JOM FOLLOW

Saturday, 6 September 2014

Terlewatkah Cinta Kita? [BAB 2]


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.




BAB 2


“Ibu, Dayang pergi dulu ya. Kalau ada apa-apa, ibu telefon Dayang kat kilang. Ya, bu?” Tangan Ibu Orked dikucupi oleh Dayang. Dahi ibu angkatnya itu juga dikucup lama.

Mujurlah pagi ini mood Ibu Orked baik-baik saja. Biasanya kalau mood dia tak elok, Dayang tak mampu untuk mendekatinya walau seinci. Asyik melenting aje.

“Dayang….” Belum sempat Dayang melangkah keluar dari bilik, namanya dipanggil. Dia berpaling seraya tersenyum.

“Ya, bu.”

Ibu Orked mengangkat tangannya lalu memberi isyarat pada Dayang untuk mendekatinya. Dayang segera melangkah ke arah ibunya. Di duduk di birai katil.

“Ya, bu.”

“Maafkan ibu ya, nak. Semalam ibu marah-marahkan Dayang.” Ibu Orked mengusap lembut bahu Dayang.

Dayang menggamit tangan ibunya kemas. Dia menggeleng.

“Ibu takde salah dengan Dayang. Dayang faham keadaan ibu.”

“Tak. Ibu dah banyak buat Dayang sakit hati. Dayang selalu kena marah dengan ibu. Ibu marahkan diri ibu sendiri. Tapi ibu juga marahkan Dayang sama. Ibu memang kejam dengan Dayang.”

“Ibu…” Dayang tidak mampu bersuara lagi. Melihat mata Ibu Orked berkaca, dia turut sebak.

“Dayang mesti dilahirkan dari ibu bapa yang baik-baik. Sebab tu Dayang mampu menjadi anak yang baik. Ibu beruntung memiliki seorang anak seperti Dayang. Ibu sayang Dayang. Dayanglah nyawa ibu. Maafkan ibu ya, nak. Maafkan ibu…”

Dayang cuba tersenyum. Air matanya cuba ditahan dari gugur.

Lambat-lambat dia menganggukkan kepala. “Dayang pun sayang ibu. Ibulah ibu Dayang dunia akhirat. Terima kasih sebab ibu kutip Dayang dulu.”

Ibu Orked terus mendakap erat tubuh Dayang. Tak sanggup dia mendengar kata-kata itu keluar dari bibir anak angkatnya. Dia bukan mengutip Dayang. Dia sebenarnya sudah dianugerahi oleh Tuhan seorang anak yang cukup baik dan berhati mulia.

“Dah. Dayang pergilah kerja. Nanti lewat pulak.” Mereka merungkaikan pelukan.

Dayang mengesat air mata dengan hujung lengan baju kurungnya.

“Dayang pergi dulu ya, bu. Jaga diri baik-baik. Petang nanti Dayang balik.” Tangan Ibu Orked disalaminya lagi sekali. Dayang terus keluar dari situ dengan hatinya yang pilu.


+++++++

Basikal dikayuh dengan perlahan-lahan. Dingin pagi menggigit kulit Dayang. Demi mencari rezeki untuk menampung kehidupan, Dayang redha dengan setiap apa yang dilaluinya. Yang penting dia punya kerja yang halal untuk menjaga ibu angkatnya.

Hati Dayang jadi lega kerana pagi ini dia dilayan mesra oleh Ibu Orked. Sikit pun Dayang tidak marah pada jerkahan Ibu Orked padanya semalam. Baginya, itu semua tanda kasih sayang Ibu Orked terhadapnya. Dayang cukup faham keadaan tertekan wanita tua itu.

Harap-harap Ibu Orked tidak lagi marah-marah padanya. Biarlah semua ini berakhir dengan pengakhiran yang baik. Kalau boleh Dayang mahu setiap harinya dihiasi dengan kebaikan sahaja. InsyaAllah…

Sedang asyik mengayuh, Dayang terdengar di cuping telinganya bunyi deruan enjin yang kuat menderu. Dia berpaling sekilas ke belakang. Ada sebuah jentolak sedang baru keluar dari selekoh. Jentolak ini pasti ingin menuju ke kilang utama.

Dayang menghentikan kayuhannya. Dia ingin memberi ruang kepada jentolak itu melalui jalan kecil itu. Tidak perlulah berhimpit-himpitan. Basikal diheret ke tepi jalan.

Suasana pagi yang sedikit berkabus itu mengehadkan penglihatan Dayang. Tidak jelas wajah si pemandu jentolak itu. Yang pasti dia seorang lelaki. Dia membiarkan jentolak itu bergerak di hadapannya.

“Assalamualaikum bonda. Ya ya…” Sedang elok dia melalui jalan kecil itu, telefonnya berdering. Tuah segera menjawab panggilan dari bondanya.

“Lepas balik dari kilang nanti Tuah pergi. Tuah nak hantar jentolak ni dulu.” Sebelah tangannya memegang streng sebelah lagi memegang telefon.

Matanya terpandang pada seorang gadis bertudung yang tiba-tiba menghentikan basikalnya di tepi jalan. Seakan-akan gadis itu memberi ruang padanya untuk melalui jalan kecil itu. Tuah tersenyum.

“Ya, bonda. Nanti Tuah minta Ajim hantar Tuah. Okey. Bonda siapkan baju Tuah ya. Okey, bonda. Waalaikumusalam.” Talian diputuskan.

Keputusannya sudah bulat. Hari ini di bakal ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan beberapa orang gadis di dalam foto itu. Harap-harap dia dapat bertemu dengan gadis yang sudah mencuri hatinya itu.

Jentolak yang dipandunya mula menghampiri gadis bertudung itu. Tuah memalingkan wajahnya untuk memberi senyuman sebagai ucapan terima kasih kepada gadis itu. Namun sayangnya gadis itu pula menundukkan wajahnya. Terus hilang peluang Tuah untuk menatap wajah gadis itu.

Hanya melalui cermin sisi saja Tuah dapat melihat wajah gadis itu. Itu pun samar-samar. Tidak mahu memikirkan perkara itu, dia meneruskan pemanduannya menuju ke kilangnya.

Sebaik saja jentolak itu berlalu di hadapannya, Dayang menyambung kayuhannya. Sampai di satu selekoh kecil, dia mengayuh basikalnya melalui jalan denai. Melalui jalan ini lagi cepat dia sampai ke kilang tempat kerjanya. Sebuah kilang yang dimiliki oleh seorang anak bangsawan yang hanya Dayang kenal dengan nama Tuan Tuah. Wajah lelaki itu juga hanya sekali saja Dayang pernah tengok. Itu pun dari jarak jauh. Agaknya adakah Tuan Tuah itu setampan putera-putera bangsawan seperti di zaman raja-raja Melayu dahulu? Dayang tersenyum sendirian memikirkan hal itu.


+++++++

Ding dong. Ding dong.

Loceng ditekan-tekan berkali-kali oleh Tuah. Perjalanan dari Kuala Perlis ke Kuala Lumpur memakan masa enam jam. Enam jam yang panjang berjaya membuat Tuah berfikir bermacam perkara. Fikir pasal projek terbarunya demi memantapkan lagi ternakan ikan keli dan ladang buah-buahannya. Fikir pasal nak bantu penduduk kampung. Fikir pasal bonda yang selalu aje termenung teringatkan arwah ayahanda. Dan fikir juga pasal gadis misteri itu.

Ya Allah, adakah benar gadis itu wujud? Andai dia benar-benar wujud, kau temukanlah aku dengan dia. Hati Tuah berbisik perlahan.

Loceng ditekan lagi. Sebaik saja sampai ke kota Kuala Lumpur, Shah Alam menjadi hala tuju Tuah untuk mencari gadis pertama yang menjadi calon isterinya.

Seorang gadis biasa yang tinggal bersama dengan orang tuanya. Kata bonda, gadis ini anak kepada kenalannya. Namanya Siti Hajar. Seorang gadis berkelulusan diploma. Cantik juga orangnya. Sopan saja Tuah melihat gambar di dalam foto. Tapi di luar, entah macam mana orangnya.

“Assalamualaikum… Assalamualaikum…” Tuah melaung salam.

Sunyi pula keadaan rumah teres dua tingkat ini. Takkan takde orang kut.

“Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam…” Bukan penghuni dari rumah itu yang menjawab salam Tuah namun seorang mak cik keluar dari rumah sebelah. Dia mendekati pintu pagar. Tuah menapak ke rumah sebelah.

“Anak nak cari Pak cik Man ke?” soal mak cik tua itu.

Tuah anggukan kepala. Ya, nama ayah Siti Hajar adalah Sulaiman. Orang di sini memanggilnya dengan panggilan Pak cik Man.

“Keluarga Pak cik Man dah balik kampung. Uruskan kenduri kahwin anak dorang, Hajar. Anak nak cari Pak cik Man buat apa?” Kecewa. Itu yang melanda hati Tuah.

Siti Hajar sudah berkahwin? Jadi, tidak layak lagi dia mencari gadis itu. Terlewatkah dia? Hmm…

“Erm, takpelah mak cik. Saya… saya minta diri dulu. Terima kasih ya, mak cik.” Tuah mengukir senyuman sumbing. Dia melangkah pergi setelah memberi salam.

Masuk saja ke dalam kereta, Tuah bersandar lemah ke kerusi. Dikeluarkan foto Siti Hajar dari dalam dashboard.

“Kau bukan ‘dia’.” Terus dilipat foto itu lalu dimasukkan kembali ke dalam dashboard. Sekeping gambar lain diambilnya.

Kali ini seorang gadis tidak bertudung menjadi pilihannya. Juga tinggal di kawasan Seksyen 12 Shah Alam ini.

Sharifah Fazura binti Syed Hamdan. Anak kenalan seusrah bonda. Walaupun Tuah sudah agak yakin bahawa Sharifah Fazura ini bukan gadis yang dicarinya, namun dia tetap ingin meneruskan niatnya untuk bertemu dengan gadis itu. Manalah tahu tatkala bertemu dengan Sharifah Fazura, dia dapat bertembung dengan gadis misteri itu. Jodoh pertemuan itu rahsia Allah, bukan?


++++++

Beberapa hari kemudian….

“Eh kau tahu tak Non. Tuan Tuah kita sekarang tengah sibuk mencari jodoh. Dah terbuka hati lelaki tu nak berkahwin. Puan Sri mesti gembira kan. Anak bujangnya dah nak kahwin.” Kata-kata Mak cik Ita dicuri dengar oleh Dayang.

“Kalau aku ada anak dara, mesti aku dah kenenkan Tuan Tuah dengan anak aku. Hisy, tapi nak ke Tuan kita tu dengan orang biasa. Yalah dia tukan golongan bangsawan.” Mak cik Non pula bersuara.

Dayang masih lagi memasang telinga. Tangannya pula sibuk membersihkan buah mangga yang sudah masak ranum untuk diproses isinya menjadi jus mangga.

“Eh kau jangan tak tahu, Non. Puan Sri Jamilah tu pun orang biasa jugak. Tapi Tan Sri Megat pilih dia. Jadi, aku rasa takde salahnya Tuan Tuah nak pilih orang biasa.” Mak cik Ita berkata dengan bersungguh-sungguh.

Tuan Tuah sedang mencari jodoh? Siapa agaknya yang terpilih ya. Dah macam sang putera mencari si puteri aje. Dayang tersenyum sendirian. Yang pasti dia tak layak.

“Ajim, aku nak kau uruskan ladang sebelah timur tu. Kat situ anak-anak pokok baru kita tanam. Kau kena buat pemeriksaan setiap dua jam. Faham?” Suara Tuah menghentikan gossip hangat antara Mak cik Ita dan Mak cik Non. Mereka terdiam sambil perhatikan majikan mudanya itu berjalan di hadapan mereka.

Dayang hanya pandang sekilas ke arah lelaki itu. Serius juga muka majikannya saat itu. Ada masalahkah di ladang di bahagian timur?

“Segak kan tuan kita tu. Nasib baiklah kat kilang ni takde ramai anak dara. Kalau tak, aku rasa dah lama tuan kena ayat.” Mak cik Ita bercanda. Dia tergelak sakan dengan Mak cik Non.

“Hah, Dayang. Kau tak nak cuba ke dekat-dekat dengan Tuan Tuah tu? Manalah tahu ada jodoh dengan anak bangsawan. Senang hidup kau dengan Ibu Orked kau tu.” Kata-kata Mak cik Ita disambut senyum mesra dari Dayang. Dia menggeleng saja. Dia memang seorang yang pendiam.

“Hah, Dayang. Sebelum mak cik terlupa. Petang nanti kau tolong mak cik kat warung ya. Ema ada tuisyen petang ni. Dekat-dekat nak SPM ni, banyak pulak kelas tambahan dia.  Rungsing aku, Ta. Banyak keluar duit.” Mak cik Non mengeluh lemah.

“Erm, Dayang kena tanya ibu dulu, mak cik.” Didekati Mak cik Non. Dayang tersenyum meminta Mak cik Non memahami keadaannya.

Mak cik Non angguk sekali. Andai itu kehendak gadis baik hati ini, dia iyakan saja. Selama ini pun Dayang banyak membantunya di warung goreng pisangnya itu.

“Kau ni Dayang beruntung sungguh siapa dapat kau. Baik, cantik, sopan. Kalau mak cik ada anak lelaki yang belum kahwin, mak cik dah jodohkan kau dengan dia.” Malu-malu Dayang tersenyum. Pujian Mak cik Ita terlalu melambung tinggi. Kalau jatuh ke tanah, sakit.

Dayang diam saja. Dia meneruskan kerjanya yang tertangguh tadi.

Andai saja mereka tahu tentang masa laluku. Masihkan akan keluar pujian sebegitu dari bibir mereka? Hmm… Hati kecil Dayang berbisik pilu.


++++++

Dia cuba memberi focus kepada kerjanya. Fail-fail di hadapannya cuba dibaca isi kandungannya. Namun, fikirannya mula menerawang pada gadis misteri itu lagi. Benarkah kata bonda. Benarkah dia hanya bermimpikan gadis itu?

Tuah hampa apabila pencariannya berakhir dengan kegagalan. 13 orang gadis yang dijumpainya satu pun tidak sama dengan gadis yang dilihatnya pada sekeping foto itu.

Aneh. Memang aneh. Entah dari mana munculnya imej gadis bertudung itu. Mungkin benar dia hanya bermimpi. Walau bagaimana pun, Tuah tetap ingin menjadikan mimpi itu satu kenyataan. Moga-moga gadis itu benar-benar wujud dan mereka dapat bertemu juga satu hari nanti.

Tuah akhirnya bangun dari kerusi. Resah begini hanya ada satu tempat yang mampu memberinya ketenangan. Di sana dia mampu melupakan masalahnya. Di sana dia mampu mengukir kembali senyumannya. Ke mana lagi kalau bukan ke kolam ikannya.

Telefon bimbit yang terdampar atas meja dicapainya laju. Topi lusuh yang dihadiahkan oleh arwah ayahandanya lima tahun yang lalu disarung kemas ke kepala. Hadiah pertama dari arwah ayahandanya setelah dia mula serius dalam bidang penternakan dan perladangan.

Keluar dari ofisnya, sekali lagi Tuah harus melalui bilik pemprosesan. Walaupun kilangnya ini hanya kecil-kecilan memproses jus mangga dan jus jambu batu, namun Tuah cukup berbangga dengan dirinya. Kilang kecil ini sudah berjaya memberi peluang pekerjaan kepada 200 orang penduduk kampung. Bukankah itu satu kejayaan yang boleh dibanggakan?

Sambil tangannya menekan-nekan telefon bimbit, Tuah berjalan melintasi bilik pemprosesan. Kepalanya berpaling pada pekerja-pekerja wanita yang sedang sibuk menjalankan tugas masing-masing.

Melalui cermin kaca itu, terlihat oleh Tuah jelas di matanya seorang gadis muda dan dua orang wanita agak berusia sedang seronok berborak. Bertepuk tampar mereka bergelak tawa sakan.

Dari sisi saja Tuah dapat melihat wajah gadis bertudung itu. Langkahnya terhenti. Lama dia berdiri di situ cuba menatap lebih jelas wajah gadis itu. Andai dia mampu menzoom muka gadis itu, sudah pasti dia akan lakukannya.

Tuah masih berdiri di situ sehinggalah ada suara Ajim menegurnya.

“Tuan Tuah!” Berpaling terus Tuah daripada terus merenung wajah gadis itu dari kejauhan. Dia menapak mendekati Ajim yang meluru ke arahnya.

Terdengar di telinga Dayang saat itu ada yang menjerit nama Tuan Tuah. Dia berpaling ke arah pintu masuk. Sedang elok dia berpaling ke sana, kelihatan tuan mudanya sudah melangkah mengikut langkah Ajim, supervisor di sini.
Dayang gelengkan kepala perlahan. Dia meneruskan kerja dan melayan celoteh Mak cik Ita dan Mak cik Non.


+++++++

Petang itu seperti yang sudah dijanjikan, Dayang membantu Mak cik Non di warung kecilnya yang terletak di pintu masuk ke kilang. Mujurlah Ibu Orked memberi izinnya pada Dayang. Dapatlah Dayang cari duit lebih hari ni.

“Lambat lagi ke masak pisang goreng tu, Kak Non? Dah lama tunggu ni.” Ujar Rashid sambil mengunyah pisang goreng ranggup yang baru siap masak tadi.

“Hisy, kamu ni. Baru aje sampai tadi dah nak cepat-cepat. Kamu nak beli bukan seringgit dua.Tapi sepuluh ringgit. Mestilah makan masa Rashid oi.” Mak cik Non menggeleng. Tangannya ligat mengopek kulit pisang lalu memotong dua pisang itu.

Dayang tersenyum saja. Dia juga sibuk saat itu. Tangannya mula lenguh memarut air batu untuk dibuat ABC. Sepuluh bungkus semuanya. Belanja besar Abang Rashid hari ni.

“Kalau lambat sangat saya balik dululah, Kak Non. Nanti Dayang aje yang hantar ke kolam tu. Saya banyak kerja lagi kat sana ni.” Rashid bangun dari kerusi setelah menghirup ABC dalam mangkuk buat kali yang terakhir.

“Yalah kalau macam tu. Kamu pergilah ke kolam dulu. Siap nanti Dayang hantarkan. Duit tu bagilah dulu.” Mak cik Non tersengih sumbing. Rashid mencebik. Dikeluarkan beberapa keping not kertas dari poket bajunya.

“Nah. Semuanya dua puluh ringgit kan?” soalnya.

“Eh, dua puluh dualah. Itu pisang goreng kamu seringgit dan ABC kamu seringgit.” Rashid tarik muka. Tak sangka pula Mak cik Non cukup berkira dengan pelanggan tetap sepertinya. Ingatkan nak bagi free aje.

Dayang tersenyum lucu melihat kedua-dua manusia di hadapannya itu. Dia tetap focus menyiapkan pesanan Rashid.

“Okeylah. Saya gerak dulu. Dayang, jangan lupa bawa pisang goreng dengan ABC ni ke kolam eh. Saya ada kat situ dari petang ni sampai malam nanti. Maklumlah kolam kena khianat. Habis mati ikan-ikan dalam kolam. Marah jugaklah Tuan Tuah kita tu.” Tanpa dipinta, Rashid bercerita.
Rashid merupakan salah seorang pekerja Tuah. Tugasnya banyak di kolam ternakan.

“Baik Abang Rashid. Nanti Dayang hantarkan ke sana.” Dayang bersuara sopan. Ais yang sudah diparut diisi ke dalam plastic lutsinar yang sudah terisi dengan cendol, jagung dan kacang.

Rashid angguk sekali. Dia meminta diri. Motosikal EX5 ditunggangnya laju meninggalkan warung Mak cik Non.

“Rezeki kita murah hari ni, Dayang. Alhamdulillah kan.” Ujar Mak cik Non memecahkan kebisuan antara mereka. Masing-masing kusyuk menyiapkan pesanan Rashid tadi.

“Ya, mak cik. Alhamdulillah. Tak menang tangan Dayang dibuatnya ni.” Gadis itu tersenyum manis. Mak cik Non tersenyum juga. Mereka meneruskan kerja tanpa bersuara lagi.


++++++

“Macam mana boleh jadi macam ni. Habis ikan aku mati! Kalau aku tahu siapa yang buat dajjal kat aku, siaplah dia aku kerjakan.” Amarah Tuah tidak terbendung lagi.

Dia yang sudah lencung berada dalam kolam mengeluarkan ikan-ikan mati, tak habis fikir juga siapa yang buat semua ni. Tak habis-habis ada yang dengki pada kejayaannya. Benar-benar ini satu ujian.

“Sabarlah, tuan. Allah nak uji kita semua hari ni.” Ajim cuba meredakan kemarahan Tuah.

Tuah hanya mendengus keras. Ligat tangannya menarik pukat bagi membiarkan ikan yang sudah mati masuk ke dalam pukat itu.

“Hisy, hausnya tekak aku ni. Rashid! Mananya ABC yang kau order tadi tu. Lambat betul sampai. Kau beli kat hujung dunia ke apa?” Kali ini, Rashid pula yang menjadi mangsa kemarahan Tuah.

Tergagap-gagap juga Rashid nak menjawab. “Erm, Dayang cakap tadi dia nak hantar, tuan. Err… takpe. Biar saya pergi ambil ABC tu sekarang juga ya tuan.” Terburu-buru Rashid keluar dari kolam ikan.

Selipar jepun disarung ke kaki. Kecut perutnya menerima jerkahan dari tuan mudanya itu. Tak pernah pula sebelum ini Tuan Tuah naik hantu macam ni.

Baru saja Rashid keluar dari kolam, sudah kelihatan olehnya seorang gadis bertudung labuh sedang menghentikan basikalnya di pintu masuk. Cepat-cepat Rashid berlari mendapatkan gadis itu.

“Hisy, kamu ni Dayang! Apasal lambat sangat, hah? Tuan dah marah tu. Dia dah haus tu.” Terpana juga Dayang diserbu dengan kata-kata berbaur amarah dari Rashid itu.

“Maafkan Dayang, Abang Rashid. Dayang terlajak jalan tadi.” Diambil cermat bungkusan plastic dari dalam raga basikalnya. Dihulurkannya pada Rashid.

Rashis merampas laju plastic itu dari tangan Dayang. Segera dia meminta Dayang pergi dari situ.

Dayang berdiri lama di situ menghantar kepergian Rashid. Lelaki itu berlari anak ke arah kolam ikan.

Tuan Tuah berada sama dalam kolam itu? Pasti lelaki itu sedang cemas dengan situasi yang tidak diduga-duga ini.

Tidak mahu berlengah lagi, Dayang mengheret basikalnya keluar dari kawasan penternakan. Dia memulakan kayuhan kembali menuju ke warung Mak cik Non.

*bersambung*

~ Orang yang gemar BERISTIGHFAR adalah tanda orang yang MENCINTAI DIRI SENDIRI..

~ Orang yang gemar BERZIKIR adalah tanda orang yang MENCINTAI ALLAH..




5 comments:

  1. Best2.. Keep it up Cik Zu ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. eheh kak ayu komen. dh lama akk x komen.huhu..
      Mekasih kak..insyaAllah ;)

      Delete
  2. Alahai memang terlewat sungguh nih pertemuannya kak. Hehe. Tak sabar nak next bab 😊

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe.. terlewat kan.. selisih je tuh..
      tQ dyana.. insyaAllah nnti smbung lagi

      Delete