JOM FOLLOW

Sunday, 15 June 2014

Suami Pilihan Dia [bab 6]




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


BAB 6


“Leen tak nak. Leen lebih suka tinggal kat rumah.” Aku yakin. Ini semua pasti rancangan Syamil. Dia sengaja nak kenakan aku.

Syamil menghampiri aku sambil bercekak pinggang. Telefon pintarnya dihulurkan padaku. Dengan bingung aku menyambut telefon itu. Dia memaksa aku melekapkan telefon pada telinga.

“Hello. Puan Shimah?” Aku pandang Syamil tidak berkelip. Kenapa pula Puan Shimah boleh berada dalam talian?

“Ada puan. Ya, ya. Tuan dah cakap tadi. Balik Janda Baik? Tapi…” Ayatku tersekat di situ. Syamil berpeluk tubuh seraya tersenyum lebar. Mungkin dia sudah melihat kemenangan di pihaknya.

“InsyaAllah puan. Nanti Leen siap-siap. Ya… Baik puan. Waalaikumussalam…” Panggilan terputus. Penuh bingung aku memberi kembali telefon pada Syamil.

Kata-kata Puan Shimah masih segar di ingatanku. 

‘Leen… aunty nak ajak Leen balik kampung hari ni. Ke Janda Baik. Leen ikut sekali ya. Selama Leen kerja dengan aunty, aunty tak pernah bawa Leen jalan-jalan. Ikut aunty balik ya sayang…’

Mungkinkah Syamil ada kena mengena dengan permintaan Puan Shimah itu?

“Apa yang mama cakap?” soal Syamil.

“Dia ajak Leen balik kampung. Leen tak nak.” Ujarku malas. Tak salah rasanya kalau aku menolak. Tapi baru sekejap tadi aku bersetuju mengikut Puan Shimah balik kampung. Ah…

“So… pergilah bersiap cepat. Kan betul cakap saya. Mama memang ajak awak balik kampung. Biar saya jaga Amin sementara awak bersiap.” Suara Syamil kedengaran teruja. Aku ketap bibir menahan geram. Adakah ini rancangannya?

“Tuan sengaja minta Puan Shimah pujuk Leen ikut sekali balik kampung kan?” tanyaku agak bengang.

Air muka Syamil yang gembira berubah mendung tatkala mendengar suaraku yang keras itu. Serius dia memandangku.

“Memang. Memang saya sengaja minta mama ajak awak sekali. Saya nak kenal awak lebih dekat. Dan saya nak awak kenal saya lebih dekat. Tak boleh ke awak bagi peluang pada saya dan pada diri awak sendiri?”

Aku rimas dengan soalan-soalan Syamil. Aku sendiri sudah tidak tahu nak jawab apa lagi. Patutkah aku berterus terang dengannya mengenai kebimbanganku itu?

‘Tuan, Leen bukan tak sukakan tuan. Tapi Leen takut tuan tidak mencintai Leen sepenuh hati tuan. Leen takut tuan hanya ingin menjadikan Leen sebagai teman pengganti arwah isteri tuan. Leen tak nak dikecewakan lagi!’

Ingin saja aku meluahkan semua itu pada Syamil. Tapi aku tidak mampu. Aku tidak punya keberanian yang cukup banyak untuk meluahkan semua yang aku rasa.

“Leen…. Please. Ikut saya balik kampung. Mama, papa dan Kak Som dah on the way ke sana. Tinggal kita aje yang belum gerak.” Aku tersentak dengan kenyataan itu. Jadi itu bermakna aku harus menaiki kereta bersama-sama Syamil? Perjalanan Kuala Lumpur ke Janda Baik memakan masa selama hampir satu jam. Itu bermakna aku harus duduk satu kereta dengan lelaki itu selama waktu itu. Tak mungkin aku sanggup!

“Maafkan Leen tuan. Leen rasa Leen tak dapat ikut.” Aku segera menolak. Tak sanggup untuk aku balik ke kampung dengan Syamil.

Wajah Syamil jelas terkejut dan hampa. Dia memandangku seakan-akan meminta penjelasan.

“Tapi kenapa? Mama minta awak ikut sekali kan? Kesian dia. Bila sampai Janda Baik nanti bila tengok awak dan Amin takde, sedih orang tua tu. Kecil hati dia Leen.”

Aku bungkam. Syamil pasti sedang cuba membuat aku berasa bersalah.Ah… Aku kena kuat. Puan Shimah pasti mengerti keadaanku.

“Takpe. Biar Leen cakap dengan Puan Shimah sendiri. Tuan baliklah. Leen nak masuk dulu.” Langkah ku atur laju naik ke dalam rumah. Pintu segera aku kunci. Aku bersandar lemah ke dinding memikirkan layanan kejamku pada Syamil. Kesian lelaki itu. Sering kali aku tinggalkan dia seperti itu. Dan Puan Shimah pasti akan terasa hati dengan aku. Apa yang harus aku lakukan lagi.Aku memang tak boleh ikut Syamil.

“Leen… Syazleen! Bukak pintu ni. Saya tahu awak masih ada kat situ. Bukak pintu ni Leen. Tolong ikut saya balik kampung. Semua orang dah tunggu awak. Boleh tak awak anggap ini salah satu percutian keluarga. Saya tahu awak segan dengan saya. Anggaplah saya tak pernah cakap apa-apa. Tapi satu aje saya minta. Tolong ikut saya balik kampung. Jangan kecewakan mama papa saya.”

Suara Syamil kedengaran jelas ke telingaku. Aku hanya mampu menahan rasa dan menahan air mata daripada menitis jatuh. Rayuan lelaki itu buat hati aku mula berbolak balik.


*******

Hatiku bagai ditarik-tarik untuk melihat keadaan di halaman rumah. Mempastikan bahawa Syamil benar-benar sudah pulang ke rumahnya tanpa memaksa aku untuk mengikutnya lagi.

Namun, tatkala aku menyingkap langsir rumah,aku terpandang Honda Civic milik Syamil masih terparkir pegun di laman rumah. Terus aku meluru membuka pintu rumah. Sebaik saja aku buka pintu, aku terpandang jasad Syamil sedang duduk menanntiku di atas tangga.

“Leen…” Dia menegurku. Ya Allah, adakah dari tadi dia duduk di situ? Dah masuk waktu Asar dah.

“Apa tuan buat kat sini? Kenapa tak balik lagi?” soalku dengan nada bengang. Bengang kerana lelaki itu cukup degil. Tak sangka begini nekad orang yang bernama Adam Syamil ini.

“Saya tunggu awak. Saya tetap nak awak ikut saya balik Janda Baik. Mama, papa dan Kak Som dah lama sampai. Mereka tunggu kita.  Saya tak cakap awak tak nak ikut saya balik. Cuma saya cakap pada mama tunggu aje ketibaan saya, awak dan Amin. Saya tak nak kecewakan mereka.” Syamil bersuara lemah. Redup saja renungan matanya memandangku. Bagai masih mengharapkan aku untuk menerima pelawaannya.

“Leen minta maaf tuan. Tapi Leen…” Aku kehilangan kata. Tiba-tiba saja hatiku dilanda rasa bersalah. Mungkin sekarang Puan Shimah, Tuan Adam dan Kak Som sedang membuat persiapan untuk menyambut kedatangan aku dan Amin. Mungkin saja mereka sudah merancang pelbagai aktiviti sepanjang berada di sana. Andai aku tidak ke sana, adakah rancangan mereka akan tergendala disebabkan oleh aku?

“Saya akan tunggu di sini sehingga awak bersetuju nak ikut saya balik kampung. Saya tak main-main, SyazLeen Afiqa.” Buat pertama kalinya aku mendengar Syamil memanggilku dengan nama penuhku. Itu bermakna lelaki itu benar-benar nekad. Andai aku tidak bersetuju mengikutnya pulang ke kampung, adakah sampai ke besok pagi dia akan menunggu ku?


********

“Tak sangka hari ni saya jadi driver.” Ujar Syamil sambil matanya dapat aku lihat merenung-renung aku melalui cermin sisi.

“Maafkan Leen tuan. Leen cuma nak Amin baring dengan selesa.” Jawabku agak lemah.

Tak sangka akhirnya aku ikut juga Syamil balik kampung. Nekad benar lelaki itu menungguku. Sehingga Maghrib dia masih tercongok di situ. Bila aku tanya di mana dia solat Zuhur dan Asar, dia cakap dia tumpang solat kat rumah jiran aku. Ya Allah, Syamil Syamil… Kenapa lelaki itu beria-ia sekali mengajak aku pulang ke kampung.

“Awak ni. Saya gurau ajelah. Saya pun tahu Amin nak tidur dengan selesa. Lagipun tak maniskan awak duduk depan lama-lama dengan saya. Awak segan kan?” Aku terus mengalihkan pandangan daripada terus memandang Syamil. Amin yang sedang tidur di atas kerusi tempat duduk belakang kutepuk-tepuk perlahan.

Aku duduk di belakang bersebab. Dan sebab yang Syamil kemukakan tadi memang betul. Tak manis dipandang dan yang lebih tepat lagi aku  sebenarnya segan nak duduk berdua-duaan dengan dia. Walaupun Amin ada, entah apa yang aku nak borakkan dengan dia nanti.

“Terima kasih sebab sudi ikut saya balik kampung. Mama pasti akan sangat gembira dengan kehadiran awak.” Syamil bersuara ceria. Mamanya yang gembira atau dia yang terlebih gembira?Ah… perasaannya aku.

“Nanti kalau mama tanya kenapa lambat sampai, biar saya aje yang jawab. Awak diam aje. Tahulah saya nak cakap apa.” Ujar Syamil memesan. Aku hanya diam. Jangan dia tipu Puan Shimah sudah.

Kebisuan melanda kami lagi. Aku curi-curi memandangnya yang sedang fokus memandu. Usai menunaikan solat Maghrib, kami bertiga terus bertolak. Kata Syamil, mungkin kami akan tiba jam 9 malam di Janda Baik.

Syamil, Syamil. Kau betul-betul buat aku jatuh cinta lagi. Hatiku berbisik bahagia.


***********

“Assalamualaikum….” Salam diucap serentak oleh aku dan Syamil. Dia tersenyum. Aku tersenyum sama. Kami melangkah masuk ke chalet dua tingkat yang kata Syamil chalet itu adalah milik keluarganya. Penginapan Hawa Inn adalah milik syarikat Tuan Adam. Kaya betul keluarga mereka. Bukan setakat buat business hartanah tapi buat business penginapan percutian juga.

Sebaik saja kami bertiga masuk ke ruang legar chalet yang luas itu, kami terus disapa oleh Puan Shimah dan Tuan Adam. Mereka menyambut mesra ketibaan kami bertiga.

“Alhamdulillah sampai juga korang bertiga. Risau mama kalau-kalau ada apa-apa yang tak elok berlaku kat tengah jalan tadi.” Puan Shimah menghampiriku lalu meminta aku menyerahkan Amin kepadanya. Aku hanya menurut. Amin yang sedang ketiduran kuserahkan pada wanita itu.

“Dah-dah kita duduk dulu. Penat mereka tak habis lagi awak ni, Shimah.” Tuan Adam bersuara seraya mengajak aku dan Syamil duduk di ruang tamu.

Kulabuhkan duduk ke sofa. Puan Shimah mengambil tempat di sebelahku. Dicium-cium dahi Amin sambil tersenyum.

“Aunty ingat Leen dah tak sudi nak datang sini. Tapi alhamdulillah sampai juga Leen kat kampung aunty dengan uncle ni.” Puan Shimah bersuara ceria. Aku telan liur. Jadi memang benar Puan Shimah terlalu berharap aku ke sini?

Lambat-lambat aku pandang Syamil. Lelaki itu dengan tenang berkata-kata.

“Erm, Leen mesti dah penat tu mama. Leen, awak pergilah naik bilik. Kak Som ada kat dalam bilik tu. Bawa Amin sekali.” Arah Syamil cuba tidak mengungkit penyebab utama kelewatan kami. Aku berterima kasih kepada Syamil atas pertolongan kecilnya itu. Tapi ucapan itu hanya terluah dalam hati kecilku.

“Betul tu Leen. Pergilah naik. Esok nak bangun awal pulak kan. Dahlah, Shimah. Marilah kita masuk tidur. Saya pun dah mengantuk ni.” Tuan Adam bangun dari sofa. Dia melangkah masuk ke bilik tidur yang terletak di sebelah dapur.

Puan Shimah akhirnya akur dengan arahan suaminya. Amin diserahkan kembali pada aku. Sempat dia membisikkan sesuatu ke telingaku.

“Terima kasih sayang sebab sudi ikut kami sekeluarga datang ke sini.” Puan Shimah mengelus lembut pipiku. Aku hanya mampu diam tersenyum kelat. Andai saja aku berdegil untuk tidak ke sini tadi. Mungkin hati wanita itu akan sangat terluka dan berduka.

“Mama masuk tidur dulu ya Syamil. Bilik Syamil kat bawah. Jangan mengada masuk bilik atas.” Puan Shimah tersenyum penuh makna pada Syamil. Syamil hanya naikkan kening lalu dia tertawa kecil.

Akhirnya tinggal kami berdua di situ. Ops lupa… Amin pun ada sekali.

“Okey jom naik.” Syamil mengangkat bagasi yang aku bawa. Dia bersedia untuk melangkah naik ke tingkat dua. Aku tercengang. Bukan Puan Shimah melarang dia naik ke tadi?

“Saya hantar beg ni aje. Nanti saya turun balik.” Seperti memahami persoalan yang bermain di benakku, Syamil menjelaskan. Dia tersengih nakal. Aku mencebik kecil. Akhirnya aku ikut dia naik ke bilik.

“Okey, sayang. Selamat malam….” Aku terpaku mendengar ucapan sayang yang terluah dari bibirnya. Tidak mampu tidak, bibirku sedikit mengukir senyuman.

“Uncle turun dulu ya sayang.” Pipi Amin dikucup lama oleh Syamil. Rasa malu menyapa ke tangkai hati. Ya Allah, perasaannya aku. Aku ingatkan ‘sayang’ itu ditujukan untuk aku. Rupa-rupanya untuk Al-Amin. Hmm… Syamil memang sengaja nak kenakan aku.

Merasa segan dengan Syamil segera aku memulas tombol pintu dan ingin melangkah masuk. Baru saja kakiku ingin melangkah ke pintu, Syamil bersuara dengan penuh gemersik.

“Dua-dua saya sayang. Tapi ibu Amin paling saya sayang.” Lelaki itu terus berlalu pergi.

Aku sempat berpaling memandangnya. Senyuman terukir indah di bibirku.


*******

Pagi itu selesai menunaikan solat Subuh berjemaah, kami semua bangun awal pagi. Memulakan hari dengan sama-sama menyiapkan sarapan dan sedikit bekal untuk di bawa berkelah di tepi sungai. Kata Puan Shimah, di Janda Baik memang terdapat banyak sungai-sungai yang jernih-jernih airnya tanpa dicemari oleh pencemaran. Di sinilah kampung halamannya. Kampung Tuan Adam juga di sini. Tapak Hawa Inn adalah tapak rumahnya dulu. Jadi kesimpulan yang dapat aku buat. Puan Shimah memang berasal dari keluarga yang kaya. Mampu membina chalet cantik dan luas seperti ini.

“Seronoknya mama rasa hari ni. Dapat juga kita berkumpul satu keluarga.” Ucap Puan Shimah sambil menyeduk nasi goreng ke dalam pinggan suaminya. Aku yang berada di sebelah Syamil hanya tersenyum nipis. Adakah Puan Shimah menganggap aku seperti keluarganya? Siapalah aku.

“Leen tolong cedukkan nasi untuk saya.” Syamil menghulur pinggan ke arahku. Semua orang mula berpaling memandang ku seakan-akan menunggu tindakanku yang seterusnya.

Lambat-lambat aku cedukkan nasi goreng masuk ke dalam pinggang Syamil. Dia tersenyum seraya ucap terima kasih.

“Sepadan betul korang berdua ni. Suka Kak Som tengok.” Kata-kata Kak Som buat semua di situ kecuali aku tersenyum-senyum ceria. Aku dah tak tahu nak letak kat mana rasa seganku. Dahlah kena paksa duduk sebelah Syamil kat meja makan ni. Hmm…

“Lepas makan kita terus gerak. Syamil, kamu jangan lupa bawa pukat. Mana tahu ada ikan ke boleh kita tangkap. Bolehlah buat bbq malam ni.” Tuan Adam memberi usul. Syamil hanya terangguk-angguk faham. Kami semua menikmati sarapan pagi itu dengan gelak dan tawa. Aku kembali merasa aku punya sebuah keluarga. Tapi sampai bilakah semua ini akan bertahan? Andai aku tetap berdegil untuk tidak menerima Syamil dalam hidupku, adakah keluarga ini akan ‘membuang’ aku dari mereka?


******

Cuaca pagi itu sangat baik. Cerah dan berangin. Kami memgambil tempat di sebatang  pohon rendang yang terletak di pinggir sungai. Cukup aku kagum dan teruja melihat kejernihan air sungai yang mengalir itu. Jernih dan dingin. Subhanallah. Seronok betul dapat datang ke sini. Ini adalah kali pertama aku ke Janda Baik.

Ketika aku masih bergelar isteri kepada Farhan, lelaki itu hanya membawa aku ke Pantai Morib untuk percutian bulan madu kami. Selepas itu, tiada lagi istilah bulan madu. Ya, memang Farhan melayan aku dengan baik. Tapi dalam kebaikannya, terselit juga keburukan Farhan yang tidak mampu untuk aku lupakan sampai bila-bila. Kata-kata penghinaannya, layanannya yang semakin hari semakin tidak mesra terhadapku. Akhirnya, kami berpisah juga. Allah Maha Tahu. Dia tahu aku sudah tidak mampu lagi untuk bertahan dengan layanan Farhan.Aku bersyukur kerana aku berjaya lepas dari lelaki itu.

“Leen… jauh termenung. Ingatkan siapa?” Sapaan Puan Shimah membangunkan aku dari lamunan. Aku tersenyum sumbing ke arah majikanku itu. Kak Som yang sedang memangku Amin di atas ribanya aku pandang kosong.

“Tak ada apalah, aunty… Erm, maaf. Maksud Leen… puan….” Aku tertunduk malu. Kenapa pula boleh tersasul ni.

Puan Shimah menggenggam tanganku. Dia menguntum senyuman mesra.

“Aunty dah lama nak dengar Leen panggil aunty ‘aunty’. Lepas ni aunty harap Leen dapat kekalkan panggilan tu. Lagipun, lepas nikan Leen akan jadi menantu aunty.”

Aku diam lama. Menantu? Layakkah aku?

“Macam mana dengan lamaran Syamil? Leen terima?” tanya Puan Shimah lagi. Dia berpaling ke arah Syamil dan Tuan Adam yang sedang sibuk menangkap ikan dalam sungai. Baru sekejap tadi mereka berdua bersorak kuat apabila berjaya mendapat seekor ikan. Seronok betul anak beranak itu menghabiskan masa bersama-sama.

“Syamil dah lama tak bergembira macam tu. Kehadiran Leen buat dia kembali senyum. Tiga tahun Leen. Tiga tahun Syamil jadi murung. Tapi lepas Leen hadir, dia mula berubah ceria dan mula bercakap dengan aunty dan uncle. Dia betul-betul sukakan Leen. Terimalah dia.” Separuh merayu Puan Shimah bersuara. Aku pandang lama melihat wajah ceria Syamil. Andai aku berkeras tidak menerima cintanya, adakah Syamil akan kembali berduka?

“Atau Leen masih menunggu bekas suami Leen? Leen masih sayangkan dia?” Soalan itu sekali lagi ditanya kepadaku. Entah bagaimana untuk aku jelaskan.

“Berterus terang aje Leen. Cakap kat puan apa yang Leen cakap kat akak hari tu.” Kak Som mencelah. Dia memandang wajahku mengharapkan aku berani untuk berterus terang. Memang aku pernah meluahkan isi hatiku pada Kak Som dulu. Dia berkeras ingin tahu mengapa aku tidak sudi menerima lamaran Syamil. Akhirnya aku bercerita padanya akan ketakutanku itu. Tak sangka hari ini Kak Som memaksa aku untuk berterus terang di hadapan Puan Shimah pula.

Lama aku berdiam diri. Resah melanda hati. Kebisuanku buat Puan Shimah makin mengemaskan pegangan tangannya.

“Cakap Leen. Kenapa Leen tak sudi terima lamaran Syamil? Tiadakah sedikit perasaan sayang dalam hati Leen untuk Syamil?”

Entah kenapa, hatiku jadi hiba mendengar suara sebak Puan Shimah. Dengan tarik nafas dalam dan menghelanya panjang, aku akhirnya bersuara.

“Leen memang sayangkan dia. Sikap bertanggungjawab dan penyayang Tuan Syamil buat Leen jatuh hati pada dia. Tapi Leen sedar siapa diri Leen puan. Leen janda anak satu. Tak ada rupa, tak ada harta. Tuan berhak mendapat seorang perempuan yang lebih baik dari Leen. Leen tak layak untuk tuan…”

Aku tertunduk sedih. Puan Shimah hanya diam menanti aku menyambung kata.

“Leen bukan hanya tak layak. Tapi Leen takut kalau tuan ingin menikahi Leen hanya sekadar mencari teman pengganti arwah isterinya. Dan kerana terdesak dengan desakan puan. Leen takut kalau dia tidak mencintai Leen dengan sepenuh hatinya. Leen tak sanggup untuk disakiti lagi puan…” 

Tak semena-mena aku menitiskan air mata. Tebal mukaku terpaksa berterus terang mengenai isi hatiku kepada ibu kepada lelaki yang aku sayang. Entah apa pandangan Puan Shimah terhadapku. Adakah dia menganggap aku terlalu berhati-hati dan cerewet dalam memilih pasangan. Orang dah suka kenapa nak fikir-fikir lagi.Itukah yang Puan Shimah fikir terhadapku?

Tanpa kata Puan Shimah memeluk seketika tubuhku. Aku menangis di bahunya penuh hiba.

“Syamil pernah cakap pada aunty yang takkan ada perempuan lain yang dapat ganti tempat arwah isterinya dalam hati dia….” Aku terus merungkaikan pelukan. Wajah Puan Shimah kutatap hampa. Jadi memang benar Syamil tidak bersungguh untuk mencintai aku?

“Tapi Syamil juga pernah cakap pada aunty sejak dia jumpa Leen hatinya kembali ‘bernyawa’ dan ingin kembali mencintai dan memberi ruang untuk seseorang mengisi ruang kosong dalam hatinya. Hatinya hidup kembali untuk mencintai, sayang. Jadi tolong… tolong yakin yang Syamil betul-betul mengharapkan Leen dalam hidup dia.”

Keyakinan cuba Puan Shimah salurkan untukku. Aku tidak mampu berkata apa-apa lagi. Hanya satu yang mampu aku lakukan saat ini. Pertama, aku memberi peluang pada Syamil untuk menunjukkan cintanya terhadapku sekaligus menerimanya dalam hidupku. Atau yang kedua, aku lari jauh darinya untuk dia melupakan aku buat selama-lamanya. Pilihan di tanganku. Aku tahu aku harus memilih.


*********

Petang itu, Syamil mengajak aku mengikutnya ke kebun buah-buahan milik keluarganya yang terletak tidak jauh dari chalet. Kami ke sana hanya dengan berjalan kaki kerana kebun itu memang terletak begitu hampir dengan tempat penginapan. Amin tidak aku bawa sekali. Puan Shimah beria-ia memberi peluang pada aku dan Syamil untuk berdua-duaan sahaja.

Dalam perjalanan tadi,aku banyak berdiam diri. Sepatah yang Syamil tanya, sepatah aku jawab. Akhirnya lelaki itu mengeluh hampa dan diam tanpa menanyakan apa-apa lagi.

“Leen suka makan buah apa?” soal Syamil sebaik saja kami tiba di kebun buah rambutan. Penuh dengan rambutan yang sedang masuk ranum. Menguning buahnya.

“Leen suka buah epal.” Aku jawab sambil memandang sekeliling. Sempat kujeling pada Syamil yang sedang berdiri sambil memegang sebuah pengait buah yang diperbuat dari buluh. Pasti lelaki itu ingin mengait buah rambutan.

“Kalau buah-buahan tempatan Leen suka buah apa?” Syamil bertanya lagi. Dia mula mengait buah rambutan yang terletak tinggi di atas pokok.

Aku perhatikan gelagatnya sambil menjawab soalannya.

“Erm…. Buah mangga. Buah nenas. Buah rambutan pun Leen suka.” Aku tersenyum nipis. Dengan agak susah payah Syamil mengait rambutan kuning yang tumbuh tinggi atas pokok. Beberapa minit mencuba akhirnya, dia berjaya.  Buah itu jatuh ke bumi. Terus aku mengutipnya.

“Rambutan gading ni memang manis. Nah cuba rasa.” Syamil lebih dulu mengopek rambutan gading itu untukku. Aku menyambut hulurannya lalu segera menyumbat buah itu ke dalam mulut. Hmm… memang manis. Sangat manis. Sedapnya.

Syamil tersenyum-senyum memandangku. Dia menghulurkan sebiji lagi buah rambutan. Aku tidak menolak.

“Sedapkan. Arwah isteri saya pun suka makan rambutan ni. Dulu, kalau musim cuti sekolah,kami sekeluarga memang akan ke sini. Tak pergi tempat lain dah. Balik kampung. Mandi sungai, makan durian, makan rambutan. Buat bbq. Hmm… sangat seronok!”

Cukup ceria Syamil bercerita. Aku menelan isi rambutan yang terakhir. Tanpa berkata apa, segera aku bersuara meminta diri.

“Erm, Leen nak balik dululah tuan. Kesian Puan Shimah kena jaga Amin.” Aku ingin melangkah. Namun, langkahku dihalang oleh Syamil. Dia memandangku bingung.

“Kenapa ni? Tiba-tiba aje nak balik. Kita kan baru sampai. Banyak lagi buah tak kutip. Awak patut rasa buah durian belanda kat sini. Sedap… Gee pun suka makan buah tu dulu.” Aku cuba sedaya upaya untuk tidak berasa cemburu. Namun, aku gagal untuk menidakkan rasa cemburuku.

Ya, aku mengaku aku sedang cemburu. Cemburu kerana Syamil sedang membicarakan mengenai kesukaan arwah isterinya. Andai kami berkahwin nanti, pasti lebih banyak perbandingan dan persamaan yang cuba Syamil satukan antara aku dan arwah isterinya, Gee.

Mungkin saat itu hati aku akan berasa lebih hancur.

Aku hanya diam dan meneruskan langkah. Malas untuk aku mendengar mengenai kegemaran isterinya itu lagi. Syamil yang seperti tidak berpuas hati dengan kebisuanku, segera menarik pergelanganku tanganku. Terus aku rentap tanganku daripada menjadi mangsanya.

“Maafkan saya. Saya… saya tak sengaja Leen…” Syamil mengangkat kedua belah tangan tanda memohon maaf. Aku hanya mendengus kecil. Semakin berani pula lelaki ini sekarang.

“Leen nak balik.Tolong jangan halang Leen.” Aku melangkah lagi.

“Awak cemburu ke bila saya cakap pasal arwah isteri saya?” Langkahku mati. Lambat-lambat aku berpaling ke belakang memandang Syamil. Lelaki itu melangkah satu persatu menghampiriku. Dia tersenyum sambil gelengkan kepala. Adakah dia memang sedar aku sedang cemburu? Atau dia hanya mengagak?

“Tak sangka awak ni kuat cemburu jugak orangnya ya.” Syamil tersenyum. Aku mencebik. Sempat lagi dia mengata aku.

“Mama dah beritahu saya kenapa awak tak berani terima lamaran saya selama ni.”  Aku agak terpana. Adakah Puan Shimah menceritakan segala-galanya pada Syamil? Ah!Malunya aku!

Serba tidak kena aku memandangnya. Terus aku ingin melangkah lagi pergi jauh darinya.

“Tunggu dulu, Leen…” Syamil berdiri di hadapanku. Dia tidak memberi aku peluang untuk bergerak.

“Kalau itu yang menjadi ketakutan awak, saya harap awak jangan simpan lagi rasa tu. Saya sangat yakin dengan perasaan saya. Saya sayangkan awak. Saya nak jadi suami awak yang sah. Nak lindungi awak. Nak jaga Amin. Nak hidup dengan awak sampai bila-bila.” Kata-kata Syamil masih tidak dapat meyakinkan aku. Aku gelengkan kepala.

“Tak. Leen tak percaya. Tuan sebenarnya masih ingat pada arwah isteri tuan dan masih sukar untuk lupakan dia. Macam mana tuan boleh cakap tuan sayangkan Leen sedangkan tuan masih bercakap mengenai kesukaannya, kegemarannya. Tuan tak cintakan Leen. Tuan cuma berharap Leen dapat menjadi seperti arwah isteri tuan. Menjadi pengganti dia. Bukan kerana tuan benar-benar cintakan Leen!” Penuh emosi, aku meluahkan segala yang terbuku di hatiku. Lega. Itu yang aku rasa saat ini. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu merahsiakan apa-apa lagi dari Syamil.

“Leen… Gee sangat istimewa dalam hati saya. Saya kenal dia selama berbelas-belas tahun. Dia cinta pertama saya. Saya mengaku memang sukar untuk saya lupakan kenangan saya bersama dia. Tapi dia dah  tak ada Leen. Kenapa saya harus mengharapkan dia lagi sedangkan saya tahu saya mampu hidup bahagia dengan awak? Gee dah pergi buat selama-lamanya. Yang ada sekarang awak di hati saya. Hanya awak.”

Syamil menahan getar suaranya. Masih sukar untuk aku mempercayai luahan cintanya. Benarkah Syamil benar-benar cintakan aku? Andai ada wanita yang sama wajah dan sama peribadi dengan arwah isterinya muncul suatu saat nanti, adakah lelaki itu akan membuang aku dari hidupnya? Terlalu banyak ketakutan yang melanda hatiku. Aku tak sanggup lagi untuk berasa sakitnya ‘dibuang’ oleh insan yang aku sayang.

#bersambung.

*Leen takut dikecewakan sekali lagi.





6 comments:

  1. Erkkkk...Leen ni sgt takut kena tgal ke camane??hihi...

    Jeles jgak rupenye...syamil sje nk test leen erk..hahah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Takut dikecewakan..almaklumlah baru kne cerai.huhu..

      Delete
  2. jauh dri tanggapan psl ad yg xsuka leen tu. hahaha

    eee.... klau syamil still ungkit2 cerita arwah isteri dia, bukn stakat leen yg kecewa. sy yg bca pun sakit hati. haha hope lepas2 kahwin(klau diorang kahwin lah) xdelah syamil msih teringt2 arwah isteri dia lagi. xpun ada klon arwah isteri dia yg tiba2 muncul? eerk, hehe

    (AinaaAzlan)

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha...memang jauh..aina lupa ler tu
      Aik?Dia plak yg kecewa.heh
      Aina x ingat dorg kawin ke x?kehkehkeh...
      Klon?hahaha..tu dh mcm cite indon ler..karang jadi klise plak

      Delete
  3. ops... ble hati dah mula sayang..

    ReplyDelete