Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
BAB 5
Ihsan Zuhri. Seorang cikgu sementara
yang memulakan tugas mengajarnya di sekolah ini awal tahun ini.
Pertama kali aku bertembung dengan dia
sewaktu aku ingin masuk ke pusat sumber sekolah. Dia tengah nak keluar dan aku
pula sedang nak masuk. Kami bertembung. Mujurlah tak berlaga kepala.
Cepat-cepat aku minta maaf padanya lalu
aku memberi ruang untuk dia keluar terlebih dahulu. Setelah itu, aku tidak lagi
bertembung dengannya.
Itu saja kisah antara aku dan dia. Tidak
lebih, tidak kurang.
Namun, semalam, tup-tup dia menegur aku
di tempat rahsiaku. Setelah hampir lima bulan berlalu, kami bercakap buat kali
yang pertama.
Dia tahu nama sebenarku. Dia tahu tempat
rahsiaku. Macam mana dia boleh tahu?
Sungguh aku hairan dengan sikap Cikgu
Ihsan. Kenapa dia mesti tegur aku sedangkan aku ini bukan pelajar yang pernah
belajar dengan dia pun. Setakat anak murid biasa seperti pelajar yang lain
juga. Itulah aku pada dia. Sepatutnya begitu. Ini tidak, boleh pula lelaki tu
memberi aku bekal. Untuk apa? Simpati? Simpati dengan nasib aku yang sentiasa
keseorangan di sekolah ni?
Pasti Cikgu Ihsan sudah tahu mengenai
hal itu. Kebanyakan kakitangan sekolah, termasuk pengetua sekolah sendiri sudah
tahu akan masa lalu ibuku. Mereka juga tahu siapa aku yang sebenarnya.
Pernah pengetua meminta aku menemuinya
di biliknya. Dia memberi aku kata-kata semangat dan nasihat. Aku ambil apa yang
positif dari ucapannya. Namun, yang menanggungnya tetap aku! Yang rasa malu,
aku! Yang rasa dihina, aku! Orang lain mungkin boleh beri nasihat. Tapi yang
tanggung semuanya aku!
Kini, Cikgu Ihsan pula yang seakan-akan
ingin masuk campur. Pasti dia bersimpati dengan nasib aku. Ah! Andai itu
penyebabnya, usahlah cikgu muda itu berangan untuk mencungkil apa yang terbuku
di hati ini. Aku takkan luahkan pada sesiapa melainkan kepada ibu!
Pin! Pin!
Tersentak dengan bunyi hon yang
bertalu-talu itu, ingatanku terus hilang. Mata ini memandang bas sekolah yang sudah
berhenti di tepi pagar sekolah.
Segera aku bangun dari wakaf. Pelajar yang
lain turut sama meluru masuk ke dalam bas. Masing-masing mengambil port kegemaran. Aku juga punya tempat
duduk kegemaran.
Di bahagian paling hadapan. Betul-betul
di belakang Pak Husin, pemandu bas sekolah yang setia mengambil pelajar Sekolah
Menengah Kebangsaan Sri Jaya sejak sepuluh tahun yang lalu.
Di tempat kegemaranku, aku duduk dan
termenung memikirkan nasib hidup. Pelbagai perkara menerjah ke benak. Lama
berfikir, hanya kekosongan yang aku temui. Fikiranku jadi kosong sudah tidak
mampu berfikir apa lagi. Akhirnya aku termenung panjang di situ menanti bas
bergerak.
Sedang elok aku berpaling ke sebelah
kanan, mata ini bertembung dengan anak mata milik Cikgu Ihsan. Lelaki itu
sedang berada di dalam keretanya. Memandu untuk pulang.
Aku pandang wajahnya. Satu senyuman
ingin aku lemparkan namun belum sempat aku mengukirnya, Cikgu Ihsan sudah
memulas stereng lalu memandu keretanya laju meninggalkan halaman sekolah. Sikit
pun lelaki itu tidak senyum seperti kebiasaannya.
Badan kusandar lemah ke kerusi. Beg
sekolah yang berada di atas riba aku dakap erat ke dada. Memo yang terdapat di
dalam bekas yang Cikgu Ihsan berikan pada aku pagi tadi aku baca buat sekian
kalinya.
Cikgu
ada buat sandwich lebih hari ni. Cubalah rasa. Lepas dah habis makan nanti, bagi
bekas ni dekat cikgu balik ya. :)
Smiley senyum yang Cikgu Ihsan lakarkan
pada kertas itu aku sentuh lama.
Setelah apa yang terjadi antara kami,
mungkin kerana itulah cikgu muda itu tidak lagi tersenyum padaku. Dari smiley
senyum, sudah bertukar menjadi smiley masam.
Cikgu Ihsan, kenapa cikgu buat semua ni?
********
“Nuha! Nuha!” Aku yang baru saja mahu
terlelap setelah penat mengemas rumah dan menyiapkan lauk tengah hari,
dikejutkan dengan suara Pak Su Azam di luar kamar.
Pura-pura tidak mendengar panggilannya,
aku pejamkan mata. Namun, makin kuat lelaki itu menendang pintu bilik.
“Nuha! Hoi! Nuha!”
Dengan malasnya, terpaksa juga aku
bangun. Sambil menyarungkan tuala ke kepala, aku pulas tombol pintu. Daun pintu
aku kuak kecil.
“Kau pekak ke apa, hah?! Aku panggil
buat tak dengar pulak.” Bebelan Pak Su Azam aku telan saja. Dah biasa dah dia
terjerit-jerit macam ni. Tak lain, nak minta aku hidangkan dia makanlah tu.
“Pergi hidangkan lauk untuk aku. Aku
lapar ni. Mak su pergi mana? Cakap tak nak pergi kerja hari ni.” Dengan berani Pak
Su Azam menolak kuat daun pintu. Pintu mula terbuka luas.
“Hah, nampak pun muka kau yang cantik
ni. Mak su kau lambat lagikan balik?” Lelaki itu cuba merapati. Cepat-cepat aku
bergerak ke tepi. Hati tak semena berdegup kencang.
“Mak su cakap dia nak keluar kejap. Nak
jumpa kawan.” Kepalaku tertunduk ke bawah. Tak berani aku nak melawan renungan mata
penuh nafsu Pak Su Azam.
Sungguh keadaan ini sudah banyak kali
berlaku. Hati ini bukan bodoh untuk menilai. Walaupun ya, seorang itu manusia
harus berbaik sangka. Namun, bagi aku berbaik sangka pada seorang lelaki
seperti Pak Su Azam sangat merbahaya.
Melihat renungan, perlakuan dan
kata-kata pak su, mampu membuat bulu romaku meremang. Sudah banyak kali lelaki
itu cuba mendekat. Namun, aku bukan gadis dungu untuk terjerat dalam
perangkapnya!
“Eh! Cepatlah! Aku lapar ni!”
Sedar-sedar saja kepalaku sudah ditonyoh oleh Pak Su Azam. Lelaki itu mula
melangkah menuruni anak tangga. Mahu tidak mahu, terpaksa juga aku
membuntutinya.
Menyedari aku hanya menutupi rambutku
dengan tuala, cepat-cepat aku kembali ke bilik dan mencapai selendang. Lebih
selamat bertudung daripada bertuala.
Kerana pesan ibu sentiasa aku sematkan
dalam hati.
Kata ibu,
“Nuha
dah baligh. Seorang perempuan yang dah baligh, sudah mampu menanggung dosa
pahalanya sendiri. Bagi seorang perempuan yang mengaku dirinya Islam, menutup
aurat itu sudah menjadi kewajipannya. Nuha kena tutup aurat walaupun depan Pak
Su Azam. Faham sayang?”
Cukup aku mengerti kata-kata ibu itu. Aku
dan Pak su Azam bukanlah mahram. Bahkan kami berdua boleh berkahwin andai
ditakdirkan jodoh Mak su Kinah dan Pak su Azam tidak panjang. Tapi tak sangguplah
aku nak bernikah dengan pak cik aku sendiri. Dengan perangai dia macam tu.
“Nuha Huda!!!” Jeritan halilintar Pak su
Azam kedengaran nyaring di tingkat bawah. Tergopoh-gapah aku menuruni anak
tangga.
**********
“Kak Nuha, tujuh tambah empat berapa?”
Aku yang sedang ralit membaca Majalah Wanita segera mengalihkan pandangan ke
arah Akif.
Muhammad Akif, berusia tujuh tahun.
Sepupuku yang pertama. Adiknya pula, Siti Nurul Ain, berumur empat tahun. Panggilan
mesra kami sekeluarga pada Ain adalah Adik.
Akif dan Adik tidak seperti ibu dan
bapanya. Mereka sayang aku seperti ibu menyayangi aku.
Walaupun kadang-kadang kenakalan mereka
menguji kesabaran, sebagai kakak sepupu tunggal, aku sabarkan hati untuk
melayan kerenah mereka. Dan walaupun mak su dan pak su melayan aku dengan
teruk, aku tetap melayan anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang. Tiada
dendam. Ibu mengajar aku untuk tidak membalas kejahatan dengan kejahatan.
Balaslah kejahatan dengan kebaikan. Kelak, dengan izin Tuhan, musuh pun boleh
jadi kawan karib.
“Cuba Akif tunjukkan dekat Kak Nuha
tujuh jari Akif.” Aku mengarah.
Budak lelaki yang berkulit sawo matang
itu segera mengangkat jarinya membilang-bilang jarinya hingga cukup tujuh. Aku
tersenyum.
“Okey. Lepas tu Akif tambah lagi empat
jari.” Akif mengikut.
“Tujuh, lapan, sembilan, sepuluh…
sebelas!” Cukup ceria Akif apabila dia berjaya mendapatkan jawapan yang dia
cari-cari.
Aku usap-usap kepala Akif lembut. “Hah…
itulah jawapannya. Sebelas!”
“Terima kasih, Kak Nuha.” Ucapan terima
kasih dari Akif buat hati kecilku dihinggap rasa sayu.
Mak Su Kinah dan Pak Su Azam tidak
pernah melafazkan kalimah itu kepadaku. Sebarang bentuk penghargaan tidak
pernah aku dapat dari mereka. Yang ada cuma kata-kata sinis dan sepak terajang.
Hmm… bersabarlah wahai hati. Penghargaan manusia tidak penting. Biarlah Allah
saja yang menilai semuanya.
“Pak su kau mana?” Tiba-tiba saja suara Mak
Su Kinah menjengah ke gegendang telinga. Aku segera berpaling ke pintu. Ya
Allah, bagi salam pun tak. Main terjah aje. Aku mengeluh sendirian melihat
sikap Mak Su Kinah. Moga-moga Akif dan Adik tidak membesar mengikut sikap dan
perangai ibu bapa mereka. Aamiin.
“Eh aku tanya ni. Pekak ke apa?” Mak Su
Kinah melabuhkan duduk ke sofa. Diajak Adik untuk duduk di atas ribanya.
“Erm, pak su tengah makan dekat dapur,”
ujarku perlahan.
Beberapa saat saja membelai anak
bongsunya, Mak Su Kinah terus bangun. Kakinya menapak ke dapur. Dari air muka
mak su, kelihatan seperti dia sedang punya masalah. Satu yang aku perasan
mengenai diri Mak Su Kinah. Setiap kali dia punya masalah besar, dia pasti akan
mendiamkan diri dan tidak banyak menyakitkan hati aku. Andai begitu keadaannya,
aku berharap moga-moga setiap hari biarkan saja mak su ada masalah besar.
Barulah hidup aku menjadi sedikit tenang.
“Sini, dik. Kat Kak Nuha.” Aku tarik
Adik dalam pelukanku. Anak kecil itu hanya menurut. Kasihan Adik. Kurang
mendapat kasih sayang dari seorang ibu. Akif dan Adik memang selalu kena
tinggal dengan mak ayah mereka. Yang ada aku dan ibu sajalah memberi perhatian
kepada mereka. Semakin lama, semakin terabai pula kedua-dua beradik ini.
“Abang tak ada duit. Kenapa susah sangat
nak percaya ni!” Suara kuat Pak Su Azam menggegar ruang tamu.
Dia keluar dari ruang dapur lalu menuju
ke pintu utama. Mak Su Kinah pula menyusuli suaminya sambil membebel sakan.
Aku, Akif dan Adik berdiam diri memerhati ‘drama swasta’ itu.
“Abang ni kalau saya mintak duit, asyik takde aje. Saya bukan nak banyak pun.
Nak lima puluh ringgit aje. Bukan nak buat apa pun, nak bayar hutang Senah.
Nanti saya dapat gaji, saya bayarlah balik duit abang. Dengan bini sendiri pun
nak berkira.”
Mak Su Kinah mendengus keras. Dia
berpeluk tubuh sambil buat muka.
“Kalau saya ada duit, dah lama saya bagi
kat awak. Dahlah, saya dah lambat ni. Nanti-nantilah saya cari duit tu bagi kat
awak. Huh! Duit, duit, duit! Itu ajelah yang awak pandai mintak.” Pak Su Azam
terus keluar dari rumah.
Dari ekor mataku, dapat aku lihat mulut Mak
Su Kinah masih lagi terkumat-kamit. Masih membebel sakan.
Enjin motosikal Pak su Azam mula
kedengaran nyaring. Semakin lama, semakin menjauh bunyi deruan enjin
motosikalnya. Lelaki, lelaki. Bila isteri membebel senang aje mereka larikan
diri.
“Eh, Nuha! Yang kau tercongok kat situ
lagi kenapa? Aku lapar ni. Pergi siapkan makanan untuk aku. Anak-anak aku dah
makan ke belum?” Suara Mak Su Kinah mula seperti petir.
Nak marahkan laki dia, aku jugak yang
kena. Hati ini hanya mampu mengomel tidak puas hati.
“Dia orang dah makan mak su.”
Lambat-lambat aku bangun dari sofa. Tidak mahu menjadi mangsa Mak Su Kinah,
segera aku mengikut arahannya. Lebih baik aku ikut saja arahannya, kalau tidak
dengan aku-aku yang kena nanti.
Itulah situasi dengan sering kali
menghiasi rumahtangga mak su dan pak su. Mata ini tidak buta untuk melihat.
Hati ini tidak buta untuk menilai. Ada kepincangan dalam rumah tangga mereka.
Isu utama ada dua.
Pertama, duit. Kedua, Pak Su Azam selalu
keluar malam.
Aku pernah nampak Pak Su Azam keluar
masuk dari hotel murah yang terletak di pekan. Bukan sekali tapi sudah tiga
kali. Keluar masuk dengan perempuan bukan mahram. Ya Allah, hati ini tidak
sanggup untuk memikirkan lebih jauh apa yang sebenarnya dilakukan oleh pak su
di hotel itu. Lantas aku menceritakan perkara ini pada ibu.
Ibu mengambil langkah untuk menasihati Mak
Su Kinah dan Pak Su Azam. Apa yang jadi selepas itu?
Aku menjadi mangsa penderaan Pak Su Azam
dan menjadi mangsa hinaan Mak Su Kinah. Kata mereka, itu semua fitnah. Mak su
percaya seratus peratus kepada suaminya. Pak su pula menafikan perkara itu
sekeras mungkin.
Semenjak dari itu, ibu melarang aku masuk
campur dalam urusan rumahtangga mereka. Kebenaran walau cuba ditutup, pasti
akan terbongkar juga suatu saat nanti. Andai waktu itu tiba, aku harap mak su tidak
meraung penuh kesal dek kedegilannya untuk mempercayai kata-kataku sebelum ini!
BAB 6
Masuk-masuk saja aku dalam kelas, aku
terus duduk atas kerusi. Latihan Sejarah yang tidak sempat aku siapkan di rumah
semalam, terpaksa aku siapkan pagi ni.
Hari ini aku juga datang awal ke
sekolah. Bermula dari semalam, aku rasa aku bakal datang awal ke sekolah.
Yalah, tempahan kuih ibu di warung Pak Rahim mendapat sambutan yang agak
menggalakkan. Makin bersemangat aku dan ibu menyiapkan kuih-muih itu semua.
Harap-harap rezeki kami berterusan seperti ini.
Aku juga dapat sedikit upah dari ibu.
Aku terpaksa ambil kerana aku nak menabung. Bukanlah demi masa depan pun tapi sekadar
untuk aku simpan duit tu untuk membeli hadiah hari jadi untuk ibu nanti. Dah
tak lama dah. Hujung bulan ni hari jadi ibu.
Sebab itu jugalah aku tak makan waktu
rehat. Sekadar minum air kosong yang aku bawa dari rumah aje. Cukuplah. Lagipun
aku dah sarapan dekat rumah dengan ibu.
“Eh, apa ni.” Merasa ada sesuatu berada
di bawah meja, segera aku membongkokkan badan.
Ternyata memang ada sesuatu di situ. Mataku
berkelip-kelip memandang ke arah sebuah bekas makanan yang duduk pegun dalam
laci meja. Tapi kejap. Kenapa aku macam kenal aje dengan bekas berwarna merah jambu ini. Ini bukan…
Cepat-cepat aku mengambil tupperware
empat segi itu. Penutup bekas aku buka laju.
Mihun goreng dan sebiji telur rebus
berada di dalam bekas. Sekeping memo juga ada sama.
Hari
ni cikgu masak lebih lagi. Cubalah rasa. Mee goreng bujang. Dah habis makan
nanti, bagi bekas tu dekat cikgu semula. Kali ni Nuha kena habiskan mee goreng
ni okey. :)
Smiley senyum itu buat aku tersenyum
sama.
“Cikgu Ihsan…” Muncul nama itu di bibir.
Hmm… Patutkah aku mengembalikan bekas
ini kepadanya? Tapi apa pula katanya nanti.
Semalam lelaki itu dingin setelah
mengetahui aku tidak menjamah sandwichnya. Kali ini, andai aku melakukan
perkara yang sama, adakah Cikgu Ihsan turut berkecil hati denganku?
Atau seperti ini pengiraannya. Apabila
aku menolak untuk makan makanan yang dibekalkan olehnya semalam, maka hari ini Cikgu
Ihsan terus mendesak aku dengan memberi mee goreng pula. Andai aku tetap tidak
menjamah mee gorengnya ini, maka esok pasti lelaki itu akan menyediakan makanan
yang lain pula.
Jadi… Itu bermakna aku kena makan mee
goreng ni! Barulah esok tiada lagi makanan yang diberikan oleh Cikgu Ihsan
untuk aku. Begitukah keadaannya?
*******
Masuk saja waktu rehat, aku terus
bergerak ke tempat rahsia. Aku bawa sekali bekal yang diberikan oleh Cikgu
Ihsan bersama.
Seingat aku, sudah lama juga aku tidak
membawa bekal ke sekolah. Setelah sekian lama, hari ini aku kembali makan
makanan yang ditapau dari rumah.
Seronok juga kalau hari-hari dapat makan
free macam ni. Hehe… Aku tergelak
sendirian.
Dengan lafaz Basmallah, aku suapkan
sedikit mee goreng ke dalam mulut. Kunyah, kunyah dan kunyah. Hmm… Boleh tahan
rasa mee goreng ni. Emm… sedap!
Sambil pandang ke kanan dan ke kiri, aku
kembali menyambung makan. Sedapnya mee ni.
Tak sangka ya cikgu muda seperti Cikgu
Ihsan pandai masak. Semalam pun sandwich yang dia bekalkan tu juga nampak macam
sedap aje. Rugi pula aku tak jamah. Hanya memo aje yang sempat aku ambil.
Entah kenapa dengan tangan ni. Gatal
pula nak simpan memo tu buat kenangan. Ah, biar ajelah. Bukan ada orang tahu
pun.
Mulut terus mengunyah. Sesekali air
dalam botol aku teguk perlahan.
Sedar tidak sedar, isi dalam bekas
tinggal lagi separuh. Aku terus berhenti menjamah.
“Hisy, takkan aku nak habiskan pulak.
Nanti apa pulak kata cikgu. Nampak sangat aku ni macam suka sangat dengan mee
goreng dia ni.”
Tapi… sayang pula kalau tak habiskan.
Dahlah sedap. Perut pun masih lapar. Apa aku nak buat ni?
Kalau aku tak habiskan, mungkin Cikgu
Ihsan akan berkecil hati pula dengan aku. Atau dia akan senang melihat aku
menghabiskan makanannya ini? Hisy! Tak pasal-pasal kepala otak dalam dilema.
“Habiskan aje mee tu.” Terbelahak habis
aku saat itu. Sepantas kilat aku berpaling ke belakang mencari si pemilik suara
yang menegurku.
Mataku dan mata Cikgu Ihsan bertembung.
Ada senyuman selamba terukir di bibirnya.
Cepat-cepat aku larikan pandangan entah
ke mana-mana. Apa cikgu buat kat sini? Dah lama ke dia perhatikan aku? Hisy! Perlu
ke aku letak signboard ‘Dilarang Masuk Ke Kawasan Ini!’ kat depan tu. Biar Cikgu
Ihsan tak menyibuk lagi datang sini. Ini tempat privasi aku kut.
“Cepat habiskan mee tu. Waktu rehat dah
nak habis ni.” Sedar-sedar saja lelaki itu sudah berdiri di hadapanku. Pantas
aku bangun dari kerusi.
“Erm… saya… saya dah kenyang, cikgu.”
Kuhulurkan tupperware merah jambu itu kepadanya.
Namun bukan disambutnya huluranku itu
sebaliknya dia memulas penutup botol air mineral yang dibawanya.
“Hulurkan tangan,” arahnya.
Mataku sedikit terjegil. Hulurkan tangan
untuk apa?
“Cepat. Basuh tangan tu dulu.” Dia terus
memberi arahan.
“Err… takpe cikgu. Saya boleh basuh tangan sendiri.”
“Nuha dah makan mee goreng cikgu, jadi Nuha
kena basuh tangan dengan air cikgu jugak. Cepat hulurkan tangan tu.” Lelaki itu
terus berkeras.
Hatiku mula berdebar lain macam. Hisy,
boleh pulak dia paksa aku macam ni.
Tidak mahu memanjangkan isu ini, aku
hulurkan tangan kepadanya. Terus dia menuang perlahan-lahan air mineral itu ke
tanganku.
Selesai basuh tangan, sekali lagi Cikgu
Ihsan mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Dah macam Doraemon aje. Semua
ada.
“Nah.” Beberapa helai tisu dihulurkannya.
Lagi sekali aku jadi serba salah nak ambil.
“Ambil aje. Free of charge.” Cikgu Ihsan mengukir senyuman mesranya. Tersenyum
kelat aku membalas senyumannya itu. Akhirnya, tisu itu aku ambil juga dari
tangannya. Tangan dan mulut aku lap sopan.
“Okay,
mission accomplished. Terima kasih, Nuha.”
Terima kasih untuk apa? Aku yang
sepatutnya ucap terima kasih kepadanya. Ya Allah, lupa nak ucap terima kasih
kat cikgu! Sedap aku pulun mee goreng dia, ucap terima kasih pun tak. Nuha, Nuha…
“Kenapa cikgu yang cakap terima kasih.
Sepatutnya saya yang cakap macam tu. Erm, terima kasih, cikgu. Sedap mee ni.”
Pujian itu lahir ikhlas dari hati. Turut aku hadiahkan secarik senyuman untuk Cikgu
Ihsan.
“Sedap ke? Kalau sedap esok cikgu bawa
nasi goreng pulak.” Senyum mekar Cikgu Ihsan saat itu. Diambil tupperware dari
tanganku. Dia mula bersedia untuk melangkah.
“Cikgu!” Sedikit kuat suaraku memanggilnya.
Langkah Cikgu Ihsan terus berhenti. Dia berpaling.
“Ya? Kenapa Nuha panggil cikgu?”
“Erm… cikgu tak payahlah susah-susah.
Seganlah saya macam ni.” Tak pernah dibuat orang, ada seorang cikgu, lelaki
pulak tu, memberi bekal kepada pelajarnya. Dahlah aku ni dah besar panjang.
Bukan budak-budak sekolah rendah dia nak layan macam adik-adik.
Mendengar apa yang aku katakan, Cikgu
Ihsan terus mematikan senyumannya. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh. Matanya
masih merenungiku.
“Tak susah pun. Lagi pun cikgu dah biasa
masak. Orang bujang kenalah pandai masak. Kalau dah ada isteri lainlah kan.”
Dia tersenyum kembali.
“Kalau Nuha tak suka cikgu bagi bekal
macam ni, cikgu nak Nuha makan waktu rehat. Isi perut tu. Baru ada semangat,
ada tenaga nak belajar.”
Ya Allah, masih dalam isu itu rupanya. Cikgu
Ihsan berlagak serba tahu pula tentang diri aku. Apa dia tahu ke aku tak
bersemangat nak belajar? Ada bukti ke? Hmm… Kenapa dia mesti jaga tepi kain
aku? Aku bukan siapa-siapa pun bagi dia. Kan?
“Saya okey aje, cikgu. Saya dah makan
pagi pun. Lagipun saya dah biasa tak makan waktu rehat. Saya harap lepas ni
cikgu tak payahlah tapaukan saya apa-apa. Saya seganlah. Kalau pelajar lain
nampak nanti, apa pulak kata dia orang. Maafkan saya cikgu. Saya minta diri
dulu. Terima kasih cikgu sudi belanja saya makan hari ni. Tapi lain kali saya…
saya tak boleh terima lagi.”
Aku tahu, aku harus berkeras. Biarlah
perkara ini berhenti setakat ini saja. Aku tak nak diri aku sekali lagi menjadi
tumpuan orang ramai. Kalau dulu, aku dihina, aku digelar anak luar nikah, anak
haram. Kini aku tidak mahu lagi menjadi tumpuan orang semata-mata kerana
sentiasa didekati oleh seorang cikgu muda seperti Cikgu Ihsan. Orang sekeliling
lebih suka menilai perkara yang belum tentu kesahihannya. Mereka bercakap
tentang apa yang mereka nampak. Hakikatnya, apa yang mereka nampak belum tentu
tepat dengan keadaan sebenar.
“Nuha! Nuha Huda!” Saat kakiku mula
melangkah, suara Cikgu Ihsan terus memanggil-manggil. Sikit pun aku tidak
menghiraukannya. Langkah kaki makin aku percepatkan.
BERSAMBUNG>>>>>>
#KOMEN ANDA AMAT SAYA SUKAAAA BACA ^^