Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
“Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia
telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah...! Dan Tuhanmulah
yang paling Pemurah, yang mengajarkan manusia dengan perantaraan kalam. Dia
mengajar manusia apa yang tidak ia ketahui.” (Surah Al-‘Alaq 96: 1-5)
Di
satu sudut kelihatan seorang pemuda sedang sibuk menelaah beberapa buah buku
yang berada di sekelilingnya. Ruang itu penuh dengan buku-buku. Al-maklumlah
nama pun berada dalam kedai buku.
Kedai
Buku HIJAU. Itu nama kedai tersebut. Sebuah kedai peninggalan arwah ayah pemuda
itu.
Umar
Ali atau lebih mesra dipanggil Ali merupakan pemilik mutlak kedai buku yang
sudah usang ini. Kedai ini sudah beroperasi selama hampir 30 tahun. Kedai
warisan turun-temurun. Banyak kenangan, banyak buku-buku yang telah terjual dan
banyak juga yang masih tinggal di sini pegun tidak diusik oleh pembeli.
Kalau
dulu-dulu kedai buku Hijau mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari
penduduk di kejiranan ini. Hampir setiap hari ada saja yang singgah untuk
membeli buku atau bertanya apa naskhah yang baru tiba di kedai ini. Ada juga
sahabat lama arwah ayah dan datuk Ali yang ke sini untuk berziarah.
Semua
kenangan itu masih segar tersimpan di kotak hati Ali. Cuma satu sahaja yang dia
takutkan. Dia bimbang andai semua itu – segala memori itu akan hilang dibawa
arus masa dan kemodenan.
Kini
kawasan di kejiranan ini sudah jauh membangun dari dulu. Makin banyak bangunan
yang terbina. Makin banyak kedai. Makin banyak
persaingan. Sungguh Ali sangat terasa dengan segala macam pembangunan
ini.
Di
hadapan kedai usangnya ini terbinanya sebuah pusat membeli belah yang besar
lagi moden. Di dalam sana sudah pasti terdapat banyak kedai beraneka macam.
Termasuklah kedai menjual buku-buku. Lama dan baru. Dari dalam dan luar Negara.
Pasarannya pasti lebih meluas.
Di
situlah persaingannya!
Semakin
lama, semakin kurang jumlah pengunjung yang berkunjung ke HIJAU. Pelanggan yang
datang boleh kira dengan jari. Dalam satu hari, kalau bernasib baik hanya ada
seorang dua yang datang. Itu pun kadang-kadang sebab tersalah cari kedai. Hmm!
Sungguh
Ali rungsing memikirkan semua ini. Dengan kekangan wang yang makin susut.
Hutang lagi. Hanya Tuhan saja yang tahu keadaannya sekarang. Mujurlah dia masih
bujang dan hidup sebatang kara. Kalaulah dia ada anak bini dan keluarga yang
lain sudah pasti makin bertambah kusut otaknya ini.
Clingg.
Bunyi
loceng itu menandakan ada pelanggan yang baru masuk. Ali yang kusyuk membaca
hanya buat bodoh sahaja dengan keadaan itu. Sungguh dia sudah hilang mood untuk
bersemangat menyambut tetamu. Paling kurang pelanggan yang datang itu mungkin
seseorang yang dia kenal.
“Assalamualaikum,
tuan kedai!” Bahu Ali ditampar kasar.
“Waalaikumussalam.”
Perlahan Ali menjawab. Hah kan dah cakap tadi. Pelanggan yang masuk tadi seseorang yang dia kenal. Budin – kawan baik dia sejak dari sekolah lagi. Jiran
dia juga.
“Kau
apasal tak ada mood ni hah, Ali. Cubalah senyum sikit. Di bahu kecil kau ni
bukannya tergalas beban satu dunia ni pun.” Ada nasihat di sebalik kiasan dari
Budin. Si Ali yang banyak membaca dan banyak ilmu masakan tidak mengerti. Budin
menunggu reaksi Ali.
Lelaki
itu tetap bersahaja. Duduk bersilangkaki di atas kerusi rotan. Buku-buku
berselerak tidak kemas.
“Memanglah
bukan satu beban dunia ni aku galas. Tapi…” Tajam pandangan Ali menikam wajah
Budin. Budin telan liur.
“Tapi
dua-dua belah bahu aku ni tanggung beban hutang dan buku-buku yang masih
belambak tak laku!” Meninggi suara Ali. Buku di tangan dibelek rakus lalu
dihempas ke meja buku itu dengan penuh geram lagi kecewa. Dia mengeluh lemah.
Sekali
menggeleng, sekali mengangguk Budin tika itu. Dia faham keadaan Ali. Bukan dia
tidak cuba membantu sahabatnya ini. Apa yang dia mampu, dia tolong. Tapi nak
buat macam mana. Itu semuakan rezeki dari Allah. Banyakkan bersabar wahai Ali…
“Sabarlah,
Li. Allah uji kau sebab Dia nak bagi kau pahala sabar. Kita dah usaha. Allah
yang menentukan segala-galanya. Janganlah putus asa.” Bahu Ali diusap lebih
lembut kali ini.
Mendengarkan
itu Ali segera beristighfar dalam hati. Dia tertunduk sambil memicitkan
kepalanya.
“Aku
dalam dilemma kau tahu tak, Din. Kalau boleh aku nak jual aje kedai ni. Buat
apa tanggung hutang. Buku pun bukan laku. Kedai ni dengan buku-buku ni aku
jual. Habis cerita.”
“Tapi?”
Budin menyampuk. Dia dan Ali saling berpandangan buat seketika.
“Tapi?”
Budin sekali lagi mengulang soalan. Dia tersenyum.
Lama
berjeda akhirnya tak semena terbit sama senyuman di bibir Ali. Dia menggeleng.
Lemah.
“Tapi
aku sayang dengan kedai ni. Bukan semata-mata sebab pusaka dari ayah aku tapi
sebab ‘mereka’ yang selama ni aku tak pernah sedar pun kewujudan mereka semua
tu. Hmm…” Lirih suara Ali menjawab. Terima kasih Din kerana ingatkan aku
tentang perkara tu.
“Jawapan
kau tetap sama dari dulu, Li. Menunjukkan betapa kau terlalu sayangkan kedai
ni. Jadi kenapa kau nak berputus asa. Aku ada untuk tolong kau. Kita
pertingkatkan lagi promosi kita. Ya?” Bahu Ali ditepuk berulangkali.
Ali
tegakkan badan. Rambutnya yang kusut masai diraup-raup. Wajahnya yang sudah tidak
bermaya juga ditampar-tampar bagi menyedarkan diri sendiri akan hakikat bahawa
betapa kedai ini sebenarnya memberi banyak erti untuknya. Maka dia dilarang
untuk berputus asa dan patah semangat!
“Kedatangan
kau ke sini sebab nak bagi aku idea baru ke, Din?” soal Ali seraya bangun, mengemas
buku-buku yang berselerak. Hidup mesti diteruskan. Rasa kecewa yang menyapa
hati seketika tadi diusir jauh.
“Aku
ada dua berita penting untuk kau hari ni. Pertama pasal promosi tu. Kedua pasal
satu pertandingan kat TV ni. Aku nak kau join.” Budin mulakan bicara.
“Hah?”
Pantas Ali mengalihkan mukanya memandang Budin. Mulutnya mengangga.
“Pertandingan
apa pulak ni. Hisy kau ni.”
“Hisy
apa hisy. Betullah. Ada satu pertandingan ni aku tengok dekat TV. Itulah kau TV
pun dah tak tengok. Asyik dating dengan buku-buku.” Bebelan Budin buat Ali
jungkit bahu, malas. Apa-apa ajelah Budin oi.
“Macam
nilah. Sekarang dah masuk waktu Zuhur. Apa kata kita pergi solat dulu.
Makan-makan. Sambil tu kita bincang pasal benda ni. Aku tak kira, Li. Aku nak
jugak kau masuk show ni. Ini demi diri kau, masa depan kau dan terpenting demi
HIJAU!”
Melihat
pada keseriusan Budin berkata-kata, Ali tidak lagi mengeluarkan kata. Entah apa
agaknya show yang Budin maksudkan. Show itu dapat mengubah nasib diri dan kedai
buku kesayangannya ini? Apa agaknya ya…
++++
Malam
itu, selesai menunaikan solat Isyak, Ali terus rebahkan badannya ke katil. Lama
dia termenung menatap syiling biliknya. Pelbagai perkara menerjah minda. Dan
dalam banyak-banyak perkara itu muncul imej ‘mereka’ di benak Ali.
Terus
Ali bangun menegak. Pantas tangannya meraba-raba sesuatu yang terletak di bawah
bantal tidurnya.
“Hmm…”
Senyuman terukir lemah di hujung bibir. Diari yang dipegangnya itu terus
dibelek. Foto-foto dan ucapan-ucapan yang terdapat dalam diari itu berjaya
membuatkan Ali terlupa akan masalah yang membebani dirinya. Senyuman mereka
yang berada dalam foto itu melahirkan sebuah rasa puas hati yang sangat
mendalam dalam hati Ali. Dalam masa yang sama dia bersyukur. Dan paling penting
dia makin jelas akan satu perkara. Iaitu… pekerjaannya sebagai si penjual buku
bukanlah satu perkara yang sia-sia. Kerana dengan masih adanya kedai buku HIJAU
ini, ada senyuman yang berjaya dia lahirkan. Senyuman dari mereka-mereka yang
jauh lebih susah darinya.
Sebulan
yang lalu. Ali menerima sebuah bungkusan pos dari alamat yang baru pertama kali
dia lihat. Jauh tempatnya di pedalaman Sabah.
Diselongkar
bungkusan itu. Rupa-rupanya terdapat sebuah diari yang dibalut dengan kertas
pembalut hadiah. Selain diari itu, terselit sama sebuah lukisan yang digulung
kemas dalam kotak bungkusan. Lukisan sebuah gunung yang diselubungi kabus
indah. Cukup hidup lukisan itu.
Diari
yang diterimanya diselidiki isinya. Semakin banyak helaian yang Ali belek,
semakin hiba hatinya terasa.
‘Terima kasih, Abang
Ali. Buku-buku yang Abang Ali bagi semuanya best-best.’
‘Terima kasih, abang.
Buku yang abang bagi tu saya dah balut. Lain kali abang hantar buku lain pulak
eh. Hehehe…’
‘Bang, komik yang abang
bagi tu terbaik tau tak! Saya dah ulang banyak kali. Terima kasih, abang.
Sayang abang.’
Dan
banyak lagi sebenarnya ucapan-ucapan yang berjaya memberi kesan pada hati Ali.
Namun kesimpulan yang boleh dibuat adalah… Segala ucapan terima kasih dan
penghargaan ini menandakan ‘mereka’ semua gembira dan suka dengan pemberian tak
seberapa dari Ali.
“Ali, ayah tak ada
apa-apa nak tinggalkan untuk kau. Kedai buku HIJAU nilah satu-satunya harta
ayah. Kau jagalah kedai ni baik-baik, Li. Ayah serahkan kedai ni untuk kau. Kau
buatlah apa saja untuk kedai ni. Kau berhak buat keputusan untuk masa depan
kedai ni. Cuma satu ayah nak pesan, Li. Dalam kau sibuk untuk menggembirakan
dan menyenangkan kehidupan kau nanti, kau jangan pernah lupa untuk
menggembirakan dan membahagiakan kehidupan orang lain juga…”
Mendalam
pesan arwah ayahnya. Kerana itulah Ali memasang niat untuk menghadiahkan buku-bukunya
ini sebagai hadiah untuk anak-anak yang berada di pedalaman. Sudah hampir lima
tahun dia menjadi penderma rahsia. Namun sejak akhir-akhir inilah Encik Osman,
guru besar di sekolah pedalaman yang Ali bekalkan buku-bukunya, telah
menyampaikan hasrat anak-anak kecil itu untuk mengenali siapakah lelaki yang
selalu mengirimkan mereka buku dan surat.
Demi
tidak mengecewakan mereka, Ali sekadar menyatakan namanya dan dengan menitipkan
pesanan andai anak-anak itu mahu berbalas surat dengannya boleh saja menghantar
surat ke alamat kedainya ini. Namun setelah lima tahun berlalu ini kali pertama
dia menerima diari seperti ini.
Sungguh
Ali tidak pernah mengharapkan balasan apa-apa dari mereka. Cukup Tuhan saja yang
membalasnya.
Kegembiraannya
cukup sekadar melihat anak-anak itu gembira.
“Tapi
kalau suatu hari nanti aku memang terpaksa jual HIJAU, macam mana dengan nasib
anak-anak tu. Mampukah aku menghantar buku-buku kepada mereka lagi?” Ali
berbisik kesayuan.
Kali
ini diari itu ditutup dan telefon bimbitnya pula yang dicapainya. Pesanan
ringkas dari Encik Osman dibaca berkali-kali. Mungkin inilah jawapan mengapa
setelah lima tahun baru kini anak-anak itu menghantar surat dan diari ini
kepadanya.
-Ali, kerana buku-buku
yang Ali berikan pada mereka, sudah ramai anak-anak yang pandai membaca. Ramai
juga yang pandai menulis. Mereka mula memasang impian, Li. Impian untuk menjadi
orang lebih berjaya. Semua ni jasa Ali. Terima kasih saya ucapkan pada saudara
Ali. Hanya Tuhan saja yang mampu membalas budi yang Ali taburkan. Mulia sungguh
hatimu, wahai Umar Ali.
Mata
Ali pejam rapat. Makin sebak hatinya mengenangkan adik-adiknya itu.
“Perlu
ke aku ikut cakap Budin. Betul ke itu saja caranya untuk aku kekalkan HIJAU?”
Otak Ali teringat pada perbualannya dengan Budin di restoran tengah hari tadi.
Keinginan Budin untuk mengajaknya menyertai sebuah rancangan realiti tersohor
Negara buat Ali termenung lama tatkala mendengarnya.
“Kau
biar betul, Li. Reality show ni famous kut kat Malaysia. Hisy, inilah padahnya
asyik dengan buku.” Mengeluh Budin saat itu. Jus mangga disedut laju.
“Aku
lebih suka baca buku dari tengok rancangan di TV yang entah apa-apa tu. Banyak yang plastic dari real.” Ali
mencebik. Selamba wajahnya memandang wajah cemberut Budin.
“Tak
kisahlah kau tahu ke tak pasal show ni, yang aku tahu kau mesti join show ni.
Selain hadiahnya lumayan, kau boleh jadikan show ni sebagai pentas untuk kau
perkenalkan HIJAU ke satu dunia. Biar semua orang tahu bahawa dekat pekan kita
ni ada sebuah kedai buku yang paling klasik, paling lama dan paling mantop
buku-bukunya. HIJAU kedai buku turun-temurun kut!” Bersemangat Budin cuba untuk
meyakinkan Ali. Namun sakit jugalah hati dia bila Ali sekadar buat muka poyo.
“Weh
seriuslah!” Bahu Ali ditumbuk agak kuat. Ali mengadu seraya menggosok bahunya
yang terasa pedih.
“Aku
nak serius macam mana. Aku tak nak join reality show tu. Malaslah aku.”
Budin
berdecit. “Hisy kau nikan. Kalau kau betul-betul fikirkan masa depan HIJAU dan
budak-budak tu, aku yakin kau mesti akan join reality show ni. Kau ada
kelebihan yang tak ada pada orang lain, Li. Dan rancangan realiti ni mencari
orang yang istimewa macam kau. Jomlah, Li. Fikirkan masa depan HIJAU dan
adik-adik kau tu!”
Jauh
Ali menjatuhkan pandangannya. Dia berdiam lama.
‘Keistimewaan’
yang dia ada ini mampu mengubah nasib HIJAU dan adik-adiknya?
Benarkah
keistimewaan ini benar-benar satu perkara istimewa yang dicari oleh rancangan
realiti itu? Dengan kelebihan yang dia ada, mungkinkah dia berjaya menjadi
juara?
Keistimewaan
Ali adalah dia mampu untuk mengingat tajuk, nama penulis dan harga buku-buku
yang dijualnya. Dia juga ingat serba sedikit isi kandungan dalam buku yang
dibacanya. Termasuk latar belakang penulis buku.
Di HIJAU terdapat lebih tiga ratus ribu
naskhah buku. Itu tidak termasuk yang sudah berjaya dijualnya. Setiap maklumat
penting pada buku yang keluar masuk di HIJAU ini berada kemas di minda Ali.
Dan
kerana kelebihannya ini jugalah Budin mencadangkan satu promosi untuk HIJAU beberapa
tahun yang lalu.
Ali
telah mengadakan satu cabaran untuk setiap pelanggan yang mengunjungi kedainya.
Andai buku yang dibeli oleh pelanggannya tidak Ali ketahuai akan harganya, Ali
akan menghadiahkan secara percuma buku itu kepada pelanggannya. Tiada sebarang
bayaran.
Namun
setakat ini, sudah tiga tahun berlalu, rekodnya masih belum dipecahkan. Ali
ingat betul dengan setiap harga yang ada pada buku-bukunya.
Ini
semua adalah anugerah dari Tuhan untuknya. Otaknya kuat untuk mengingat semua
itu.
Jadi
benarkah dia mampu bersaing dengan peserta lain nanti yang kelebihan mereka
pasti jauh lebih kuat darinya? Mampukah dia?
++++
“Persilakan
peserta kita yang seterusnya. Umar Ali bin Abdullah…”
Bergema
satu dewan dengan tepukan gemuruh dari penonton. Itu menyebabkan jantung Ali
makin kuat berdegup. Dengan lafaz Basmallah dia memulakan langkah. Senyuman
kelat diukirkan.
Sebaik
saja dia melepasi pintu gerbang masuk, rasa gemuruh makin jelas terasa. Sungguh
ramai penonton yang berada di dewan itu. Semuanya ceria memberi tepukan
padanya. Perasaan takut tak semena hadir. Andai dia melakukan kesilapan dalam
acaranya itu nanti bagaimana? Ah… tiba-tiba rasa macam nak balik!
“Okey
Ali. Sila perkenalkan diri,” ujar pengacara setelah bersalaman dengan Ali.
Ali
telan air liur. Senyumannya cuba diukirkan.
“Assalamualaikum.
Saya Umar Ali. Boleh panggil Ali.” Ringkas saja dia berkata-kata. Itu pun suara
sudah tersekat-sekat.
“Okey
Encik Ali. Cuba ceritakan sedikit apa yang kami tengok dalam VT tadi. Tentang
diari tu.” Pengacara mengaju soalan.
Ali
cuba untuk rileks dan menceritakan kembali kisahnya dengan adik-adiknya.
“Jadi
itulah kisahnya. Sungguh menyentuh hati.” Setelah beberapa ketika Ali
bercerita, pengacara lelaki itu memberi respon. Ali cuma senyum dan
menganggukkan kepala. Ya sangat menyentuh hati. Kerana rasa tersentuh itulah
dia sanggup ke pentas mega ini untuk berjuang demi HIJAU dan adik-adiknya.
“Baiklah
tanpa kita melengahkan masa lagi ayuh kita mulakan acara kita. Juri nombor
satu, berapakah markah yang ingin anda berikan pada Ali?” soal pengacara pada
juri nombor satu yang duduk di hadapan pentas.
Camera-man
mula memberi fokus pada wajah juri nombor satu. Lelaki itu terdiam buat
seketika seakan-akan berfikir.
Ali
tunduk diam. Dia tidak kisah berapa saja markah yang bakal dia dapat. Menang
atau kalah, tujuannya ke sini adalah demi HIJAU dan adik-adiknya semata-mata.
“Saya
bagi Ali…” Juri nombor satu pantas menekan butang di hadapannya. Butang
bernombor itu memiliki nombor satu hingga lima. Konsep rancangan ini adalah
setiap juri akan memberi markah yang mereka rasa sesuai dengan tahap kesukaran
acara yang dipertandingkan. Tiga markah juri akan dikumpulkan dan akan
didarabkan dengan markah terakhir dari ketua juri iaitu dari seorang doktor
pakar. Markah dari doktor itu akan menentukan sama ada peserta layak atau tidak
meneruskan cabaran ini. Penilaian doktor bertauliah itu adalah berdasarkan
sains semata-mata.
“Tiga!”
Kuat suara pengacara menjerit.
“Kenapa
awak bagi tiga markah untuk Ali?” tanya pengacara pada juri nombor satu yang
terkenal dengan rancangan Positif di TV10 setiap hari Jumaat itu. Karl Hazim
memberi alasan kenapa dia memberi markah sebanyak itu.
“Bidang
saya adalah bidang sastera. Saya memang tak mampu untuk komen dari segi sains.
Itu saya akan serahkan pada Dr. Azad. Cuma saya melihat acara yang bakal Ali
tempuhi nanti tidaklah terlalu sukar kerana dia merupakan seorang tauke kedai
buku. Semua buku dia dah pernah tengok dan baca mungkin. Jadi kebarangkalian
untuk dia ingat nama penulis dan harga tu sangat tinggi. Itu pendapat saya.”
Ulasan dari Karl Hazim membuatkan Ali mengangguk cuma. Dia tidak mahu mengulas
panjang.
“Baiklah.
Chef Joe pula. Sila berikan markah anda.”
“Erm
saya bagi Ali… tiga markah juga.” Butang ditekan.
Ali
cuma tersenyum dan mengangguk. Pengacara juga sama.
“Kenapa?”
soal pengacara pada Chef Joe yang merupakan chef selebriti terkenal tanah air.
“Saya
sependapat dengan Karl. Maklumat keluar masuk buku ada dalam poket Saudara Ali.
Itu saja.” Chef Joe menguntum senyum ke arah Ali. Ali membalasnya seadanya.
Baiklah nampaknya dua juri ini seakan-akan tidak berapa yakin dengan kebolehan
mengingat yang dia ada. Tak mengapa. Dia akan cuba yang terbaik nanti. Ali,
jangan putus asa!
“Kita
beralih pada Wan Fazira. Apa markah yang awak nak berikan pada Ali?” Pengacara
bertanya pula pada selebriti yang sudah beranak dua itu.
“Saya
bagi Ali empat mata.” Pap. Butang ditekan dan nombor empat terpapar pada skrin
besar.
“Kenapa
empat?” soal pengacara.
“Sebab
saya rasa agak susah untuk ingat semua harga, tajuk buku dan nama penulis.
Bukan ratusan buku yang ada dalam kedai buku Encik Ali tapi ribuan. Kalau orang
biasa seperti kami rasanya tak mungkin dapat ingat semua tu. Dengan kecerdasan
otak yang Encik Ali miliki saya rasa dia memang layak untuk dapat markah ini.
Dan saya yakin Dr.Azad akan bagi lebih lagi.” Wan Fazira tergelak kecil sambil
memandang ke arah Dr. Azad.
Dr.
Azad hanya senyum. Buat masa ini dia memang tidak boleh memberi apa-apa markah
lagi sebelum melihat prestasi Ali secara keseluruhan.
“Baiklah.
Kalau semua sudah bersedia. Ayuh kita mulakan. Sebelum tu ingin saya bertanya
pada Encik Ali. Sudahkah anda bersedia?” Pengacara bertanya penuh semangat.
“Sudah!”
Ali juga menjawab dengan semangat.
“Baik.
Kita mulakannya sekarang. Sila ambil tempat anda.”
Ali
melangkah tenang menuju ke kerusi yang membelakangkan skrin besar. Kerana pada
skrin besar itu nanti akan terpapar imej buku-buku yang bakal pengacara ambil
dan tanya padanya.
Dia
harus meneka 30 buah buku dengan tepat. Hanya ada satu peluang. Andai dia
tersalah, maka semuanya akan berakhir!
“Baiklah.
Jika semua sudah bersedia. Kita mulakan dari sekarang!” Pengacara mula
mengambil buku yang sudah dipilih oleh para penonton. Pilihan yang pelbagai.
Dan ada di antara buku-buku itu terdapat dua edisi. Mampukah Ali memberi
jawapan yang tepat pada setiap buku yang bakal ditanyakan padanya nanti? Cuma
ada satu klu. Iaitu tajuk buku!
“Buku
pertama. Bicara Ini Demi Ilahi.” Suara pengacara berkemundang. Ali tarik nafas
panjang. Mata dipejam.
Dan
bibirnya mula melontarkan jawapan.
“Pengarangnya
adalah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Harga buku RM30.”
“Betul!”
Tepukan gemuruh bergema untuk Ali.
“Syahadah
Gadis Ateis.”
“Pengarangnya
Imran Haaz. Harga RM25.90.”
“Betul!”
“Lautan
Di Hujung Lorong.”
“Neil
Gaiman. Harga RM40.”
“Tepat!”
“Men
Are From Mars, Woman Are From Venus.”
“Erm…
John… John Gray! Harga buku RM33.90.”
“Tepat!”
Beberapa
minit kemudian… Pada buku yang ke-26.
“Jangan
Mati Sebelum Mati.”
“Jangan
Mati Sebelum Mati ada dua edisi. Pertama edisi Bahasa Malaysia. Kedua edisi Bahasa
Indonesia. Kalau boleh saya tahu apa warna cover depan buku yang awak pegang?”
soal Ali pada pengacara.
“Bagaimana
penerbit? Boleh ke saya bagitahu warna cover depan buku ni?” Pengacara bertanya
pula pada penerbit rancangan.
Beberapa
detik berlalu…
“Baiklah.
Penerbit memberi keizinan. Saya cuma boleh beritahu warna kulit depan. Warna
kuning mendominasi.”
Ali
pejamkan mata. Warna kuning mendominasi? Otaknya mula bekerja.
“Erm…
kedua-dua edisi menggunakan gambar cover yang hampir sama namun warnanya
berbeza. Warna kuning mendominasi. Seingat saya itu buku Jangan Mati Sebelum
Mati edisi Bahasa…”
Keadaan
dalam dewan mula mencemaskan. Masing-masing terdiam dan berdebar menanti
jawapan Ali. Sudah 25 buku Ali berjaya lepas. Andai Ali tersalah pada buku
ke-26 ini maka sampai di sini sajalah perjuangan lelaki itu.
“Jangan
Mati Sebelum Mati edisi Indonesia. Harganya RM27!”
“Tepat
sekali!”
Bergema
satu dewan dengan tepukan gemuruh untuk Ali. Ramai yang buat thumbs-up
untuknya. Ali hanya senyum. Debaran di hati masih belum hilang.
Perjuangan
Ali diteruskan untuk buku yang seterusnya dan yang terakhir.
“Baiklah
sudah tiba di buku yang terakhir. Penentu sama ada Ali berjaya layak ke
pusingan seterusnya atau tidak. Ali, anda sudah bersedia?” soal pengacara
dengan suara cukup serius.
Ali
angguk. “Sedia.”
“Tajuk
buku terakhir ini adalah… Kubik Leadership.”
Untuk
beberapa saat Ali diam lagi. Otaknya berfikir.
“Buku
ni buku Indonesia. Ada gambar pokok pada covernya. Terdapat tiga orang penulis.
Farid Poniman. Indrawan Nugroho dan Jamil Azzaini. Harga buku ni… RP65!”
Lancar.
Cukup lancar Ali memberikan jawapan!
“Tepat
sekali!!!! Tahniah Ali! Tahniah anda telah berjaya menjawab 30 buah buku tanpa
sebarang kesalahan!!!”
Semua
penonton bersorak untuk Ali. Masing-masing berdiri. Juri-juri juga berdiri dan
memberi tepukan untuknya.
Sungguh
saat itu Ali merasa seperti mahu menitiskan air mata. Dia sudah berjaya.
Berjaya melakukan sesuatu yang paling bermakna dalam hidupnya. Sungguh inilah
pencapaian terbesar untuknya!
“Dr.
Azad. Sila bagi markah anda.” Setelah keadaan mula tenang, pengacara mula
bersuara.
Belum
sempat Dr. Azad memberi respon, tiba-tiba Karl meminta izin untuk bercakap.
“Maafkan
saya. Saya rasa saya perlu mintak pertolongan dari Dr. Azad. Boleh tak doktor
bagi markah lebih untuk Ali. Tampung yang saya punya tadi. Sebab saya rasa 3
mata tidak cukup untuk apa yang dia buat hari ni.”
Semua
yang mendengar itu hanya tersenyum dan tergelak.
“Saya
pun sama. Dr. Azad tolong bagi lebih markah untuk Ali.” Chef Joe juga mencelah.
Sungguh acara yang Ali lakukan tadi sangat susah. Memang tidak mudah untuk
mengingat 30 buah buku sahaja daripada 300 ribu buku yang ada. Chef Joe dan
Karl khilaf dengan diri mereka yang memberikan markah tidak setimpal pada Ali.
“Sekali
lagi tanggungjawab besar saya kena galas. Ini yang susah jadi ketua juri.” Dr.
Azad bercanda.
“Saya
akan bagi markah sekarang untuk Encik Ali.” Sambungnya kembali serius.
Masing-masing
menahan debar. Segala keputusan kini terletak pada tangan Dr. Azad.
“Saya
bagi awak….” Lampu-lampu mula suram. Semua mata terarah pada skrin.
Pap!
Butang nombor ditekan. Dan akhirnya terpapar markah keseluruhan untuk Ali.
“70
markah untuk Umar Ali! Itu bermakna Dr.
Azad memberikan 7 mata untuk Ali… itu bermaksud Ali juga tidak layak untuk ke
peringkat seterusnya…”
Satu
dewan mengeluh berat. Dr. Azad mula memberi penjelasan.
“Untuk
layak ke peringkat seterusnya markah peserta harus melebihi 80. Dan Ali
memerlukan 8 markah dari
saya untuk berjaya. Tapi saya rasa saya hanya mampu memberikannya
7 markah.”
“Alasannya?”
Pengacara memintas.
“Macam
ni… memori jangka panjang Ali memang menakjubkan. Dan sememangnya otak manusia
berbeza semuanya. Tak semua dapat simpan memori maklumat yang baik dan detail
macam Ali. Dengan harga bukunya, penulisnya, tajuk bukunya dan warna buku. Dia
juga ingat betul apa yang terjadi pada penulis buku itu dan tahu isi kandungan
buku. Itu satu kelebihan dan kemampuan luar biasa. Namun perlu diingatkan. Ali
adalah seorang pemilik kedai buku dan hidupnya 24 jam bersama buku-buku.
Prinsip memori terdapat sepuluh jenis. Saya bagi 2 jenis sahaja yang
bersesuaian dengan Ali iaitu prinsip memori yang Ali alami adalah minat dan
pengecilan maklumat. Dia gemar membaca. Dia suka pada buku. Jadi minat untuk
mengingat timbul. Pengecilan maklumat pula adalah dia mengingat fakta-fakta
pada buku. Itu semua adalah satu kelebihan namun untuk rancangan ini saya rasa
Ali belum cukup mampu untuk teruskan perjuangannya.”
Panjang
huraian dari Dr. Azad. Semua juri tiada bantahan dan seakan bersetuju dengan
pendapat doktor muda itu.
“Apa
pendapat awak Ali? Ingin menambah apa-apa atau tidak berpuas hati dengan
jawapan dari Dr. Azad?” Pengacara bertanya.
Ali
menggelengkan kepala. Dia senyum.
“Saya
terima ulasan dari Dr. Azad dengan hati yang terbuka. Walau saya tak layak ke
peringkat seterusnya, sekurang-kurangnya impian saya sudah terlaksana. Untuk
memperkenalkan HIJAU di mata dunia dan membantu adik-adik saya. Itu sudah
mencukupi.”
“Kalau
begitu bolehkah awak memberitahu para penonton semua alamat kedai buku awak. Inilah
masanya untuk awak promote HIJAU.”
Tersenyum
segan Ali saat itu. Lambat-lambat dia memberikan alamat kedai bukunya.
“Baiklah.
Sampai masanya untuk kita mengucapkan selamat tinggal pada Ali . Harap awak
terus kuat untuk berjuang demi HIJAU dan adik-adik awak. Jangan putus asa. Berbanggalah
dengan pekerjaan awak ni. Teruskan apa yang awak lakukan untuk adik-adik awak.
Setiap yang berlaku pasti memberi erti. Takkan pernah ia berlaku untuk sia-sia.
Ingat tu!” Sempat pengacara memberi kata-kata semangat untuk Ali.
Ali
angguk lalu bersalaman dengan pengacara. Baru saja dia nak melangkah pergi,
tiba-tiba Wan Fazira bersuara menyampaikan sesuatu.
“Tunggu
Ali. Para juri dan penerbit sempat berbincang tadi. Idea ni dari saya
sebenarnya. Apa kata awak dicabar sekali lagi untuk meneka buku-buku tu. Tapi
kali ni dalam tempoh masa 2 minit. Sebanyak mana buku yang awak mampu teka
dengan betul dalam masa 2 minit tu, kami akan menggandakan buku itu untuk
dihadiahkan kepada adik-adik awak. Setuju?”
“Setuju!
Setuju! Setuju!” Suara penonton memberi galakkan pada Ali buat Ali angguk laju.
Demi adik-adiknya dia sanggup mencuba!
“Berapa
gandaan buku tu?” soal Ali bersemangat.
“Memandangkan
terdapat empat orang juri dan seorang pengacara jadi kita akan ganda lima.”
Fazira memberi jawapan.
Ali
senyum puas. Baiklah dalam masa 2 minit dia akan melakukan yang terbaik. Meneka
sebanyak mana buku yang dia mampu. Jangan sampai tersalah. Dia sangat-sangat
ingin menghulurkan lebih banyak buku kepada lebih ramai orang di luar sana.
Kerana dengan sebuah buku, tidak mustahil kehidupan seseorang akan berubah buat
selama-lamanya. Kerana dalam buku itu ada ilmu. Dan ilmu itu punca kita
bertindak. Apabila ilmu dan usaha bergerak seiring, insyaAllah kejayaan bakal
menjadi milik kita. Tiada yang mustahil!
Buku adalah
sebuah benda mati, tetapi kehidupan terus hidup di dalamnya. Dengan buku, kau
punya kemampuan untuk membalikkan waktu.
Karlina Leksono
Beberapa
bulan kemudian.
“Ini
kedai buku yang masuk TV tu ke eh?” soal seorang pelanggan yang baru masuk ke
dalam kedai.
Ali
yang berada di kaunter hanya angguk lalu tersenyum.
“Saya
Umar Ali. Tauke kedai buku ni.” Ali perkenalkan diri.
Tak
semena pelanggan lelaki berusia awal 20-an itu teruja.
“Owh
awaklah orangnya. Saya Firdaus. Saya kagumlah dengan kecerdasan otak awak. Saya
ada baca dalam surat khabar tentang awak dan kedai ni. Sebab tu saya ke sini.
Nak kenal awak dan lebih penting nak challenge awak teka harga buku tu.” Ramah
pelanggan itu berkata-kata.
Ali
senyum dan angguk. Untuk hari ini sudah 30 orang pelanggan yang masuk ke HIJAU.
Semua yang datang mengetahui akan kewujudan kedai ini melalui tv, surat khabar,
radio dan internent. Pokoknya, HIJAU sudah menjadi popular dan dikenali.
Dan
kerana itulah, Ali mendapat cetusan ilham terbaru.
Setelah
30 tahun HIJAU beroperasi, ini kali pertama HIJAU akan ditutup untuk kerja-kerja
penambahbaikan. Kata Budin, Ali perlu menjadikan HIJAU sebagai tempat untuk
orang datang dan boleh rileks-rileks. Boleh minum sambil membaca. Boleh lepak
sambil membaca. Boleh santai-santai ala-ala cafeteria.
Santai
– Mesra- Hijau. Itu konsep terbaru HIJAU.
Kini,
Ali mulai sedar akan peripentingnya dia untuk bersaing secara sihat dengan
kedai buku yang lebih gah dan moden di luar sana. Dengan adanya modal HIJAU
yang sudah dikenali, maka dia seharusnya bijak mengambil peluang ini untuk
menjadikan HIJAU makin berada dekat dan melekat di hati pelanggan yang
berkunjung ke sini.
Itu
berkisar tentang HIJAU. Dan ini pula berkisar tentang adik-adiknya yang berada
jauh di pedalaman sana.
-Assalamualaikum, Cikgu
Osman. Saya dah bersedia untuk bertemu dengan adik-adik saya. Harap mereka
masih sudi untuk berkenalan dengan abang dorang yang pemalu ni. J
Itu
SMS yang dikirim oleh Ali kepada Cikgu Osman beberapa hari yang lalu.
Lusa
Ali akan berangkat ke Sabah untuk bertemu dengan adik-adiknya setelah hampir lima
tahun dia menjadi Umar Ali yang misteri.
Selain
membangunkan HIJAU, Ali juga berusaha untuk mengumpul lebih banyak dana bagi
membantu lebih ramai anak-anak untuk memiliki sebuah buku. Jika dilihat secara
mata kasar ia bagai tidak memberi kesan. Namun Ali berpegang pada kata-kata
arwah ayahnya.
“Sekeras-kerasnya
batu jika terkena titisan air setiap hari lama-lama akan berlekuk bahkan mampu habis
terkikis. Manusia ibarat titisan air, jika tanpa putus asa maka rintangan (batu
besar) yang sangat berat pun mampu ditakluki. Dengan keyakinan kuat dan tak
kenal putus asa maka kejayaan akan dituai dan harus disertai rasa syukur agar
setiap titisan air diberkati.”
Dan yakinlah juga… setiap yang
berlaku dalam hidup kita pasti memberi erti. Pada kita, pada orang lain dan
pada dunia… Bukankah tiada yang mustahil dalam dunia ini andai Tuhan
mengkehendaki?
TAMAT.
#Cerpen
ini adalah adaptasi dari kisah benar yang saya tonton dalam sebuah rancangan di
ntv7 iaitu rancangan game show THE BRAIN CHINA. (main setiap hari Sabtu pukul
8.30 malam).
Dalam
rancangan tu ada seorang peserta lelaki yang datang untuk bertanding
semata-mata demi memperkenalkan kedai bukunya dan demi anak-anak kecil yang
selama ini dibantunya.
Pemuda
itu (lupa nama dia) merupakan tauke kedai buku tu. Satu hari dia menerima diari
dari anak-anak yang dibantunya. Anak-anak tu menulis ucapan terima kasih
kepadanya dan titipkan gambar-gambar mereka dengan buku-buku yang pemuda tu
hadiahkan.
Kerana
beban hutang pemuda tu memang nak tutup kedai buku dia. Tapi sebab terima diari
tu dia mula fikir lain. Dia mula nampak kedai bukunya juga memberi peranan
penting untuk ‘seseorang’. Pekerjaannya sebagai penjual buku juga membawa erti
kerana melalui kedai bukunya itu dia mampu menghadiahkan buku-buku kepada
anak-anak yang susah.
Pemuda
tu memang tak layak ke peringkat seterusnya sebab dia memang dapat markah
sedikit. Namun kecerdasan otaknya memang dipuji juri.
Apa
yang direka dalam cerita ini adalah nama watak, nama watak pembantu, nama-nama
juri, tajuk buku (ada yang direka ada yang betul), harga buku dan nama penulis
(ada yang betul, ada yang direka). Part perbualan sesama juri dan doktor itu
juga separuh direka dan separuhnya adalah benar.
Saya
tertarik untuk membuat cerpen adaptasi kisah pemuda ini adalah kerana ia sangat
menarik (bagi saya). Jarang saya membaca kisah seperti ini. Selain itu motif
cerpen ini juga adalah untuk memupuk minat kalian untuk banyakkan membaca.
Kerana membaca itu sememangnya satu perkara yang sangat memberi faedah untuk
diri kita dan ia kadang-kadang dapat menjadi asbab kita mampu membantu orang
lain.
Dalam
Islam sendiri budaya membaca ini ditekankan.
“Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia
telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah...! Dan Tuhanmulah
yang paling Pemurah, yang mengajarkan manusia dengan perantaraan kalam. Dia
mengajar manusia apa yang tidak ia ketahui.” (Surah Al-‘Alaq 96: 1-5)
Ilmu ialah warisan 'anbia
Ilmu melindungi pemiliknya
Ilmu bertambah apabila digunakan
Ilmu dimiliki oleh orang yang beriman
Ilmu petunjuk ke jalan yang lurus dan benar
Ilmu akan menemani kita hingga ke liang lahad
Konklusinya... “Bacalah...,” tuntutlah ilmu setiap detik dan ketika tapi
semestinya... “Dengan nama Tuhanmu yang
Menciptakan...!”
Awal suruhan
ialah membaca
Menuntut ilmu disuruh budaya
Inilah teladan sepanjang masa
Gayakan hidup dengan membaca
Apalah nama andai tanpa ilmu
Apalah mahkota permatanya palsu
Tanpa membaca cacatlah minda
Tanpa ilmu ke manalah kita
Jika ilmu penuh di dada
Bila bergaya dengan membaca
Dunia sempit menjadi luas
Tempah kejayaan tiada terbatas
Negara yang kecil tinggi martabat
Kerana ilmu negara berdaulat
Mari kawan... Kita membaca
Mari rakan, timba ilmu dengan membaca
Inilah perjuangan, sambutlah seruan
Jadikan membaca gaya wawasan
Everybody take a book and read
To gain knowledge, everyone has to read
Let’s reach out, open up your mind
Let’s make reading, a lifestyle of wawasan
#Yang baik dari Allah SWT, yang buruk dari Cik Penulis :)