mencari kerja. Kalau tak ada kerja sangat, buat saja kerja seperti yang pernah ibuku lakukan dulu.

Ya Allah, sungguh hati ini menangis saat mendengar penghinaan Mak Su Kinah itu. Sanggup wanita itu menghina darah dagingnya sendiri semata-mata demi dendam tak berbalasnya itu. Entah sampai bila Mak Su Kinah akan berhenti membenci ibu. Tidakkkah wanita itu tahu bahawa ibu sangat menyayanginya?

“Nuha Huda!” Aku tersentak kuat. Berdiri tegak aku tanpa tahu siapa yang sebenarnya memanggilku.

Tengok-tengok saja Cikgu Kalsom sudah berdiri di hadapan dengan jelingan ‘mata pisaunya’. Tajam.

“Awak menungkan siapa? Hmm? Saya panggil berkali-kali tak dengar. Otak awak ada dekat mana sekarang? Dah sampai mana dah?” Pedas kata-kata yang Cikgu Kalsom keluarkan. Buat aku menekur memandang meja. Rasa malu menyapa hati.

“Tak payah buat-buat tengok bawah. Jawab soalan saya tadi. Kalau tak…”

“Assalamu’alaikum…”

Semua mata mula beralih ke pintu kelas. Aku pun pandang sama ke situ.

“Boleh saya jumpa Nuha Huda sekejap, cikgu?” Cikgu Ihsan tersenyum. Dia berdiri di hadapan pintu kelas sambil membimbit buku kerja yang bertimbun banyak.

Semua mata mula memandang ke arah aku dan Cikgu Kalsom. Saat itu Cikgu Kalsom hanya menggunakan isyarat mata bagai memberi keizinannya. Langsung tak bersuara.

Lambat-lambat aku melangkah ke arah Cikgu Ihsan. Ada apa pula cikgu nak jumpa aku ya? Hisy, takkan sebab kejadian di tempat rahsia aku tadi tu.

“Ikut cikgu kejap,” arah Cikgu Ihsan sambil mendahului langkah.

Kami bergerak masuk ke taman sains yang terletak di tepi bangunan Blok A. Cikgu Ihsan mengarahkan aku duduk di atas bangku batu. Aku hanya menurut.

Beberapa minit berlalu, lelaki itu masih belum mengeluarkan sepatah kata. Sebaliknya dengan selamba dia sibuk dengan kerja buatnya. Buku kerja pelajar dibelek-beleknya tenang.

Sedikit bingung aku melihat apa yang sedang dilakukan oleh Cikgu Ihsan. Dia sibuk dengan kerjanya dan aku dibiarkan seorang diri? Jadi apa motif dia nak jumpa aku tadi?

Masih tidak bersuara, Cikgu Ihsan terus kusyuk menanda buku latihan pelajarnya dengan pen merah. Pangkah, right. Pangkah, right. Sesekali lelaki itu menulis sesuatu pada buku. Mungkin komen atau arahan pembetulan.

Detik masa terus berlalu. Aku makin tidak faham jadinya. Apa tujuan Cikgu Ihsan memanggil aku andai dia sekarang sedang fokus menanda buku pelajarnya? Perlu ke aku yang bersuara terlebih dahulu?

“Erm… kenapa cikgu nak jumpa saya?”

Tangan Cikgu Ihsan berhenti menanda. Diangkat mukanya lalu matanya merenung tepat ke mataku. Dia tersenyum. Aku pula yang jadi kurang selesa. Terus aku tunduk.

“Saja.”

Bibir kuketap perlahan. Macam nak main-mainkan aku aje.

“Tak boleh ke cikgu nak selamatkan awak dari Cikgu Kalsom tu?” Cikgu Ihsan kembali menyambung kerjanya.

Aku sudah mula panas punggung. Itu saja penyebabnya? Selamatkan aku dari Cikgu Kalsom? Untuk apa? Hisy, tak fahamnya.

“Saya tak faham. Apa maksud cikgu?”

“Duduk aje dekat situ. Dua minit aje lagi. Duduk diam-diam.” Arahan Cikgu Ihsan berjaya membuat aku menjadi makin bingung. Apa tujuan sebenar dia ni.

Walaupun aku masih tidak berpuas hati dengan jawapannya, aku hanya mampu mendiamkan diri. Yalah dia tukan cikgu. Aku ni anak murid aje. Dua minit saja lagi, Nuha. Sabar.

“Makan apa time rehat tadi?” Muncul soalan itu dari mulut Cikgu Ihsan. Tapi dia langsung tak angkat muka pandang muka aku. Fokus saja dia dengan kerjanya.

“Erm, minum air aje,” balasku perlahan.

Aku terus perhatikan dia menanda buku pelajarnya. Sesekali aku pandang sekeliling. Mujurlah ketika itu waktu P & P. Semua pelajar boleh dikatakan sedang berada di dalam kelas. Kalau ini waktu rehat, sudah pasti ada pelajar yang memandang pelik pertemuan aku dan Cikgu Ihsan di tengah-tengah taman ni.

“Kenapa minum air aje? Kenapa tak makan?” soal lelaki itu lagi. Masih menekur menanda buku.

“Erm… saja.”

Dan jawapanku itu berjaya membuat Cikgu Ihsan mengangkat kepala. Anak matanya sekali lagi tajam merenungiku.

“Dah tak ada jawapan lain ke?” Keras bunyi suaranya. Berubah serius air mukanya. Adakah aku sudah tersalah jawab? Dah memang itu jawapannya. Jadi aku jawablah macam tu.

“Saya masuk kelas dulu, cikgu. Dah lebih dua minit ni.” Terkocoh-kocoh aku bangun. Keseriusan wajah Cikgu Ihsan yang berkulit sawo matang ini benar-benar buat aku kecut perut. Macam marah aje.

“Esok waktu rehat datang ke bilik guru. Ada benda cikgu nak bincangkan dengan Nuha. Faham?”

Tak. Aku memang tak faham.

Tolonglah, cikgu. Saya bukan pelajar kelas cikgu. Cikgu tak pernah mengajar saya. Cikgu hanya seorang guru yang saya kenal dalam sekolah ni. Tak lebih dari tu. Tapi kenapa cikgu nak ambil berat sangat pasal saya ni?

Andai saja aku mampu meluahkan semua itu. Itulah yang ingin aku katakan padanya.

“Faham?” Cikgu Ihsan terus menekan.

Perlahan-lahan aku anggukkan kepala.

Good. Nuha boleh masuk kelas sekarang.”

Aku angguk lagi. Dengan perasaan yang bercelaru aku segera pergi dari situ.

Aku tak faham kenapa aku mesti jumpa dia esok. Hal apa pula? Memang aku tak faham.


********

Petang itu, tepat jam 4.45 petang barulah kaki ini menjejak laman rumah. Semuanya gara-garanya bas sekolah rosak di tengah jalan. Biasanya, aku memang pulang awal ke rumah. Pukul dua petang balik dari sekolah. Balik-balik saja terus aku sediakan makan tengah hari sekali dengan makan malam untuk anak-anak Mak Su Kinah dan suaminya, Pak Su Azam.

Mak Su Kinah biasalah, kerja. Kerja sebagai tukang jahit di butik kawan baiknya, Kak Midah. Pukul lima tamatlah waktu kerja dia. Tapi dia selalu balik awal setengah jam. Konon nak siapkan makan minum anak-anak. Sudahnya dia sedap-sedap tidur, aku ni jugalah yang kena uruskan semuanya. Hmm…

Ibu pula pulang lewat petang. Pukul tujuh malam baru ibu sampai ke rumah. Ibu bekerja sebagai pembantu tukang masak di restoran yang terletak di pekan. Waktu kerja ibu memang bermula awal pagi dan pulang lewat senja. Itulah rutin harian kami semua. Masing-masing sibuk dengan kerja masing-masing.

“Baru ingat nak balik! Kau pergi mana, hah?!” Melangkah saja aku ke ruang tamu, aku diserbu dengan suara petir Mak Su Kinah. Perempuan itu duduk di atas sofa sambil berpeluk tubuh. Mencerlung matanya memandangku.

“Err… bas sekolah rosak dekat tengah jalan tadi, mak su. Sebab tu Nuha lewat,” ujarku tanpa sedikit pun mahu menipu.

Mak Su Kinah mendengus. Dia berdiri lalu menapak mendapatkan aku. Saat itu firasat aku kuat mengatakan bahawa aku bakal menerima ‘hadiah percuma’ dari Mak Su Kinah.

“Aduh, sakit mak su…” Kepalaku terteleng ke kanan. Telinga kiri pula dipiat kuat oleh mak su.

“Oh tahu sakit! Kau tahu tak aku balik-balik aje tadi tengok anak-anak aku kebulur tak makan! Kau memang sengaja kan! Kau nak anak aku mati kebulur ke?!” Tidak cukup dengan memulas telingaku, kepalaku makin seronok ditunjalnya.

Aku hanya mampu mengaduh. Untuk melawan aku tidak punya kekuatan.

“Dah! Pergi masak sekarang! Aku dengan anak-anak aku dah kebulur ni. Masak sekali lauk makan malam. Pergi!” Ditolak tubuhku tanpa ada rasa kasihan.

Tubuh ini penat, mak su. Bagilah Nuha mandi dulu. Itu yang terluah di hati.

“Cepat!” Melihat aku masih tidak bergerak, Mak Su Kinah terus memaksa. Kakinya mula memainkan peranan. Disepak-sepak betisku memaksa aku berjalan.

Dengan linangan air mata, aku bergerak ke ruang dapur. Sungguh hati ini sangat sakit dilayan seperti ini oleh ibu saudaraku sendiri.

Saat inilah aku benar-benar memerlukan belaian dari ‘malaikat penyelamatku’.

‘Ibu….’

#bersambung.

>>>>>>AKAN DATANG BAB 4<<<<<<

“Apa tu?” soal Cikgu Ihsan tiba-tiba. Pandanganku dan pandangannya bersatu terarah ke bekas makanan yang aku pegang.

Apa tu? Buat-buat tanya pula.

“Dah habis ke Nuha makan?” tanya dia lagi.

Aku garu kepala yang ditutupi tudung. Nak makan apa? Buka pun belum. Oh, jadi benarlah telahan aku. Memang ada makanan dalam bekas ni.

“Tak habis? Kan cikgu suruh habiskan.” Dia merampas bekas itu dari tangan aku.

Hati kecil ini makin berdebar. Ya Allah, apalah Cikgu Ihsan rasa nanti kalau tengok sikitpun aku tak jamah makanan yang dia bagi tu. Tapi sumpah aku tak tahu dia bagi aku makanan. Agaknya juadah apa ya?

Dengan tenang Cikgu Ihsan membuka penutup tupperware. Mungkin melihat makanan yang dia bekalkan itu tidak berkurang jumlahnya, mukanya terus terangkat.

“Tak luak pun? Nuha tak makan ke sandwich cikgu buat ni?” soalnya dengan suara yang sudah lain macam.

Air liur aku telan sekali. Debar di hati tak usah cakap.

“Err… saya… saya…” Entah jawapan yang mana satu harus aku berikan pada dia. Ya Allah, tak ada niat pun aku nak lukakan hati dia.

“Nuha tak suka makan sandwich?”

Aku geleng laju.

So, kenapa tak makan sandwich ni?” Dia bertanya lagi.

“Saya… saya…” Lidahku kelu. Jantungku berdegup laju. Patutkah aku jujur dengannya?

“Atau Nuha tak tengok pun isi dalam tupperware ni tadi. Hmm?” Cikgu Ihsan buat telahan yang sangat tepat.

Kebisuanku yang berpanjangan buat wajah lelaki itu berubah sedikit mendung. Dia mengeluh kecil.

“Kalau suka sandwich ni, makan. Kalau tak suka, buang aje. Cikgu cuma nak pastikan pelajar cikgu makan waktu rehat. Baru ada tenaga nak belajar. Itu aje niat cikgu.” Lelaki itu bangun dari kerusi lalu pergi. Pergi macam tu aje…


>KOMEN ANDA AMAT SAYA HARGAI<



11 comments:

  1. Baiknya cikgu Ihsan...ke ada something yg buatkan cikgu Ihsan baik dgn nuha...hahahh...Feel det.conan jap....ekekek...

    ReplyDelete
  2. Baiknya cikgu Ihsan...ke ada something yg buatkan cikgu Ihsan baik dgn nuha...hahahh...Feel det.conan jap....ekekek...

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe..something wrong somewhere..
      sudah terang lagi bersuluh kan..haha..cuma Nuha tu naif yg amat..

      Delete
  3. Alahai bertuahnya badan ada yang caring gitu. siap cikgu masakkan lg. jeles aih. nak jugak~! ;)

    ReplyDelete
  4. cik penulissss..cepatlah siapkan profread tu dan hntr ke pnerbi. cpat terbit nnti amiin moga Dia izinkan. dan mgkin boleh buat kompilasi crpen2 u jd buku <3

    ReplyDelete
  5. cover u buat pun semakin cunn dan berseni edit nya. thumbs up. bakat terpendam tu designing dan graphic. ada potensi utk dkembangkan lg =)

    p/s: maaf flooded kat sini dek komen saya

    ReplyDelete
  6. Dhia faaezah > Cikgu masak ade makna tu cik dhia oi
    > sedang diusahakan ni..profread dh jumpa..hehe..aamiin2..tq awak <3
    > cover u pun komen?haha..mekasih2... alah hilangkan stress je ni..cover syok sendiri..haha

    ReplyDelete
  7. amboi2 mak su.. nk bg ank2 mkn pun srh Nuha yg masakkan.. dh serupe hamba abdi je Nuha nie di buatnyeee.. rase nk cili2 kn mulut org2 yg menghina Nuha dan ibu..
    Cikgu Ihsan mmg terbaik.. ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cikgu Ihsan baik sokmo kak.haha.. tapi dlm baik ada jugak keburukannya

      Delete