-BISMILLAH-
Drama Melayu versi ingat mati
"Sehangat Asmara"
- Mengingatkan betapa hangatnya keadaan dalam kubur. Tanpa ada kipas apatah
lagi air-cond. Mengiring berseorangan dalam liang
lahad, setiap ketika datang di'peluk' si kembar Munkar dan Nakir. Kadang-kadang
tenggelam 7 kaki ke dalam perut bumi. Kadang-kadang terperosok hilang ke dasar
bumi. Hangat sampai berpeluh-peluh, berdarah-darah. Kadang-kadang terbakar juga
sampai ke kaki. Memang hangat.
"Sebenarnya, Saya Isteri Dia"
- Itulah kata-kata yang tidak lagi kedengaran di dalam kubur. Dulu, tiap-tiap
hari dengar perkataan tu dari isteri tersayang. Dulu, masa ada rupa dan
berharta, isteri manja dan mengada-ngada. Bila dah sakit dan miskin, isteri
lari entah ke mana. Bila dah dalam kubur ni, tak ada siapa-siapa nak mengaku
diri ada kaitan dengan kamu dah. Duduklah sorang-sorang dalam tu. Yang datang
mengaku, adalah amalan kamu. Kalau buruk, maka datanglah ular-kala
jengking-lipan mengaku, "Sebenarnya, kamilah amalan buruk dia." Jika
sebaliknya, maka berdampinglah dengan pemuda kacak yang bernama al-Quran datang
mengaku, "Sebenarnya, saya amalan baik dia. Jauhilah dia dari seksa."
"Teduhan Kasih"
- Bila berada dalam kubur. Kasih anak-anak yang soleh dan solehahlah yang
diharapkan. Moga-moga anak-anak berdoa dan beramal soleh hinggakan kesolehan
mereka menjadi peneduh di dalam lubang kubur yang panas berapi. Harta dan wang
yang disalurkan ke jalan Allah dan menolong fakir miskin, itulah yang membantu.
Ilmu walaupun secebis itulah yang membantu walaupun sebesar kuman update status
nasihat di muka buku. Lepas dibangkitkan dari kubur lak, kita yang kurang amal
ni berharap kasih dan syafaat dari Rasulullah s.a.w. je untuk berteduh di bawah
Arasy dan masuk Syurga. Kalau amal buruk yang dibawa ke akhirat, agak-agak ada
tak "Teduhan Kasih Allah" untuk kita. Sobs.
"Bunga Merah Punya"
- Dulu masa hidup, duk bangga tayang awek, tayang boyfriend di internet
walaupun dikutuk orang ramai. Bangga sakan sampai letak gambar bercium di
facebook dengan caption, "Bunga (nama awek) hanya Merah (nama si bf) yang
punya." Mananya tak bangga, sekali letak dapat 5 ribu likes. Sekali tayang
dapat 10 ribu likes. "Tengok beribu-ribu orang sokong aku, kau ada?"
Entah sebenarnya siapa yang sengal, si couple itukah atau beribu-ribu yang
likes tu. Pedulikanlah. Bila dalam kubur dah ni, cuba hang minta LIKE dari
Munkar Nakir. "Bro, like la..dulu awek aku cun kot. Ramai kot followers
aku." Pasti pukulan padu maut ditekan-tubikan ke atas kepala hang sampai
ke kerak bumi. Selamat mencuba.
"Setia Hujung Nyawa"
- Lubang kubur sentiasa setia menantimu. Tak kira panas atau hujan. Tak kira
bersemak samun. Kadang-kadang manusia ni setia sangat dengan manusia, tapi dia
tak setia dengan agama. Suruhan manusia dia ikut bila dapat ganjaran. Suruhan
Tuhan tak ikut. Solat pun jarang-jarang, tinggal-tinggal, kadang-kadang.
Sedangkan antara persoalan utama di kubur dan akhirat adalah tentang solat.
Setia pada manusia ok. Setia pada Allah dan Rasul tetap kena lebihkan.
"Karlos"
- Drama penuh kesedaran. Kejahatan akan tumpas. Kebenaran akan sentiasa menang.
Masa belum mati, gengster samseng, curi, pecah rumah, pukul orang, rempit,
bohsia, bohjan, hisap rokok, hisap shisha, hisap gam, pil khayal semua nak
rasa, air setan semua nak teguk. "Masa muda ni lah nak cuba segala.
Kenangan ni, bro." Bila dah tua jadi pemimpin pula, sibuk nak tipu org yg
dipimpin. Korupsi, pecah amanah, rasuah, songlap. Ingatlah macam lagu Peter Pan
dalam citer ni, "Tak ada yang abadi." Hebat mana pun kita, tinggi mana
pun kita, kaya berkuasa mana pun kita, tetap ke lubang kubur. Masuk kubur dah
tak boleh dabik dada dah, "Wei aku Genji lah! Langgar ah kalo
berani!" Tak perlu langgar. Cukup dengan seekor lipan gajah sudah buat
dirimu koma dalam lubang kubur.
"Tanah Kubur"
- Ingatlah, Tok Adi sentiasa ada masa untuk mengapankan, memandikan,
menyembahyangkan, menguburkan, melianglahadkan tuan-tuan dan puan-puan semua.
Tok Adi dah pesan, "Mana-mana yang tidak bertamadun mintak LIKE dan FOLLOW
di facebook, buat status lucah merapu, status poyo mintak kaki, letak gambar
dedah aurat, letak gambar couple haram bercium berpeluk bagai, semuanya akan
Tok Adi uruskan. Liang lahad semua dah ready. Tunggu masuk dan kambus je."
Tok Adi ingatkan, dunia ni sementara je. Akhirat jua rumah abadi. "Bagi setiap
orang di facebook ini, kain kapan dah ready. Call je Tok Adi."
Lubang kubur hari-hari kirim salam padamu.
"Bilakah mahu bersatu?"
Nukilan: Muhammad Rusydi (Rusydee Artz)
No comments:
Post a Comment