JOM FOLLOW

Monday, 4 May 2015

Mencari Si Pelengkap Hati [BAB 9&10]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

BAB 9

“Oh kau dah pandai sekarang ya! Bawa jantan entah dari mana tu balik rumah! Kau ingat, rumah aku ni tempat kau buat maksiat ke hah! Kau nak jadi apa hah, Nuha?! Kau nak jadi macam arwah ibu kau ke?!”

Tubuhku terus menjadi mangsa pukulan Mak Su Kinah. Kali ini aku kembali merayu kepadanya. Sudah tidak tertahan lagi diri ini menanggung kesakitan didera seperti ini. Dan hati ini lagilah tidak sanggup mendengar kata dusta yang mak su taburkan.

“Itu cikgu Nuha, mak su. Nuha sumpah. Dia memang cikgu Nuha…” Pada kaki Mak Su Kinah aku berpaut kemas. Ingin merayu simpati walau sekecil hama darinya.

“Ah! Kau jangan nak tipu aku Nuha. Kau ingat aku nak percaya ke?! Kau memang anak haram tak sedar diri. Ibu kau baru aje meninggal kau dah bawa jantan balik rumah. Kau nak jadi apa? Jadi pelacur macam ibu kau ke, hah?!”

“Tak! Mak su jangan fitnah Nuha macam tu. Nuha tak buat semua tu, mak su. Dia memang cikgu Nuha!” Kukeluarkan seluruh tenaga yang aku ada untuk mempertahankan diri sendiri.
Ibuku sudah tiada. Aku hanya ada Allah dan diri aku sendiri saat ini. Ya Allah, tolong kuatkan aku menghadapi ujianMu ini.

“Kau sama aje dengan ibu kau! Bohsia kampung! Kalau kau nak jadi pelacur macam arwah ibu kau, kau boleh berambus dari rumah aku! Aku dah lama jijik dengan kau! Kau boleh pergi! Pergi pada jantan tu! Aku tak nak rumah ni lagi sekali jadi tempat simpanan perempuan hina macam ibu kau dulu! Cukuplah. Cukuplah keluarga aku tanggung malu dulu. Aku tak nak tanggung malu lagi disebabkan perangai kau ni!”

Mak Su Kinah menyepak tubuhku tanpa belas. Dalam kabut air mata yang menghiasi pelupuk mata, aku masih nampak ada butiran jernih mengalir dari pipi mak su. Menangiskan wanita itu? Kerana terlalu bencikan aku buat dia menangis?

“Mak su…”

“Sudah! Kau dengar sini baik-baik, anak haram. Aku nak kau berambus dari rumah aku. Aku tak nak tengok lagi muka orang yang bakal memalukan aku nanti. Kau boleh pergi dari rumah aku Nuha. Kau boleh keluar dari rumah ni secara sukarela atau aku buang kau dengan tangan aku sendiri! Kalau kau berdegil tak nak keluar dari rumah ni, bersiap sedialah untuk merana dalam rumah ni! Aku akan pastikan kau lebih merana lepas ni, Nuha! Merana macam dalam neraka!”

Dengan rengusan kasar, Mak Su Kinah terus berlalu. Daun pintu bilik dihempas kuat.

Mendengar kata-kata itu buat aku terjelepuk jatuh ke lantai. Begitu bencinya mak su pada aku. Dia memang berniat untuk menghalau aku. Dan dia juga sanggup menfitnah aku. Ya Allah, tak pernah terlintas dalam hati aku untuk memburukkan nama baik keluarga mak su. Tak pernah ya Allah.

Kenapa mak su tuduh aku macam ni. Kenapa dia nak halau aku dari rumah ni. Aku tak buat salah. Aku tak buat dan takkan buat apa yang dia fitnahkan tu. Ya Allah, apa hikmah di sebalik semua yang berlaku ini, ya Allah! Apa?!

“Ibu… Nuha nak ibu. Ibu!!!”

Saat ini aku hanya mahu ibu! Hanya ibu!

*******

Satu hari berlalu. Satu hari yang sangat menyedihkan dan masih sukar untuk aku terima. Semuanya berlaku dalam sekelip mata.

Aku masih terpempan dengan hakikat ini. Namun aku tahu, sebagai seorang Muslim yang mengaku dirinya Islam dan percaya dengan Qada dan Qadar Allah, aku perlu menerima hakikat ini. Hakikat di mana ibuku sudah pergi buat selamanya.

Dingin pagi mencengkam sanubari. Di saat alam masih lena diulit mimpi, aku terjaga dari tidur.

Waktu begini biasanya akan ada seseorang yang membangunkan aku dari tidur.

“Nuha, bangun sayang. Tahajud.”

Seawal jam tiga pagi ibu sudah bangun kejutkan aku. Kami sama-sama menunaikan solat sunat Tahajud. Ibu solat di biliknya dan aku solat di bilikku sendiri.

Kata ibu, di sepertiga malam, waktu itulah Allah akan menerima taubat dari hambaNya. Dia akan mengabulkan setiap permintaan dari hambaNya. Mintalah apa saja, Dia pasti akan mengabulkan. Bagaikan anak panah yang kena tepat pada sasaran. Seperti itu jugalah keadaan si pendoa pada sepertiga malam. Doanya akan Allah dengar. Permintaannya akan Allah kabulkan. Cepat atau lambat, ia pasti akan dikabulkan.

Maka kerana itulah aku bersemangat untuk terus berdoa kepada Allah. Dan salah satu doa yang tidak pernah aku lupa untuk aku pinta kepada Allah adalah…

Aku meminta kepadaNya agar Dia menghilangkan kebencian dalam hati mak su untuk ibu. Dan menghilangkan kebencian mak su pada diriku. Aku juga minta pada Allah agar Dia sentiasa menjaga ibu dan memberi ibu kesihatan yang baik. Aku ingin hidup bahagia dengan ibu hingga ke akhir hayat ini.

Pernah aku luahkan pada ibu tentang perasaan tidak puas hatiku apabila mak su tetap membenci kami. Adakah itu tandanya Allah telah memungkiri janjiNya untuk mengabulkan semua permintaan hambaNya di sepertiga malam itu?

Ibu sentiasa menjawab pertanyaanku dengan kata-kata yang cukup menyentuh hati. Buat aku tersedar akan satu hakikat yang paling nyata.

Di tangan Allah skrip hidup kita. Suka atau duka. Gembira atau sengsara. Dia Maha Mengetahui akan yang hidup dan yang ghaib. Dialah yang merancang hidup dan mati kita. Jadi siapa kita untuk menafikan apa sahaja yang Dia beri. Apa yang Allah beri adalah yang terbaik untuk kita. Kerana hanya Dia yang tahu apa yang terbaik dan apa yang buruk untuk kita. Pokok pangkalnya hati. Ikhlas menerima segala pemberian dariNya. Nikmat itu dibalas dengan kesyukuran. Ujian itu pula dibalas dengan kesabaran.

“Nuha… Walaupun doa Nuha tak dikabulkan oleh Allah, jangan pula Nuha menganggap yang Allah tidak mendengar doa Nuha tu. Dia Maha Mendengar, sayang. Dia juga Maha Mengetahui. Doa Nuha pasti sudah sampai kepadaNya. Cuma belum tiba masanya lagi untuk Dia makbulkan doa Nuha. Nuha kena selalu ingat satu benda. Allah takkan sia-siakan usaha hambaNya yang ingin mendekatkan diri padaNya. Nuha akan dapat jawapan dari Allah satu hari nanti. Nuha kena yakin… Nuha kena sabar…”

Mata ini mula berat menampung cecair hangat. Setitik demi setitik ia jatuh membasahi pipi. Kata-kata ibu sentiasa tersemat di hati ini. Buat aku tidak mampu untuk merasa jauh darinya. Ibu… insan yang akan sentiasa berada dekat di dalam jiwa ini.

“Ya Allah…” Tangan kuangkat ke dada langit.

“Pada siapa lagi diri ini mampu mengadu, ya Allah. Aku seorang gadis biasa yang tidak punya banyak kekuatan untuk berdepan dengan takdirMu. Aku hambaMu yang lemah untuk menerima ujianMu. Engkau menghidupkan dan mematikan seseorang yang Engkau kehendaki. Engkau sudah mengambil ibu dariku. Kuatkanlah aku untuk redha dengan qada dan qadarMu ini, ya Rabbi. Engkau permudahkanlah pertanyaan para malaikatMu pada ibuku. Kau terangilah kubur ibuku dengan cahayaMu, ya Allah. Kau ampunilah dosa-dosa ibuku yang telah lalu. Kau pilihlah dia untuk menjadi salah seorang dari hamba yang Engkau cintai. Kau peliharalah dia, ya Allah. Kau… Kau…”

Hati sebak tidak mampu lagi untuk aku melafazkan apa-apa kata. Sesungguhnya saat ini diriku 
benar-benar merasa kehilangan…


  >>>>>>>>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<<<<<<


BAB 10

Hoi! Hoi, bangun! Bangun!” Lenaku terganggu dek pekikan itu. Terpisat-pisat aku mencelikkan mata. Melihat Mak Su Kinah sudah berdiri tegak di hadapan, tak fikir panjang aku bangun mengejut.

“Kau dah buat keputusan ke belum?” soal mak su dengan muka bengis.

Keputusan apa ya?

“Hoi, aku tanya ni! Kau dah buat keputusan ke belum?!” Mak Su Kinah terus menekan.

“Keputusan apa, mak su? Nuha tak faham,” jawabku jujur. Memang aku tak faham.

Ada rengusan keras keluar dari bibir mak su. Dia mencebik.

“Keputusan apa kau tanya? Keputusan sama ada kau nak terus tinggal dekat rumah aku atau kau rela hati nak berambus  dari rumah ni. Itu yang aku nak tahu!”

Apa yang berlaku semalam berlegar-legar jelas di minda. Jadi mak su nekad untuk halau aku dari rumah ini? Ya Allah, aku belum cukup kuat untuk memikirkan hal itu. Aku masih bersedih dengan kehilangan ibu. Tidak selayaknya mak su melayan aku seperti ini!

“Nuha… Nuha tak tahu.”

“Tak tahu?! Eh, kan aku dah suruh kau fikir dulu. Aku tak kira, kau buat keputusan hari ni jugak! Kalau tak, kau terimalah nasib kau. Aku tak main-main dengan kata-kata aku semalam, Nuha. Aku tak ada masa nak main-main dengan kau!”

Mak Su Kinah ingin melangkah namun aku terus menerpa ke arahnya lalu memaut pehanya erat. Rayuanku bermula.

“Mak su jangan buat Nuha macam ni. Nuha dah tak ada tempat nak pergi. Nuha hanya ada mak su. Tolonglah Nuha, mak su. Jangan halau Nuha. Nuha merayu.”

“Jadi maksud kau, kau nak terus tinggal dalam rumah ni? Hah?”

Perlahan-lahan aku anggukkan kepala. Keputusan itu lahir dalam sekelip mata. Walaupun berat, aku tetap harus memilih pilihan itu. Memilih antara keluar dari rumah ini atau memilih untuk terus tinggal dalam rumah ini, sudah pasti aku memilih pilihan yang kedua. Walaupun pilihan itu akan memusnahkan hidup aku, menyengsarakan hidup aku dan membenarkan mak su dan pak su berterusan mendera jiwa dan ragaku. Aku terpaksa hadap semua tu! Aku sudah tidak ada siapa-siapa lagi. Kalau aku keluar dari rumah ni, ke mana harus aku tuju lagi.

“Jadi kau sanggup hidup merana dalam rumah ni? Hmm? Kau sanggup terus hidup didera oleh aku dan pak su kau? Hah?” Soalan Mak Su Kinah aku jawab dengan anggukan.

“Baik kalau itu yang kau nak. Nampaknya kau lebih rela hidup dalam penjara ni daripada hidup bebas dekat luar sana. Kau boleh pergi, Nuha. Hidup bebas seperti ibu kau dulu. Kau ada pilihan kau sendiri. Kenapa kau tetap pilih untuk hidup merana dalam rumah ni? Kau memang bodoh. Bodoh!” Mak su merentap kuat kakinya dari peganganku. Dia terus melangkah pergi tanpa berpaling lagi.

Aku tersembam menangis di atas lantai bilik. Menangisi keputusan yang bakal membuat hidupku benar-benar akan merana selepas ini.

Ya Allah, betulkah apa yang aku buat ni. Sanggupkah aku bertahan didera dan dihina oleh pak su dan mak su? Sanggupkah aku, ya Allah.


********

“Assalamualaikum, bu.” Aku cuba senyum. Senyuman selamat pagi untuk ibu.

Tikar kuhamparkan. Aku duduk di atasnya sambil bersimpuh. Tanah merah yang masih basah terkena embun pagi aku genggam lama. Hati ini tiba-tiba jadi sebak. Di dalam sana, adanya jasad ibuku yang baru meninggalkan aku semalam. Suka atau tidak, hakikat itu harus aku terima.

Tidak mahu terlalu bersedih dengan takdir Tuhan, kubuka surah Yasin yang aku bawa bersama.

Al-Fatihah dibaca perlahan. Surah Yasin aku baca dengan tertib. Moga-moga ‘hadiahku’ ini sampai kepada ibu. Entah apalah yang sedang berlaku pada ibu saat ini. Telinga manusia biasa seperti aku mana mungkin mampu mendengar rintihan dan tangisan yang sedang penghuni kubur alami saat ini. Dan salah seorang penghuni itu adalah ibu kandungku.

Setelah jasad dikebumikan ke dalam liang lahad serta seusai tapak kaki pengunjung terakhir melangkah dari kubur, akan muncullah dua malaikat yang ditugaskan oleh Allah untuk menyoal si mati. Malaikat Munkar dan Malaikat Nakir akan menjalankan tugas mereka dengan penuh patuh.

Hanya amalan baik kita di dunia ini yang akan berkata-kata. Mulut yang selama ini banyak berdusta dan membantah, akan terkunci rapat. Amalan baik dan ketaatan kita kepada Allah semasa masih hidup akan menjadi ‘peguam bela’ kita di alam barzakh.

Ya Allah, Kau lapangkanlah kubur ibuku. Mudahkanlah dia bersoal jawab dengan malaikatMu. Moga-moga ayat-ayat dari surah al-Mulk yang sentiasa ibu baca setiap kali sebelum tidur mampu memberi syafaat kepadanya. Dengan izinMu ya Allah. Masukkanlah ibuku dalam kalangan orang-orang yang  beriman. Aamiin…

Jag yang berisi air kutuangkan dari kepala ke kaki ibu. Dengan esak tangisan, aku masih membasahkan lidah dengan bacaan surah al-Fatihah.

Aku ke sini tanpa pengetahuan Mak Su Kinah. Terpaksa aku memberanikan diri untuk keluar ke sini menemui ibu. Sudah aku minta keizinan dari mak su, namun dia tidak mengizinkan aku pergi. Dia menghalang.

Aku yakin larangannya itu merupakan penyeksaan pertama untuk aku menempuh kesengsaraan hidupku di rumah itu nanti.

Hati ini menangis sakit dengan layanan mak su. Dia benar-benar bencikan aku. Sanggup dia ingin memisahkan aku dari terus ‘bertemu’ dengan ibu.

Yang paling buat aku sedih dan kecewa, Mak Su Kinah bagaikan tidak punya ‘rasa’ atas kehilangan kakak kandungnya. Setinggi mana agaknya kebencian dan dendam mak su pada ibu. Mampukah dendam itu terlerai setelah ibu pergi?

Untuk apa kita berdendam. Dendam itu membuat hati kita menjadi makin keras. Memaafkan adalah lebih mulia!

“Ibu… Nuha tak tahu lepas ni apa akan jadi pada Nuha. Sama ada Nuha bahagia atau jauh lebih menderita hidup dengan mak su selepas ibu pergi. Nuha takut, bu. Nuha takut kalau mak su dera Nuha lebih teruk lepas ni. Tolong selamatkan Nuha, bu. Nuha dah tak ada siapa-siapa lagi.”

Air mata kembali bergenang. Tak sangka masih ada air mata yang ingin keluar dari pelupuk mata sedangkan sudah semalaman aku menangis mengenangkan apa yang berlaku.

“Nuha takut nak pergi dari rumah tu. Sebab Nuha tahu Nuha takde tempat nak pergi. Nuha terpaksa juga tinggal dengan mak su, bu. Walaupun mak su dah bagi amaran yang dia akan seksa hidup Nuha. Kenapa, bu? Kenapa Nuha hidup macam ni. Hidup dibenci oleh orang yang benar-benar Nuha sayang. Tak bolehkah mak su anggap Nuha seperti anaknya sendiri. Nuha darah daging dia. Nuha perlukan kasih sayang dia selepas ibu pergi. Kenapa dia buat Nuha macam ni, bu.”

Kurebahkan badan ke makam ibu. Saat itu dapat aku rasakan seperti aku sedang memeluk tubuh ibu. Aku hanya ingin meluahkan apa yang sedang sarat menyesak dalam jiwa ini. Aku ingin meluahkan pada seseorang. Hanya pada ibu dapat aku luahkan segalanya.


******


Dengan berhati-hati aku memulas tombol pintu dapur. Melihat ruang dapur senyap sunyi dapat kehadiran sesiapa, cepat-cepat aku melangkah masuk. Melihat ruang tamu juga senyap tanpa sesiapa, segera aku berlari ke arah kaki tangga.

Mujurlah tiada sesiapa dalam rumah. Tapi ke mana pula semua orang pergi? Keluar ke mana mereka semua?

Ah tidak usahlah aku memenatkan kepala otak memikirkan hal itu. Yang penting aku dapat masuk ke dalam bilik dengan selamat. Apa yang berlaku selepas ini, aku akan cuba bersiap sedia. Pasti Mak Su Kinah akan menyakiti tubuh ini lagi.

“Kau memang degil kan. Anak haram tak sedar diri!” Jantung ini bagai mahu terloncat keluar tatkala suara Mak Su Kinah berkumandang jelas dari tangga paling atas.

Kudongakkan kepala memandangnya. Jelingan menyinga mak su benar-benar buat aku kecut perut.

Satu persatu anak tangga wanita itu turuni. Sehingga ke anak tangga yang terakhir, dia tetap diamkan diri. Mak su ada dalam rumah? Sengaja dia mendiamkan dirinya tadi? Habislah aku…

“Kau memang degil!” Kepalaku terteleng ditonyoh kuat olehnya.

Aku cuba bertahan.

“Aku dah cakap kau tak boleh keluar dari rumah ni! Kalau kau nak keluar sangat, kau jangan balik-balik lagi. Kau faham ke tidak, hah?!”

Pangggg. Tapak tangan mak su melekat ke pipiku. Terasa panas berbahang pipi kananku saat ini.

“Maafkan Nuha, mak su. Nuha… Nuha rindu ibu. Nuha nak jumpa ibu.”

“Kau nak jumpa dia buat apa lagi, bodoh! Dia dah mati! Mati! Dia dah tak boleh kembali pada kau. Peluk kau, selamatkan kau. Dia dah mati!”

“Nuha rindu ibu. Nuha rindu dia. Maafkan Nuha, mak su.” Tangan Mak Su Kinah makin ligat memukul tubuhku.

Aku hanya mampu menjerit menanggung kesakitan yang menjalar ke seluruh badan.

“Kau memang degil! Aku dah bagi peluang untuk kau tinggal dalam rumah aku. Tapi sekali kau keluar, itu bermakna kau dah keluar dari rumah ni buat selama-lamanya! Kau boleh berambus dari rumah ni, Nuha! Aku tak perlukan anak haram macam kau!” Diheret tubuhku seperti mayang kelapa kering. Diheret aku hingga ke pintu utama.

Daun pintu dibuka lalu aku ditolak kuat ke luar rumah. Detik itu, tubuhku terasa seperti terkena sebatang jasad yang pegun di situ.

Dengan air mata yang berlinangan, aku angkat muka memandang ke atas.

Dia? Buat apa dia dekat sini?

Cikgu Ihsan berdiri di situ sambil memandang wajahku dengan pandangan redupnya. Lama anak matanya merenungiku akhirnya dia mula pandang wajah Mak su Kinah. Dia bersuara.

“Tolong lepaskan Nuha, puan. Biar saya yang jaga dia.” Kata-kata yang keluar dari bibir Cikgu Ihsan buat aku terkesima lama. Tak berkelip mata ini memandangnya.

“Apa? Cuba kau ulang lagi sekali apa yang kau cakap tadi. Kau… kau nak jaga dia? Kau nak bela anak haram ni?” Mak su Kinah menunjukkan wajah tidak percayanya. Terbeliak matanya merenung Cikgu Ihsan.

“Ya, saya nak jaga Nuha. Izinkan saya jaga dia kalau betul puan dah tak mampu jaga dia lagi.”

Tak semena-mena Mak su Kinah tergelak kuat. Ketawa yang dibuat-buat. Nada tawa yang cukup sinis. Dia menjeling aku.

“Eh anak haram. Tu tengok tu. Kekasih gelap kau cuba jadi hero. Sekarang dia dah mengaku sendiri yang dia nak bela kau. Perangai kau memang bohsia, Nuha! Betul sangkaan aku selama ni. Kau orang berdua memang ada hubungan sulit!”

“Ya Allah, mak su!” Aku menjerit sekuat hati. Tak terdaya lagi diri ini menanggung fitnah dan kata nista dari Mak su Kinah. Sanggup dia pijak maruah aku sehina tu.

“Puan memang sakit. Sakit jiwa.” Cikgu Ihsan ukir senyuman sinis. Makin berapi renungan mata Mak su Kinah pada lelaki itu.

“Saya belum pernah jumpa lagi manusia macam puan.” Dapat aku lihat tangan mak su dah terkepal kemas. Merah padam mukanya.

“Hanya orang yang tak ada hati dan perasaan aje yang sanggup melayan anak saudara dia macam ni. Nuha baru kehilangan ibu dia. Kakak puan sendiri. Sanggup puan tuduh Nuha macam-macam. Fitnah dia macam ni. Puan layan dia macam sampah!”

“Diam!!!” Pekikan dari Mak su Kinah menggegarkan ruang tamu rumah. Ditutup kedua-dua telinganya. Turun naik nafasnya saat itu. Dia pasti sangat bengang dengan Cikgu Ihsan sekarang.

 “Kau siapa hah nak masuk campur dalam urusan keluarga aku! Kau siapa! Kau bukan siapa-siapa! Kau berambus dari rumah aku sebelum aku bunuh kau! Pergi!!!”

Tempelakan dari Mak su Kinah sedikit pun tidak menggerakkan tubuh Cikgu Ihsan walau seinci. Dia tetap berdiri situ sambil mengukir senyuman sinis.

Aku pantas pandang muka Mak su Kinah. Perempuan tu dah macam singa lapar. Tunggu masa saja nak terkam musuh yang dah berjaya mengganggu emosinya.
Apa puan cakap tadi. Keluarga? Puan bercakap pasal keluarga? Kalau puan anggap Nuha ni keluarga puan, puan takkan sanggup dera dia macam ni. Apatah lagi fitnah dia. Pijak maruah dia. Malukan dia. Jaja cerita dia satu kampung. Ibu saudara jenis apa puan ni!” Jerkahan Cikgu Ihsan menyentak hati kecilku. Berani sungguh dia menengking Mak su Kinah. Kenapa Cikgu Ihsan dah berubah macam raksasa hijau. Dia… dia buat semua ni semata-mata demi pertahankan aku ke?

“Sebagai manusia yang punya hati dan perasaan, apa yang puan rasa andai puan dilayan sehina ni. Nuha sepatutnya diberi kasih sayang. Kakak puan baru meninggal semalam. Puan sepatutnya tenangkan Nuha. Bukan dera dia macam ni. Kenapa puan kejam sangat!”

“Kau diam!!! Diammmmm!!!!”

Menggigil tubuh Mak su Kinah saat itu. Tidak lepas dia merenung muka Cikgu Ihsan. Dapat aku lihat ada air mata yang mula menitis ke pipinya.

“Kau tak tahu apa-apa! Kau jangan cakap apa-apa lagi! Kalau kau rasa aku ni kejam, kau ambillah anak haram ni. Aku serahkan dia pada kau. Kau belalah anak haram tak guna ni! Aku jual dia pada kau. Kalau kau rasa kau mulia, kau beli dia dari aku!”

“Mak su…” Aku menggelengkan kepala berkali-kali. Tak mungkin mak su sanggup melafazkan semua kata itu. Tak mungkin mak su sanggup… jual aku?

“Tapi kalau kau rasa kau tak sanggup, dia takkan ke mana-mana. Dia akan terus hidup merana dalam rumah ni! Sampai bila-bila!”

Tangan aku ditarik rakus. Aku diheret masuk ke dalam rumah. Sempat aku memandang Cikgu Ihsan. Lelaki itu cuba untuk menghalang namun sebelum sempat apa-apa terjadi…

Gedeganggg. Pintu rumah dihempas kuat. Bila aku pandang ke hadapan, aku terpandang pada wajah menyinga Mak su Kinah.

“Masuk bilik kau sekarang! Jangan keluar dari bilik tu selagi aku tak izinkan! Pergi! Pergi!!!” Kuat tubuhku ditolaknya. Disepak terajang tubuh ini tanpa belas.

Tidak mahu menerima apa-apa lagi kesakitan dari mak su, cepat-cepat aku mendaki anak tangga. Kemarahan mak su kali ini benar-benar menakutkan aku. Belum pernah aku melihat keadaan Mak su Kinah seteruk ini.

Ihsan Zuhri benar-benar sudah berjaya menggertak jiwa Mak su Kinah. Nampaknya kini Cikgu Ihsan pula yang menjadi musuh utama wanita itu.


BERSAMBUNG>>>>>>

#komen anda amat saya hargai. ^____^





4 comments:

  1. Gler kejam mak su kinah...ape yg buat dia marah sgt ni....x sabar nk tggu next chapter ni...biarla cikgu ihsan yg jaga nuha....eh...sy trbayangkan cikhu ihsan ni adiputra la....hehehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Adiputra? ^^
      Moga maksu kinah insaf nanti. Kan kan?
      TQ sudi tinggalkan komen <3

      Delete
  2. vengong punye mak su.. klo la ada org mcm nie dpn akk mmg dh tlg bg penampar free, x kisah dh w/pun org tua ke, dh mmg kurang ajar sgt nie.. ank sedara tue br kematian ibu blh lg nk di seksanye bdk tue.. mmg xda hati perut langsung org tua nie.. eeeeiiii gerammmmmnye..
    sambung cepat sikit cik zu yekkk.. ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. sabo kak sabo..hehe
      tak baik tampor org tua.haha
      ^^ TQ kak atas support.. <3

      Delete