JOM FOLLOW

Monday, 8 September 2014

Suami Pilihan Dia [bab 9]


BAB 9

“Kenapa mama lebih percayakan perempuan tu dari percaya anak mama sendiri?! Aina takkan tipu mama. Mama tengok sendiri gambar-gambar ni!” Sebaik saja aku keluar dari bilik, suara jeritan Syafina kedengaran jelas ke telingaku.  Langkah kuatur lambat menuju ke ruang tamu. Apa pula kali ini yang Syafina tak puas hati dengan aku. Ya Allah, tabahkan hatiku.

“Dari mana Aina dapat semua gambar ni? Hah? Cakap!” Suara Puan Shimah turut meninggi. Aku agak takut untuk menghampiri anak beranak itu. Adanya Tuan Adam, Puan Shimah, Farhan dan Syafina, buat aku merasa tidak layak untuk berada dalam keluarga itu.

“Hah, Leen. Mari sini. Kau jelaskan semuannya pada mama dan papa aku!” Dengan cukup berani Syafina menarik tanganku. Ditariknya aku hingga aku duduk melutut di hadapan Puan Shimah dan Tuan Adam. 

Penuh bingung aku memandang wajah setiap yang ada di situ. Apa salah aku?Apa yang harus aku jelaskan?

“Ni gambar ni. Betul ke Leen yang ada dalam gambar ni? Cakap!” Aku tersentak dengan jerkahan Puan Shimah yang memarahiku. Foto yang berada dalam genggamannya dilempar ke mukaku. Saat itu aku benar-benar rasa cukup terhina.

Lambat-lambat aku mengutip foto-foto yang sudah berterabur di atas lantai. Gambar itu aku tatap dengan lama dan akhirnya pantas aku mengangkat muka memandang Farhan. Lelaki itu hanya tersenyum sebelah. Langsung tidak berasa bersalah membuka aibku!

Mulutku kelu untuk berbicara. Foto lama yang pernah Farhan ambil ketika zaman kejahilanku aku tatap penuh rasa sakit. Kenapa Farhan masih menyimpan foto-foto ini?Bukankah lelaki itu pernah beritahu aku bahawa dia sudah membuang semua gambar  itu? Dengan pakaian yang cukup menjolok mata. Diapit pula oleh dua lelaki bukan mahram.  Dengan minuman haramnya. Ya Allah, semua ini adalah masa lalu yang sudah lama aku tinggalkan.

Jadi Farhan benar-benar membocorkan rahsia besarku pada keluarga Syamil. Benci benarkah lelaki itu padaku?

“Aunty tak sangka macam ni Leen sebenarnya. Ya Allah, nampak aje baik tapi…” Ayat Puan Shimah terhenti di situ. Aku hanya mampu tundukkan muka tidak mampu bertentang mata dengannya. Aku cukup malu. Cukup rasa diaibkan.

“Jadi sekarang mama fahamkan kenapa Aina benci dengan perempuan ni. Kalau mama nak tahu perempuan ni pernah goda Farhan dulu. Sanggup jual diri sebab wang. Dan mungkin anak dia tu bukan anak suami dia yang sah. Tapi anak haram dia dengan lelaki lain!”

“Fitnah! Semua tu fitnah!”

Aku beranikan diri untuk berdepan dengan semua yang ada situ. Sungguh kejam Syafina kerana sanggup menfitnah aku sehingga begitu sekali. Ya memang aku bukan perempuan baik. Tapi aku dah bertaubat. Aku dah lama tinggalkan kerja terkutuk itu!

“Kenapa kau fitnah aku, Aina? Apa salah aku pada kau? Bukan aku yang goda Farhan. Tapi dia yang tergila-gilakan aku. Tapi bila dia kenal kau, dia dah buang aku dari hidup dia. Jangan nak nafikan kebenaran tu!”

Panggg! Satu tamparan hinggap ke pipi kananku. Aku terkesima dengan tamparan dari Farhan. Sungguh gerun aku melihat wajah bengis Farhan detik itu. Seakan-akan dia tidak ingin aku membuka cerita mengenai keburukan dirinya lagi.

“Kebenarannya hanya satu. Kau perempuan yang tak ada harga diri. Tak pernah cukup dengan seorang lelaki. Kau tak layak berada dalam keluarga ni, Syazleen. Kau boleh pergi dari rumah ni dan jangan munculkan diri dalam keluarga ni lagi. Aku yakin, mama dan papa tak sudi nak jadikan kau sebagai menantu mereka!”

Aku terus terjelepuk jatuh ke lantai. Kupandang wajah Puan Shimah dan Tuan Adam silih berganti. Sikitpun kedua-dua mereka tidak memandangku. Akhirnya, bakal mertuaku itu melangkah pergi dari ruang tamu. Mungkin mereka dah benci untuk menatap wajahku.

Andai begini penerimaan Puan Shimah dan Tuan Adam terhadap masa silamku, bagaimana pula penerimaan Adam Syamil nanti. Ya Allah, ujian kali ini terasa sangat berat untuk aku tempuh. Berikan aku kekuatan untuk menempuh segala cubaan ini.


**********

Sebulan kemudian….

“Selamat pagi Leen.” Sapaan ceria dari Kak Ton aku sambut dengan senyuman mesra. Segera aku berpaling ke arahnya.

“Selamat pagi Kak Ton comel. Lambat akak sampai hari ni. Ada belikan kuih Leen tak?” Aku bertanya sambil memerhati plastik kecil berwarna hijau yang dijinjit Kak Ton. Semalam, aku teringin sekali nak makan kuih lopis yang dijual di hadapan rumah Kak Ton. Terus aku meminta jasa baiknya untuk membelikan kuih itu. Tengok dari gaya, dapat juga aku merasa kuih kegemaranku hari ini.

“Ada ni hah. Akak beli dua ringgit. Hari ni akak belanja Leen. Leen dah sarapan ke belum?”

Tanya Kak Ton seraya menghulurkan plastik beg yang dipegangnya. Aku menyambut hulurannya dengan ceria. Terus kutilik isi di dalamnya.

“Belum lagi kak. Leen tunggu kuih lopis ni. Akak makanlah sekali. Terima kasih sebab sudi belanja Leen kuih ni. Susahkan akak aje.” Segera aku kunci loker kecilku lalu duduk ke kerusi yang terletak di hujung dinding.

“Sedapnya kuih ni kak. Leen ingat nak belajarlah buat kuih ni.” Aku berkata ceria. Kuih lopis terus dimasukkan ke dalam mulut. Sedap.

“Kalau sedap makan sampai habis Leen. Boleh aje kalau Leen nak belajar. Kalau dah ada cik abang nanti senang nak buatkan kuih-muih untuk dibuat minum petang.” Kak Ton tertawa ceria.Namun, mendengar kata-kata Kak Ton itu buat senyumanku menjadi kelat. Tiba-tiba saja ingatanku terarah pada Syamil. Sungguh aku rindukan dia. Hmm…

“Okeylah Leen. Akak nak pergi washroom kejap. Cepat-cepat tau sarapan. Nanti Encik Pojie nampak karang dia cakap Leen curi tulang pulak.” Kak Ton terus berlalu. Tinggallah aku di ruangan itu.

Kuih lopis perlahan-lahan aku letak kembali dalam plastik beg. Sebulan belum cukup untuk aku mampu melupakan ingatanku pada si dia. Sebulan aku menjauh darinya, buat hatiku dipagut rasa kerinduan yang mendalam.

Selama sebulan ini, aku mencari rezeki di sini. Di hypermarket Tesco aku mencari rezeki halalku. Berkenalan dengan Kak Ton dan rakan-rakan yang lain, buat aku kembali merasa aku masih ada teman untuk menumpang kasih. Terima kasih Allah. Sesungguhnya Engkau tidak pernah meninggalkan hambaMu ini keseorangan. Walau kadang-kadang kesunyian melanda hati, aku yakin Allah tetap di sisi.

Hampir sebulan juga peristiwa menyedihkan itu berlalu. Aku akhirnya nekad untuk pergi jauh dari keluarga itu. Keluarga Tuan Adam yang sudah aku anggap seperti keluargaku sendiri.

Meninggalkan keluarga itu bermakna aku juga sudah meninggalkan cinta hatiku, Adam Syamil. Aku terpaksa tinggalkan dia kerana aku tahu andai aku berkeras untuk menebalkan muka meneruskan perkahwinan kami berdua, tentangan hebat pasti akan aku lalui.

Cukuplah aku dihina. Untuk berdepan dengan Puan Shimah dan Tuan Adam memang aku sudah tidak berdaya. Aku malu. Mereka sudah tahu mengenai masa laluku. Namun, itu semua hanyalah masa lalu. Tidakkah mereka ingin memberi aku peluang untuk hidup bahagia? Manusia mana yang tak pernah buat silap?

Namun apakan dayaku. Di saat aku ingin melangkah pergi dari rumah itu setelah ditekan hebat oleh Syafina dan Farhan, aku memberanikan diri berdepan dengan Puan Shimah buat kali yang terakhir. Pertemuan terakhir kami amat meruntun hatiku. Wanita tua itu bagai tidak mampu menerima siapa aku yang dulu.

“Aunty…” Aku menghampiri Puan Shimah yang sedang duduk termenung di atas pangkin. Perempuan yang bakal menjadi ibu mertuaku itu sedang menangis dan bersedih.  Sudah pasti kerana kebenaran yang baru dia ketahui sebentar tadi.

“Aunty maafkan Leen. Leen bukan nak rahsiakan semua ni dari aunty. Leen cuma malu dengan masa lalu Leen. Leen dah insaf. Leen dah insaf….”

Aku cuba menggamit tangan Puan Shimah. Kukucup tangan itu bertalu-talu namun akhirnya tanganku ditepis kasar.

“Dulu kamu buat semua tu tak rasa malu? Entah dah berapa ramai lelaki yang dah kamu layan. Astaghfirullahal’azim… Sanggup kamu lakukan kerja terkutuk Leen. Kamu tak takut dengan azab Allah ke?”

Kata-kata Puan Shimah amat menyedihkan hatiku. Sampai hati Puan Shimah menanyakan soalan seperti itu. Itu semua adalah masa lalu. Masa lalu yang tidak seharusnya diingati lagi!

“Ketika tu Leen masih muda, aunty. Leen hanya mencari keseronokan dunia. Leen tahu semua tu berdosa. Tapi Leen dah terjebak. Leen dah bertaubat. Leen dah lama tinggalkan semua tu. Percayalah…”

Puan Shimah mendengus keras. Dia memalingkan mukanya ke arahku lalu menghamburkan kata-kata yang lebih menyakitkan.

“Nampaknya kamu bukanlah dari keluarga yang baik keturunannya. Memang aunty tak tahu asal usul kamu. Silap aunty sebab tak pernah nak ambil tahu. Kalau macam nilah kamu orangnya, aunty tak rasa Syamil nak teruskan perkahwinan ni. Kami dari keluarga yang baik-baik.  Jadi…. Kamu faham maksud aunty….”

Puan Shimah terus berlalu pergi.  Aku terpaku di situ menelan segala yang baru saja terluah dari bibirnya.

Berdosakah aku memiliki masa lalu yang penuh dosa seperti itu? Aku yakin Allah itu Maha Pengampun. Dia sangat Pemurah.Maha Mendengar permohonan dari hamba-hambaNya yang berdosa.

Mengapa manusia suka menilai masa lalu? Sedangkan Allah sentiasa membuka pintu keampunan untuk hambaNya.

Ketika aku mula belajar untuk berubah menjadi lebih baik, aku mencari seorang ustazah untuk membimbingku. Kata ustazah, fitrah manusia mereka terdiri dari golongan yang sangat lemah dan hina di sisi Allah swt. Oleh sebab itu, usahlah kita berlengah untuk bertaubat dan memohon keampunan kepadaNya. Sesungguhnya Allah swt amat gembira apabila hamba-hambaNya memohon taubat dan keampunan kepadaNya. Al-Quran membuktikan segala-galanya.


“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.” (QS. Al Baqarah: 222)

“Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Az-Zumar: 53)

 “Jika kalian melakukan kesalahan-kesalahan (dosa) hingga kesalahan kalian itu sampai ke langit, kemudian kalian bertaubat, niscaya Allah SWT akan memberikan taubat kepada kalian.” (Hadist diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Abi Hurairah)


“Tidakkah mereka mengetahui, bahwasanya Allah menerima taubat dari hamba-hambaNya dan menerima zakat, dan bahwasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang? .” (QS. At-Taubah: 104)


“Dan Dialah Yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan.” (QS. Asy-Syuuraa: 25)


“Maka barangsiapa yang bertaubat (di antara pencuri-pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu, dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang. (QS. Al Maaidah: 39)

“Tuhanmu telah menetapkan atas diriNya kasih sayang, (yaitu) bahwasanya barangsiapa yang berbuat kejahatan di antara kamu lantaran kejahilan, kemudian ia bertaubat setelah mengerjakannya, dan mengadakan perbaikan, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Al An’aam: 54)

“Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (mengampuni) bagi orang-orang yang mengerjakan kesalahan karena kebodohannya, kemudian mereka bertaubat setelah itu, dan memperbaiki ( dirinya) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. An-Nahl: 119)


Allah itu Maha Mengampuni.


********

Petang itu, aku ditugaskan oleh mengemas stok barangan yang baru sampai. Susun segala barangan makanan yang baru tiba di atas rak-rak. Hampir sebulan bekerja, aku dah biasa dengan pekerjaan ini.

Selama aku bekerja, Amin kutitipkan pada jiran sebelah rumahku. Kini, aku tidak lagi tinggal di rumah arwah Mak cik Piah. Kerana aku tahu, andai aku masih tinggal di sana, Syamil pasti akan mencariku. Aku sudah tidak mahu ada kena-mengena dengan lelaki itu lagi. Sebelum aku dibuang dan dihina oleh dia, lebih baik aku angkat kaki. Aku tak sanggup untuk berdepan dengan penerimaan Syamil.

Tanpa menunggu Syamil pulang, aku segera keluar dari rumah setelah segala rahsia dan aibku dibuka oleh Farhan dan Syafina. Mereka berdua memang kejam! Sanggup menfitnah aku bagaikan akulah perempuan yang paling hina dalam dunia ini. Tidakkah mereka sedar, mereka juga sangat hina kerana pernah terlanjur sebelum berkahwin?!

Sungguh aku tidak tahu sama ada Syamil benar-benar mencari aku atau tidak setelah mengetahui kebenaran yang sebenar-benarnya. Jijikkah lelaki itu apabila mengetahui tentang masa silamku yang kelam itu? Kecewakah lelaki itu apabila aku meninggalkan dia sehari sebelum kami diijabkabulkan?

Adakah penerimaan Syamil sama dengan penerimaan mamanya? Entah fitnah apa lagi yang Syafina dan Farhan lemparkan padaku.  Kenapa mereka terlalu bencikan aku? Sedangkan aku hampir-hampir sudah mampu memaafkan mereka atas segala perbuatan mereka terhadapku. Kenapa, ya Allah. Kenapa…

“Dah puas lari dari abang?”

Entah dari munculnya suara itu aku tidak pasti. Yang pasti aku amat mengenali suara itu. Pantas aku berpaling ke belakang.

Mataku dan mata Syamil saling bertemu. Dadaku berdegup laju saat terpandangkan wajahnya terpampang jelas di hadapanku. Adam Syamil sedang berdiri di hadapanku sambil memeluk tubuhnya. Lambat-lambat lelaki itu melangkah ke arahku. Segera aku membuka langkah untuk melarikan diri.

“Syazleen Afiqa!”

Bergema suara Syamil memanggil namaku. Aku tetap kuatkan semangat untuk meneruskan langkah. Dan akhirnya, Syamil menghalangi laluanku.

“Kenapa Leen sanggup tinggalkan abang? Hmm? Tak sayang abang? Anggap abang ni apa? Lelaki bodoh yang terlalu bodoh nak lepaskan seorang perempuan baik macam Leen?”

Aku gelengkan kepala. Hati mula sebak. Mata mula berkaca. Kenapa aku harus bertemu dengan Syamil lagi. Aku tak sanggup nak berdepan dengan dia ya Allah… Aku malu!

“Kenapa Leen buat abang macam ni? Leen pergi macam tu aje. Tak tunggu abang. Tak cakap apa-apa. Kalau sebab gambar ni Leen pergi, abang rasa sangat kecewa dengan Leen.” Syamil menayangkan sekeping foto yang sama yang pernah Syafina tunjukkan pada Puan Shimah. Terus buat aku semakin malu bertentang mata dengannya.

“Ini masa lalu Leen. Sekarang Leen yang ada depan mata abang adalah seorang perempuan yang sangat sempurna bagi abang. Abang sayangkan Leen.  Abang takkan sesekali lepaskan Leen!”

“Tak!” Suaraku kuat membantah.

Sudah tidak kuhiraukan di mana tempat aku sedang berdiri itu. Walaupun ada beberapa mata yang memandang, aku tetap keraskan hati untuk mengusir Syamil jauh dari aku.

“Abang pergilah. Leen tak nak cakap apa-apa lagi. Anggap kita memang takde jodoh. Dahlah. Pergi…”

Kakiku pantas melangkah meninggalkan Syamil. Aku cuba sedaya upaya untuk tidak menangisi pertemuanku dengannya. Namun, hati ini amat sedih tatkala memandang wajah Syamil. Kasihan benar lelaki itu. Seharusnya aku tidak melayan dia seperti ini. Mungkinkah benar Syamil betul-betul tidak kisah dengan masa laluku? Jadi dia mampu menerima siapapun aku? Andai pada masa akan datang dia menghina aku dengan bermodalkan masa laluku itu bagaimana? Ah! Sungguh fikiranku amat kusut detik ini. Ya Allah, berikan aku petunjukMu.


*******

Seharian suntuk aku memikirkan pertemuanku dengan Syamil. Nak fokus kerjapun aku dah tak mampu. Kerana bimbang Syamil akan mencariku lagi, segera aku meminta Kak Ton menggantikan tempat aku di mesin wang. Nasib baiklah Kak Ton sudi membantu.

Aku sembunyikan diri dalam stor. Lakukan kerja apa yang patut. Andai Syamil tetap mencariku bagaimana? Adakah aku harus melarikan diri dan berhenti kerja? Sampai bila aku harus lari dari dia?

Petang itu tepat jam 6.30 petang, waktu kerjaku habis awal. Biasanya kalau habis kerja awal terus aku pulang ke rumah. Tidak melencong ke mana-mana lagi.

Seperti kebiasaannya, aku akan pulang ke rumah dengan menaiki bas. Namun, petang itu tidak sama dengan petang-petang yang lain. Kehadiran Syamil yang mengejut, benar-benar buat aku terkejut. Adakah lelaki itu memang menunggu aku pulang dari kerja?

“Kali ni Leen takkan dapat lari dari abang lagi.” Ujar Syamil seraya melabuhkan duduk ke kerusi. Pantas aku bangkit dari kerusi dan ingin melarikan diri darinya.

Tidak sempat aku lari jauh, dengan sangat berani Syamil memegang tanganku. Terus aku merentapnya kasar.
“Kalau Leen masih nak larikan diri dari abang, abang akan bertindak lebih kasar dari tu.” Ugutan Syamil buat hatiku jadi takut. Akhirnya aku hanya berdiri di situ menanti dia berkata-kata. Rinduku padanya buat aku ingin berada di situ lebih lama. Ah! Hati ini memang terlalu rapuh!

“Ke mana Leen menghilang selama ni? Sebulan abang cari Leen. Leen memang tak kasihankan abang kan? Tinggalkan abang macam tu aje. Kenapa? Kenapa Leen tak terus terang aje dengan mama? Cakap pada mama dan papa siapa Farhan yang sebenarnya. Biar dorang tahu, macam mana perangai menantu kesayangan dorang tu!”

Penuh benci, Syamil berkata-kata. Dia mendengus dengan agak keras seakan-akan terlalu benci membicarakan soal Farhan.

“Apa pun yang Leen cakap, aunty dah tak boleh terima Leen lagi abang. Cukuplah. Leen malu dengan abang dan keluarga abang. Masa lalu Leen cukup mengaibkan.  Leen sedar tempat Leen di mana.” Aku bersuara kehibaan.  Syamil terus berdiri berdepan dengan aku. Ditatap wajahku dengan pandangan redupnya.

“Abang dah ceritakan semuanya pada mama dan papa.  Abang buat semua tu sebab abang tak nak nama baik Leen tercalar. Ya, memang abang terkejut dengan rahsia Leen tu. Tapi itu semua masa lalu. Dah berlalu. Sekarang abang nampak seorang wanita yang sudah insaf dan solehah di depan mata abang. Abang terlalu sayangkan dia.”

Mata Syamil turut berkaca. Dia memandangku seperti mengharapkan aku meyakini kata-katanya.

Benarkah dia tidak kisah dengan masa laluku itu? Mengapa hati ini terlalu takut untuk mempercayai?

“Tapi mama dan papa tak mungkin dapat terima Leen abang.  Kita tak patut teruskan hubungan ni. Tanpa restu dari ibu bapa, redha Allah takkan pernah ada, abang.” Aku mula menitiskan air mata. Mungkinkah cinta aku dan Syamil akan bersatu?

Syamil gelengkan kepala seakan-akan tidak setuju dengan kata-kataku. Akhirnya dia bersuara.

“Abang nak Leen jumpa dengan mama papa abang. Mereka ada sesuatu nak mintak dari Leen. Leen harus jumpa dengan mereka. Pasal Farhan dan Aina, Leen jangan risau. Abang takkan biarkan mereka ganggu hidup kita lagi. Ikut abang sayang. Ikut abang jumpa dengan bakal mertua Leen.”

Aku terpana mendengar ayat terakhir Syamil itu.Bakal mertuaku? Mungkinkah Puan Shimah dan Tuan Adam masih menganggap aku bakal menantu mereka? Cukuplah. Aku dah tak sanggup nak berdepan dengan penghinaan mereka semua!

#bersambung...


10 comments:

  1. Dorg nk mntk ape dr leen?
    Baik nye syamil...

    ReplyDelete
  2. ala nk lgi.... :( mintk2 parents syamil mintk kembli semula ke apa ke....

    ReplyDelete
  3. Aduh.....baik syamil
    cik wtiter saja tau...buat suspen aje :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Syamil betul2 cintakan Leen :)
      Suspen tu harussss..hehe

      Delete
  4. akak saya nak tanya, cerita ni dah pernah ada kat blog akak sebelum ni kan?

    ReplyDelete