Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
USTAZ F.B
Dengan lafaz Bismillah, aku membuka satu-satunya
laptop aku ada dalam dunia ni. Laptop yang dibeli dengan duit biasiswa yang aku
dapat atas keputusan cemerlangku dalam Peperiksaan Menengah Rendah aka PMR dua
tahun lepas. Tahun ini, aku dah masuk Form 5. Ada lagi 7 bulan sebelum SPM. Ya Allah,
sekejap aje masa berlalu. Pejam celik pejam celik, dah bertambah umur aku
sekarang. Tahun ni dah nak SPM tapi aku masih lagi tak buat apa-apa persediaan.
Nama aje pelajar cemerlang PMR tapi untuk tahun lepas dan awal tahun ini,
markah aku down sangat. Entah apa yang tak kenanya. Mungkinkah kerana si dia?
Cewah… tiba-tiba aje.
Apa-apa hal pun, laman social muka buku tidak mampu
aku tinggalkan. Hujung minggu seperti ini sajalah masa yang aku ada untuk ‘menelaah’
benda alah ni. Hehehe… Hari-hari biasa, biasanya aku dikerah untuk buat kerja
sekolah dan menghadiri tuisyen. Al maklumlah student.
Laman utama segera aku baca. Nak tahu juga apa yang kawan-kawan
aku update hari ni. Dan yang paling menjadi tumpuan adalah update status dari
Ustaz FB. Siapa Ustaz FB? Meh aku nak cerita. Sebelum tu kita baca dulu status
Ustaz FB hari ni.
Ustaz FB
#Selagi sesuatu
perkara atau perbuatan itu tidak salah dan tidak berdosa dari sudut hukum,
janganlah menghukum seseorang itu menandingi hukum ALLAH.
Ada 122 likes. 23 komen. Dan 4 kongsi. Aku segera
menambah bilangan itu menjadi…
123 likes. 24 komen. Dan 5 kongsi.
“Betul, betul, betul. Hanya Allah yang mampu
menghukum hambaNya. Betul kan, ustaz?” Komen itu aku taip. Aku tersenyum-senyum
melihat gambar profil Ustaz FB yang cukup simple itu. Gambar profil dia
hanyalah sebuah gambar yang berlatar belakangkan warna putih dan ada dua
perkataan. USTAZ FB.
Ustaz FB. Aku mula mengenali dirinya pada tahun
lepas. Pada hari itu,seperti biasa aku mengodek-godek laman FB sambil
berbalas-balas komen dengan rakan-rakanku. Tiba-tiba ternampak salah seorang
sahabatku di GroupMuslimMuslimatSejati memberi komen pada status Ustaz FB.
Terus aku terpikat pada status-statusnya yang penuh manfaat dan memberi ilmu
pengajaran itu. Tak tunggu lama, terus aku add dia. Beberapa hari berlalu, dia
approve aku dan akhirnya… Heliza Eja menjadi rakan kepada Ustaz FB.
Itulah serba sedikit salasiah aku dan Ustaz FB. Tapi
sayangnya, Ustaz FB tak pernah tunjuk muka. Pemalu sangat kut. Namun, tidaklah
aku terlalu memikirkan hal itu. Kata-kata dan nasihatnya lebih aku admire.
Kata-katanya sungguh berhemah dan bijaksana. Ayat Quran dan Hadis seringkali
menjadi status utamanya.
Ustaz
FB
#Jangan
pernah persoalkan mengapa kita diuji, kerana sudah sememangnya taraf kita yang
bergelar hamba ini layak diuji. Siapa kita sampaikan ALLAH tak boleh ‘jentik’
kita langsung. Siapa kita sampaikan ALLAH tak boleh nak tegur kita langsung.
Ustaz harap sekecil atau sebesar mana sekalipun ujian yang ALLAH berikan pada
kita, bersabarlah. Kerana Dia pernah berfirman dalam mafhumnya.
Dan Allah Ta’ala
berfirman:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأَمْوَالِ وَالأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepada kalian, dengan
sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan
berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah:155)
#Berita gembira
untuk orang yang bersabar. Itulah hikmahnya. J
Itulah status Ustaz FB untuk semalam. Dan kata-kata
Ustaz itu cuba aku praktikkan hari ini. Pagi tadi, bangun-bangun aje aku
terkejut bukan kepalang melihat buku latihan Matematik aku terdampar sepi atas
lantai. Bukan setakat terdampar sepi tapi yang buat aku bengang tahap tak
ingat, ada contengan tak boleh blah dalam buku latihan aku tu. Ya Allah, bengang
gila aku rasa masa tu. Yang pasti, itu kerja adik bongsu aku Muhammad Hadif
yang sangat nakal! Dahlah esok ada kelas tambahan. Argh! Bengang!
Marah memang marah tapi bila fikir balik, benda dah
jadi. Sabor ajelah. Bukankah taraf kita sebagai hamba memang akan selalu diuji?
Kata-kata Ustaz FB aku ingat. Dan yang lebih buat aku terpegun dan seram sejuk,
tengah hari tadi tiba-tiba aje aku dapat berita dari bff aku mengatakan bahawa
esok cikgu math batalkan kelas tambahan. Berita gembira untuk orang yang bersabar?
Ya Allah… Engkau telah mempatrikan janjiMu.
Hampir dua puluh minit aku godek-godek FB, tidak
mahu membuang terus masa aku di hadapan lappy, segera aku log out. Malam nanti sambung
lagi. Sekarang, aku nak pergi angkat kain dan kemas rumah. Dan malam nanti juga
bff aku akan tidur kat sini.Wah, seronoknya! Tak sabar nak tunggu kedatangan
minah kepoh aka Siti Hawa aka Princess Gurl-gurl. Huh! Gurl-gurl lah sangat.
******
“Eja… kau dah tidur ke?”
“Belum.”
“Kau tengah fikir apa?” Lama aku membiarkan soalan
dari Hawa itu tanpa jawapan. Jam sudah menginjak ke pukul 12 malam. Selesai
saja menyiapkan kerja sekolah Matematik Tambahan dan Biologi, aku terus ajak
Hawa tidur. Hawa bukan tak biasa pun tidur kat rumah ni. Diakan sepupu yang
paling rapat dengan aku. Merangkap bffku.
“Uit! Kau ni tak lain mesti tengah fikir ustaz tu
kan?” Agak terpana aku mendengar telahan Hawa. Terus lampu meja aku hidupkan.
Suasana menjadi sedikit suram namun aku dapat lihat agak jelas Hawa sedang
tersengih memandangku.
“Apasal pulak aku nak ingat kat dia. Kau jangan nak
buat gossip malam-malam buta ni Hawa oi.” Sengaja aku buat-buat ceria dengan
telahan hampir tepat Hawa itu. Memang.Memang aku tengah fikirkan ustaz tu.
Ustaz FB. Aku teringin nak kenal dia. Nak tengok muka dia.
Hawa mengiringkan badannya ke aku. Aku masih static
memandang syiling bilik.
“Itu bukan gossip tapi kenyataan. Aku tahu kau dah
angau dengan ustaz FB kau tu. Ops sorry. Bukan angau dengan orangnya tapi
dengan status-status keagamaannya. Kannnn?” Ada nada sindiran di hujung suara
Hawa. Bukan aku tak tahu dia tengah sindir aku. Huh!
“Baguslah kau tahu.
Memang aku suka dengan status dia. Elok untuk kita berubah menjadi lebih
baik.” Jawapanku buat Hawa berdecit kecil.
“Nak perli akulah tu.Aku tahulah aku tak cukup baik.
Ngee!” Tawaku terhambur mendengar rajuk Hawa.
“Alah kau ni. Itu pun nak terasa.” Aku pandang muka
Hawa.Dia masih monyokkan muka.
“Dah. Tak kuasa aku nak terasa.Kau jangan nak alih
topic eh. Sekarang kita tengah cakap pasal Ustaz FB tu. Susah-susah sangat kau
pm lah dia. Mintak gambar dia. Cakap Adik Eja nak tengok. Mesti dia bagi.Diakan
baik.” Langsung tak boleh guna saranan Hawa tu. Gila aku nak minta gambar
Ustaz. Malu kut!
“Tak kuasa aku nak ikut plan merapu kau tu.Mungkin
sampai bila-bilapun aku takkan dapat tengok muka dia. Hmm… Dahlah.Aku nak
tidur.” Tidak mahu mengusutkan fikiran,terus aku tarik selimut dan padamkan
semula lampu meja. Mata dipejam rapat.Melihat aku tidak lagi bersuara, Hawa
turut diam.Akhirnya malam itu berakhir begitu saja.
Nak minta gambar Ustaz FB? Tak mungkin pernah akan
aku buat!
*******
Beberapa hari kemudian, aku menjalani rutin harianku
seperti biasa. Pergi ke sekolah dan belajar bersungguh-sungguh seperti pelajar
yang lain. Fokus cuba aku beri seratus peratus.Namun,kadang-kadang hatiku
teringat juga pada Ustaz FB. Teringat aku pada status beliau semalam.
Ustaz FB
#Dosa umpama
pokok yang tumbuh di dalam hati,
Semakin lama
dosa itu di biarkan tanpa dicabut keluar,
Maka semakin
kuat cengkaman akar dosa itu di dalam jiwa seseorang.
Cabutlah akar
dosa itu dengan iman dan taqwa.
Insya-Allah
selagi kita masih bernyawa, selagi itulah pintu taubat masih terbuka buat kita.
Insaf aku dengan kata-kata Ustaz FB. Tapi biasalah
keinsafan itu hanya datang untuk seketika. Apabila kita dah seronok nanti, kita
akan kembali alpa dan lalai dalam mengingatiNya. Hmm…
“Jauh termenung.Dah siap ke salin nota kat depan
tu?” Suara Hawa menyapa jelas ke telinga aku.Terus aku tersentak bangun dari
lamunanku. Nota PAI yang sudah ditulis oleh Ustaz Zul di papan hitam kembali
aku sambung menyalin. Ingatan aku pada Ustaz FB cuba aku hapuskan.
“Eja, entah-entahkan Ustaz Zul tu Ustaz FB yang kau
cari-cari selama ni.” Hawa buat gossip lagi.
Kepalaku terteleng memandang Hawa. Ustaz Zul
yang sedang duduk di meja hadapan turut
aku pandang buat seketika.
“Ustaz Zul? Kau jangan nak merapulah Hawa. Ustaz Zul
tu….” Aku gelengkan kepala. Tak logik langsung Ustaz Zul tu Ustaz FB yang aku
cari-cari selama ni. Ustaz Zul asal dari Tapah Perak. Ustaz FB pulak dari Perak
juga tapi tak tahu daerah mana. Erk… Tak mungkin!
Melihat aku sudah tidak mampu bersuara,Hawa kembali
memanaskan ‘line’.
“Hah, kenapa kau diam? Mesti kau dah nampak sedikit
persamaan antara Ustaz Zul dan Ustaz FB kan? Apa-apa? Ceritalah.” Hawa sudah
jadi meneruskan kerjanya. Suaranya perlahan menyapa ke telingaku. Takut juga
Ustaz Zul nampak mereka sedang berborak-borak.
Aku tetap gelengkan kepala. Tak kuasa aku nak cerita
pada Hawa time kelas ni. Tak berkat ilmu yang aku dapat dari Ustaz Zul nanti.
“Nantilah aku cerita. Time rehat nanti. Dahlah
sambung kerja kau tu. Mana pembaris kau. Meh sini aku nak pinjam.” Kotak pensel
Hawa aku rampas selamba.Demi menghilangkan rasa keliruku, aku buat-buat sibuk
mencari pembarisnya. Dalam hati mula memikirkan telahan Hawa. Ustaz Zul dan
Ustaz FB adalah orang yang sama? Hmm… Ya ke?
********
“Hah ceritalah cepat. Apa persamaan antara Ustaz Zul
dan Ustaz FB tu?” Tak menyempat aku duduk, sudah Hawa sembur dengan soalan
cepumas tu. Aku duduk tenang ke kerusi. Sepinggan mee goreng dan segelas air
limau aku beli untuk makan pada waktu rehat ini.Suasana kantin yang hingar
bingar buat fikiran aku makin stress.
“Eja! Cepatlah!” Hawa terus memaksa. Aku mencebik ke
arahnya. Ugh! Sabarlah! Aku baru nak telah mee goreng ni.
“Persamaan dorang setakat ni hanya satu. Itupun tak
berapa nak tepat sangat.”
“Apa dia?”
“Asal dorang. Ustaz Zul dari Tapah Perak. Ustaz FB
pulak dari Perak. Tapi tak tahulah daerah mana. Dia tak beritahu pun kat fb
tu.” Aku cepat-cepat menyudu mee goreng dalam pinggan. Nanti karang sibuk pulak
si Hawa nak aku jawab soalan yang lain pulak.
“Aku fikir dari tadi lagi tau benda ni. Ada satu
cara aje yang boleh kita tahu sama ada Ustaz Zul dan Ustaz FB tu orang yang
sama.” Suara serius Hawa buat seleraku mati. Kutatap wajahnya yang putih
melepak itu penuh bingung. Cara apa?
Hawa tersenyum sebelum bersuara. “Apa susah, kau pm lah Ustaz FB tu dengan
tanya satu soalan agama. Lepas dia dah jawab soalan kau tu, kau tanya pulak
soalan tu pada Ustaz Zul. Kau bandinglah jawapan mereka. Kalau sama, maknanya
mereka adalah orang yang sama. Amacam brilliant tak idea aku?” Hawa mendabik
bangga. Aku terlopong mendengar idea itu.
Boleh pakai juga idea Hawa tu. Bila jawapan Ustaz Zul
dan Ustaz FB sama, sah-sah mereka adalah orang yang sama. Tapi betul ke cara ni
akan berjaya? Dan yang lebih penting aku nak tanya soalan apa kat Ustaz FB tu?
Buatnya Ustaz FB tak jawab bagaimana?Ah…
******
Beberapa hari kemudian, sedang aku dan Hawa
menghabiskan masa lapang kami dengan melayari internet, tiba-tiba saja muncul
satu pesanan di inbox mesej FBku. Terus aku bukak dan berdebar gila bila mesej
itu adalah dari Ustaz FB!
“Hawa!!! Hawa tengok ni!” Tiba-tiba aku jadi teruja.
Lappy kuhalakan pada Hawa yang sedang kusyuk berbalas twitter dengan rakannya.
“Apahal kau ni? Kena sampuk ke apa?” tanya Hawa
sambil buat muka tak berminat. Dia masih tidak menoleh pada skrin lappy.
Aku geram dengan tindakan Hawa. Pantas aku rampas
telefon pintar darinya. Hampir meradang Hawa saat itu.
“Tengok ni! Kau nampak tak siapa yang pm aku?” Aku
tayang skrin lappy betul-betul depan muka Hawa. Hawa mendengus sambil akur
melihat lappy itu. Mulutnya mula melopong. Dia turut berubah teruja.
“Ustaz FB!!” Dia yang sedang berbaring cepat-cepat
bangun duduk bersila. Laju tangannya menekan mesej itu.
“Eh, marilah aku baca. Ustaz FB aku yang pm aku tau.
Bukan kau. Ugh!” Aku tersengih-sengih mengejek. Lappy kurampas dari Hawa. Hawa
berpeluk tubuh sambil mencebik.
“Soalan apa yang kau tanya pada ustaz? Macam panjang
aje jawapan ustaz tu.” Aku sengih lagi. Soalan yang aku kemukakan pada Ustaz FB
aku baca kuat pada Hawa.
“Assalamualaikum Ustaz FB. Saya Eja. Maaf andai saya
mengganggu ustaz. Saya ada soalan yang ingin ditanyakan pada ustaz. Harap ustaz
dapat jawab ya. Soalan saya berbunyi seperti ini. Para remaja sekarang
terutamanya Muslimah suka benar berpakaian tidak menutup aurat. Ketat, jarang
dan terdedah sana sini. Kalau pun menutup aurat pasti tidak sempurna seperti yang
disarankan oleh Al-Quran. Soalan pertama saya, mengapakah perkara ini terjadi
dalam dunia kita sekarang sedangkan Al-Quran sudah tersebar isi kandungannya di
seluruh dunia. Di sekolah, subjek Agama Islam turut diajarkan pada para pelajar.
Dan soalan kedua saya, bagaimanakah caranya untuk saya menasihati rakan-rakan
saya yang masih culas untuk menutup aurat dengan betul. Saya memang tidak
sempurna tapi saya juga tidak sanggup melihat rakan-rakan saya terus dihantui
oleh dosa. Harap ustaz dapat menjawab soalan saya. Maaf kalau saya membebel
panjang. Hehehe… TQ USTAZ FB.”
Selesai aku membaca soalan itu, Hawa terus
menepuk-nepuk dadanya.
“Aduh! Ouch! Kena tepat pada diri aku. Aku tahulah
aku ni tak tutup aurat dengan betul. Aku masih mencuba kut.” Ujar Hawa dengan
nada suara perlahan. Mungkin dia sudah terasa hati.
Aku pandang muka Hawa. Bahu Hawa aku usap lembut.
“Aku sayangkan kau. Sebab tu aku tanya soalan ni
pada ustaz. Sekarang kita sama-sama baca jawapan ustaz. Mana tahu lepas kita
baca jawapan ustaz, hati kita makin kuat untuk berubah menjadi Muslimah yang
lebih baik. Okey?”
Hawa hanya mengangguk lemah. Memang aku sengaja
menanyakan soalan ini pada Ustaz FB. Motif aku yang paling utama adalah untuk
membuat Hawa tersedar dan kembali ke pangkal jalan. Hawa dan aku memang
bff. Tapi ideology kami kadang-kadang
berbeza. Aku agak kuno dalam berfesyen. Apa lagi dalam hubungan aku dengan
lelaki. Lagilah aku tak reti.
Hawa pula seorang gadis yang pandai berfesyen. Memang dia bertudung. Tapi pakaiannya
kebanyakannya menjolok mata. Aku tak suka dengan cara dia. Tapi kerana kami
saling sayang menyayangi, persahabatan ini masih lagi bertahan hingga ke saat
ini. Kerana aku sayangkan Hawalah aku nak dia buang semua perangai tak eloknya.
Aku nak, aku dan dia sama-sama selamat di dunia dan akhirat. Dan kalau boleh,
semua orang dalam dunia ni aku nak dorang selamat di dunia dan akhirat.
Amin-amin.
#Waalaikumussalam
Eja. Bagus soalan Eja tu. Memang ustaz akui itulah keadaan yang melanda
masyarakat dunia sekarang. Masyarakat Islam khususnya. Kebanyakan para remaja
kini hanyut dengan keseronokan dunia dan jauh dari Islam yang sebenar-benarnya.
Memang Al-Quran
sudah tersebar di seluruh dunia. Mukjizatnya meliputi langit dan bumi. Timur
dan barat. Tapi sayangnya sesetengah dari kita tidak cuba untuk menyelongkar
isi kandungan Al-Quran itu. Segala-galanya ada dalam Quran itu. Fahami dan
amalkan suruhan yang Allah perintahkan pada kita. Salah satunya adalah menutup
aurat.
Ramai orang
cakap TAK BERTUDUNG dan MENUTUP AURAT kerana TIDAK MENDAPAT HIDAYAH.
Hakikatnya, HIDAYAH dan datang sejak 1400 lebih tahun dahulu. Jadi TIADA ALASAN
untuk cakap begitu.
Menutup aurat
itu HUKUMNYA WAJIB bagi SETIAP PEREMPUAN DAN LELAKI YANG MENGAKU DIRINYA ISLAM. Bila namanya WAJIB itu bermakna kalau kita
tak buat dengan betul dosanya kita akan tanggung!
Terdapat Beberapa
Kesilapan Wanita Tentang Aurat :
·
Pertama : Wanita menganggap aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
·
Kedua : Bertudung tetapi ber’ T-Shirt’ berlengan pendek.
·
Ketiga : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
·
Keempat : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu
memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda’.
·
Kelima : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan
hujung rambutnya.
·
Keenam : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di
sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
·
Ketujuh : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka
terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
·
Kelapan : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh
diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
·
Kesembilan : Kesalahan bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan
betis sepanjang jalan.
·
Kesepuluh : Memakai baju kurung tetapi dipergelangan tangan tidak dipinkan
hingga menampakkan kulit lengan.
Firman Allah SWT
yang bermaksud : “Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya,
dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang
terzahir.” (Surah an-Nur ayat 31)
Setiap perempuan
Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga
leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari
perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.
Ustaz harap
jawapan Ustaz sudah menjawab soalan Eja. Dan mengenai nasihat untuk
rakan-rakan, cuba Eja baca kata-kata ini.
Adab-adab
memberi nasihat.
1. Meluruskan
niat sebelum menasihati seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas
menasihati saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya
seorang yang ingin memberikan nasihat itu perlulah bersih dari
segala bentuk niat yang terpesong kerana ia akan memberi kesan ke
atas nasihat yang ingin diberikan. Janganlah menasihati seseorang
itu kerana ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi
tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.
2. Menjaga
ukhuwah semasa menasihati. Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak
diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa
yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah
nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di
depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan
orang yang dinasihati.” Islam mengajar umatnya
supaya mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga
terdapat perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga
hati dan maruah orang yang dinasihati supaya tidak berlaku
perpecahan kerana perkara nasihat.
3. Bersih
hati semasa menasihati. Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk
perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan
perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam
ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita
lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah mereka yang
melakukan perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk
bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah, nasihat adalah
senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.
4. Memikirkan
cara yang terbaik untuk menasihati saudara. Seboleh-bolehnya mengenali
dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah mereka
dengan kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari
situ kita akan tahu apa puncanya mereka begitu.
5. Memberi
waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati
untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang dilakukannya. Manusia
perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah
mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam
berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada Allah. Jadilah
orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah
putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin ujian
yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.
*********
Pagi itu, matapelajaran pertama yang bakal aku
pelajari adalah subjek agama. Tak sabar aku
nak tanyakan soalan itu pada Ustaz Zul. Nak tengok sejauh mana persamaan
jawapan antara jawapan Ustaz Zul dan Ustaz FB nanti.
Hari ini juga aku merasa sangat gembira. Setelah aku
dan Hawa bercakap dari hati ke hati, aku mula nampak perubahan yang cuba Hawa
tampilkan. Dia kini cuba untuk memperbaiki diri menjadi seorang Muslimah yang
lebih baik. T-shirt atas pinggul, kecik dan sendat serta lengan pendek sudah
tidak digayakannya. Tudung juga begitu. Selendang bawal digayakan oleh Hawa
dengan cukup cantik dan memenuhi tuntutan syariat. Alhamdulillah. Perubahan
sudah aku nampak dalam diri bff aku tu. Walaupun sedikit, aku yakin Allah
meredhai perubahan yang dilakukan oleh Siti Hawa binti Adam itu.
“Bangun semua. Assalamualaikum Ustaz…” Suara ketua
kelas, Muhammad Nazmi membangunkan aku dari lamunan. Cepat-cepat aku bangun dan
mengucap salam pada Ustaz Zul.Ustaz Zul kelihatan segak hari ini dengan
mengenakan kemeja biru laut dan dipadankan dengan tali leher warna hitam.
Jangan anggap aku dah jatuh hati dengan ustaz ya. Ustaz Zul dah kahwin pun. Ada
dua orang anak pun okey.
“Okey kelas. Seperti biasa, sebelum ustaz mulakan
kelas, ada sebarang pertanyaan yang korang nak tanya ustaz? Mungkin ada yang
kurang faham dengan bab yang kita belajar minggu lepas.” Selesai membaca doa,
terus Ustaz Zul menanyakan soalan itu.
Lenganku disiku-siku oleh Hawa. Dia seakan-akan
menyogok aku untuk bertanyakan soalan itu pada Ustaz Zul. Aku tarik nafas. Kena
tanya sekarang ke? Huhu… Malunya.Tapi mungkin soalan aku nanti boleh dianggap
satu cabang dakwah. Biar semua budak perempuan kelas aku dengar jawapan Ustaz
Zul. Jihad Eja. Jihad!
“Ustaz… saya ada dua soalan.” Aku angkat tangan lalu
berdiri. Seisi kelas terus memandang ke arahku. Aku cuba buat tak tahu dan
menahan malu. Wajah Ustaz Zul kutatap sekilas.
“Okey, Eja. Apa soalannya.”
“Erm, soalan saya macam ni. Kenapa remaja perempuan
sekarang tak ikut cara menutup aurat yang disarankan oleh Al-Quran? Sedangkan
Al-Quran tersebar di seluruh dunia. Semua orang tahu kena tutup aurat. Tapi
masih ada lagi yang tak ikut perintah tu. Kalau ada pun, tutup aurat dengan
cara yang tak sempurna.Ketatlah, jaranglah. Dan satu lagi soalan saya ustaz,
bagaimanakah cara kita untuk menasihati rakan-rakan yang culas untuk tutup
aurat. Tegur dorang lebih-lebih karang terasa pula.” Aku terus duduk sambil
tundukkan kepala. Hawa di sebelah tidak aku hiraukan lagi.
“Okey. Soalan tu tak masuk dalam bab kita belajar minggu
lepas. Tapi tak apalah. Ustaz akan cuba jawab. Terima kasih Eja atas soalan
bernas tu.” Ustaz Zul bangun dari kerusi. Dia berdiri di hadapan kelas sambil
memeluk tubuhnya. Aku angkat muka memberi fokus kepada Ustaz Zul.
“Memang Al-Quran tu dah tersebar satu dunia. Islam
itu sendiri sudah tersebar diseluruh pelosok dunia. Tapi sayangnya kita sebagai
orang Islam ni tak nak ambil cakna isi yang tersurat dalam Quran tu. Kita
setakat baca dan tak cuba untuk faham apalagi ikut perintah yang ada dalam Quran
tu. Bukan semua macam tu, mungkin hanya sesetengah.” Aku tarik nafas. Macam ada
sama aje dengan jawapan ustaz FB. Oh my Allah.Adakah Ustaz Zul itu Ustaz FB?
“Bab menutup aurat ni lagilah semakin parah. Remaja
sekarang lebih suka berfesyen dari tutup aurat dengan betul. Islam tak pernah
melarang kita berfesyen tapi ada caranya. Kenalah patuhi hukum yang Allah
tetapkan. Dan pasal nasihat tu, nasihatlah dengan ikhlas kerana Allah.
Berhikmah dan berhemah. Jangan sampai orang tu merasa kita nak menghina dia.
Okey semua? Kita mulakan kelas hari ni dengan tajuk baru.” Ustaz Zul segera
menulis sesuatu pada papan hitam. Aku termangu buat seketika mendengar jawapan
Ustaz Zul. Hampir sama dengan jawapan Ustaz FB.
Wajah Hawa aku pandang seketika. Gadis itu menjungkitkan
bahu bagai tidak mampu untuk menyelesaikan kekeliruan yang melanda hatiku.
Benarkah Ustaz FB itu adalah Ustaz Zulkufli Ariffin?
********
“Kaulah…”
“Kaulah…”
“Kaulah pergi. Aku seganlah…”
“Hisy! Kaulah. Kau yang nak tanyakan. Ugh!”
“Kaulah tolong aku. Nanti aku belanja kau burger.
Pergilah. Please Hawa…”
“Kaulah. Aku…” Tidak sempat aku dan Hawa bertegang
urat, tiba-tiba saja pintu bilik guru dikuak dari dalam. Aku dan Hawa segera
mengundur ke belakang memberi laluan kepada orang yang muncul di sebalik pintu
itu.
“Eh, Eja… Hawa. Korang buat apa kat sini? Cari
siapa?” soal Ustaz Zul yang muncul di muka pintu. Aku dan Hawa saling
berpandangan. Kami hanya mampu tersengih sambil garu kepala.
“Cari ustazlah.” Tiba-tiba Hawa bersuara. Terus aku
siku perut Hawa. Tadi bukan main tak nak cakap. Huh!
Ustaz Zul pandang kami berdua. Dia tersenyum
mesra. “Nak jumpa ustaz? Ada apa ya?”
Aku cuak. Hajat di hati memang nak jumpa Ustaz Zul.
Aku nekad untuk menanyakan sesuatu pada ustaz. Mengenai sesuatu yang agak
penting dalam hidup aku.
Hawa menjegilkan matanya seakan-akan menyuruh aku
berterus terang. Aku hanya geleng kepala lemah. Akhirnya…
“Erm, kami nak tanya. Ustaz Zul ada facebook tak?
Yalah kalau ada,kami nak add.” Hawa akhirnya bersuara juga. Itulah soalan yang
aku ingin pastikan jawapannya dari Ustaz Zul. Andai nama fb Ustaz Zul adalah
Ustaz FB, itu bermakna aku sudah menjumpai Ustaz FBku.
Ustaz Zul tersengih sambil geleng kepala. Gelengan
ustaz buat aku dan Hawa sama-sama berpandangan.
“Ustaz manalah pandai main benda-benda tu. Takde.
Ustaz memang takde facebook. Isteri ustaz adalah.” Aku tersenyum hampa
mendengar jawapan Ustaz. Hmm jadi bukan Ustaz Zul yang aku cari-cari selama ni?
“Erm, kalau macam tu takpelah ustaz. Lain kali kalau
ustaz dah buat fb ke twitter ke, ustaz cakap kat kami eh. Kami masuk kelas
dulu.” Aku cepat-cepat tarik tangan Hawa pergi dari situ. Hilang semangatku
untuk memikirkan hal ustaz FB lagi.
“So, apa kau nak buat lepas ni?” tanya Hawa sambil
menoleh ke arahku.Kami mula melangkah bergerak ke kelas kami yang terletak di
tingkat 3. Anak tangga didaki satu persatu dengan malas. Aku jungkit bahu.
“Berhenti berharap ajelah Eja. Mungkin perkenalan
kau dengan Ustaz FB setakat dalam fb aje. Nasihat dia yang berguna kau ambil.
Tak perlulah kau simpan impian untuk kenal dia lebih dekat. Mungkin dia juga
seorang yang cukup peribadi orangnya.” Panjang lebar Hawa menasihati aku. Aku
cuba terima saranan Hawa dengan hati yang cukup berat.
Sememangnya aku teringin benar untuk mengenali Ustaz
FB itu. Mungkin benar aku terpaksa melupakan hasratku itu. Ustaz FB hanyalah
seorang lelaki di alam maya yang tidak mungkin akan aku kenali sampai
bila-bila. Hmm… Andai itu takdirnya. Aku redha.
*******
Tiga minggu kemudian…
Aku menatap lama gambar profil Ustaz FB. Status
terakhirnya aku baca.
Ustaz FB
#Di dalam As Shahih diriwayatkan dari Abu
Hurairah Radhiyallahu’anhu bahwa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam
bersabda :
“Apabila
seorang anak Adam meninggal, maka akan terputus amalannya kecuali tiga perkara
: sedekah jariyah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak shalih yang mendoakan
kepadanya”.
Fokus
Ustaz adalah ilmu yang bermanfaat.
Hal ini boleh dilakukan dengan cara seseorang mengajarkan ilmu kepada manusia
perkara-perkara agama mereka. Ini khusus bagi para ulama yang menyebarkan ilmu
dengan cara mengajar, mengarang dan menuliskannya. Orang awam juga mampu
melakukannya dengan cara ikut serta di dalamnya berupa mencetak kitab-kitab
yang bermanfaat atau membelinya lalu menyebarkannya atau mewakafkannya. Juga
membeli mushaf lalu membagikannya kepada orang-orang yang membutuhkan atau
meletakkannya di masjid-masjid. Hal ini menganjurkan kita untuk mempelajari
ilmu dan mengajarkannya, menyiarkannya dan menyebarluaskan kitab-kitabnya agar
mampu mengambil manfaat sebelum dan sesudah kematian dia.
Manfaat ilmu akan tetap ada selama di
permukaan bumi ini masih ada seorang muslim yang sampai kepadanya ilmu
tersebut. Berapa banyak ulama yang meninggal semenjak ratusan tahun yang lalu
tetapi ilmunya masih ada dan dimanfaatkan melalui kitab-kitab yang telah
dikarangnya lalu dipakai dari generasi ke generasi sesudahnya dengan perantara
para muridnya kemudian para pencari ilmu setelah mereka. Dan setiap kali kaum
muslimin menyebutkan nama dia, mereka selalu mendoakan kebaikan dan mendoakan
agar Allah merahmati dia. Ini adalah fadhilah dari Allah yang diberikan kepada
siapa saja yang dikehendaki. Berapa banyak generasi yang diselamatkan Allah
dari kesesatan dengan jasa seorang alim, maka alim itu mendapatkan seperti
pahala orang yang mengikutinya sampai hari kiamat.
Sekarang di zaman moden yang serba canggih,
kita boleh menggunakan saluran seperti laman-laman social facebook dan twitter
untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Jadi, jangan risau. Untuk melakukan
kebaikan terdapat banyak caranya. Sampaikanlah ilmu walaupun secebis ayat
Al-Quran.
Ilmu bermanfaat itulah menjadi amalan yang
tidak akan terputus sekalipun kita sudah tiada di dunia. Selamat malam semua.
Ustaz nak tidur dulu. Assalamualaikum.
6
Februari 2013. Itulah status terakhir Ustaz FB. Hatiku sebak bila teringatkan
hal itu. Tak sangka status itu merupakan satu petunjuk. Petunjuk bahawa Ustaz
FB akan pergi buat selamanya. Ya Allah, tempatkanlah Ustaz Fahmi bin
Burhanuddin di samping orang-orang yang soleh dan beriman. Amin.
Tiga
minggu sebelumnya…
“Eja…
Eja…” Aku yang sedang kusyuk menelaah buku teks Biologi segera memalingkan muka
memandang ke arah Hawa yang baru muncul di kamar tidurku.Aku tersenyum padanya.
Awal pula Hawa sampai hari ni.
Hawa
melangkah penuh lemah ke arahku. Di tangannya ada sehelai akhbar. Akhbar apa
pulak yang Cik Siti Hawa baca ni?
“Eja…
Kau jangan sedih. Aku… aku ada sesuatu nak tunjukkan pada kau.” Hawa
menghulurkan akhbar yang dipegangnya padaku. Terus aku ambil akhbar itu. Aku
tilik akhbar itu tanpa mengerti apa-apa. Kenapa pula Hawa minta aku jangan
sedih?
“Ada
apa? Apasal kau bagi aku surat khabar
ni? Ada apa-apa berita menarik ke?” Tajuk utama akhbar yang aku pegang kubaca.
Geng Kapak PJ Berjaya Ditumpaskan Pihak Polis. Okey Geng Kapak. Mesti kes samun
ni.
Tak
semena-mena tiba-tiba saja Hawa memeluk tubuhku. Aku tercengang dengan
tindakannya.
“Uit…
apahal ni? Peluk-peluk pulak.” Naik geli aku dengan Hawa ni. Demam ke apa hari
ni.
Hawa
merungkaikan pelukannya. Akhbar yang aku pegang diambilnya.
“Ustaz
FB kau. Aku dah tahu siapa ustaz tu sebenarnya.” Kata-kata Hawa buat aku
terkesima. Terus kurampas akhbar itu. Aku baca satu persatu tajuk yang terdapat
dalam akhbar itu. Mana Ustaz FB? Takde pun.
Tanpa
kata Hawa menghalakan jari telunjuknya pada satu tajuk kecil yang terdapat di
bahagian paling bawah akhbar. Tajuknya berbunyi… Ustaz Alam Maya Meninggal Dilanggar
Lari.
Aku
pandang muka Hawa meminta dia menjelaskan apa yang sebenarnya sudah berlaku.
Ustaz Alam Maya? Siapa?!
“Ustaz
FB kau dah meninggal Eja. Dia… dia dah takde…” Sebak suara Hawa saat itu. Aku
gelengkan kepala. Artikel itu aku baca sambil menahan rasa sedih yang mula
bertandang.
Bota, PERAK – Seorang lelaki meninggal dunia
dilanggar lari oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda di sini semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu membabitkan seorang lelaki
yang bertugas sebagai seorang guru tahfiz di Sekolah Agama Bota, Perak. Ustaz
Fahmi bin Burhanuddin meninggal di tempat kejadian.
Menurut saksi, arwah memakirkan motosikalnya
di pinggir jalan untuk turun membeli kuih di warung berdekatan. Namun, saat
ternampak seekor anak kucing tersekat di tengah jalan besar, mangsa dengan baik
hati membantu kucing itu. Namun tidak sempat arwah berpatah balik, sebuah Jeep
dipandu laju lalu merempuh beliau. Melihat kejadian itu orang ramai meluru ke
arah mangsa dan ada saksi yang sempat mencatat nombor plat kereta suspek.
Salah seorang rakan mangsa yang hanya mahu
dikenali sebagai Ustaz Din, menyatakan bahawa Ustaz Fahmi adalah seorang ustaz
yang dikenali di laman social Facebook sebagai Ustaz FB. Kata beliau lagi, buat
yang mengenali Ustaz FB, harap dapat sedekahkan al-Fatihah kepada arwah dan
teruskan perjuangan arwah untuk berjihad di jalan Allah. Sebarkan ilmu Allah di
seluruh pelusuk dunia.
Suspek kini dijejaki oleh pihak berkuasa
atas tuduhan langgar lari. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh didakwa
mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman
denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 dan penjara tidak kurang dari dua
tahun dan tidak lebih 10 tahun.
Air mata menitis jatuh ke pipiku. Ya Allah, Ustaz FB
dah pergi meninggalkan dunia ini. Gambar kecil yang terdapat di keratan akhbar
itu aku tatap penuh rasa sedih. Akhirnya dapat juga aku melihat wajah Ustaz FB.
Wajahnya cukup tenang. Cukup mendamaikan hati yang melihatnya.
“Hawa… ustaz dah takde… dia dah pergi Hawa.” Kudakap
kemas tubuh Hawa. Di bahu Hawa aku luahkan segala kesedihanku. Sungguh aku
tidak menyangka begini takdir pertemuanku dengan Ustaz FB. Selepas ini, tiada
lagi kata-kata penuh bermanfaaat dari Ustaz FB. Tapi aku berjanji. Berjanji
dengan diri aku sendiri. Pesanan Ustaz FB akan aku pegang. Berjihad di jalan
Allah.Sebarkan ilmu di seluruh pelusuk dunia. Allahuakbar! Al-Fatihah untuk
Ustaz FB.
TAMAT.
#Jadikan laman sosial sebagai medan dakwah dan jambatan untuk kita kumpul pahala.