Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
“Huda, apa cita-cita kamu? Sila kongsi dengan kawan-kawan semua.”
Arahan lisan dari Cikgu Yati membuatkan Nurul Huda yang sedang duduk di atas
kerusi segera berdiri tegak. Ada senyuman malu-malu terbit di bibirnya.
“Cita-cita saya adalah ingin menjadi
seorang suri rumah tangga yang berjaya. Menjadi isteri yang solehah dan menjadi
ibu yang mithali.” Jawapan dari Huda itu telah berjaya menggamatkan suasana
Kelas 4 Anggerik.
“Boooo.”
“Gatalnya si Huda ni.”
“Eee kecik-kecik dah cakap pasal kahwin.
Tak malu!”
Mula ada suara-suara sumbang yang
memberi komen. Huda hanya buat muka slumber. Malas nak melayan rakan sekelasnya
yang kebanyakkan daripada mereka memang seringkali tidak suka dengan apa saja
yang dia lakukan.
“Wah bagus cita-cita kamu tu, Huda. Tapi
nasihat cikgu satu aje. Sebelum kamu menjadi isteri dan ibu yang solehah,
pastikan dahulu kamu menjadi anak yang solehah dan anak yang baik kepada ibu
dan bapa kamu, ya, sayang? Kerana ibu bapa hanya ada satu di dunia. Tanpa
mereka kita tak ada dekat dalam dunia ni.
Ingat pesan cikgu ya, sayang?” Bahu Huda
diusap lembut oleh Cikgu Yati.
Huda angguk saja menerima nasihat itu
dengan hati terbuka. Sememangnya bukan Cikgu Yati sahaja yang memberikan
nasihat seperti itu. Di rumah, hari-hari emak dan ayahnya menghadiahkannya
nasihat serupa seperti itu. Membuatkan hatinya dan fikirannya kaya dengan
nasihat. Dan syukur pada Tuhan, Nurul Huda budak berusia 10 tahun cukup senang
hati mengikuti nasihat-nasihat itu. Membuatkan dia jika dibandingkan dengan
kawan-kawannya yang lain, Nurul Hudalah yang paling matang.
Antara yang Huda ingat pesan emak dan
ayahnya adalah…
“Nurul
Huda, ingat pesan mak ni. Jadi anak yang baik, yang menyenangkan hati orang
tuanya. Yang suka tolong cikgu dekat sekolah. Yang berkawan baik dengan
kawan-kawan.”
“Nurul
Huda, ingat pesan ayah ni. Jadi anak yang mendengar kata. Jangan buat mak
dengan ayah susah hati. Selalu dahulukan Allah dalam apa juga perkara. Kalau
kita letak mak ayah dan Allah tempat akhir sekali, macam mana nak berkat hidup
tu.”
Itu baru dua nasihat yang terlintas di
benak Huda saat ini. Sebenarnya banyak lagi.
“Okey baiklah. Huda boleh duduk. Kita
tanya pulak dekat Imran Hadi. Hadi, sila bangun.” Cikgu Yati bergerak dari meja
Huda ke meja Hadi. Budak lelaki paling pemalu dalam kelas. Selalu tunduk.
Bermaksud selalu langgar tiang bila jalan. Erk.
“Apa cita-cita kamu, Hadi? Kongsikan
dengan kawan-kawan.”
Dengan sopan Hadi bangun dari kerusi.
Dia sempat mengerling sekilas ke arah Cikgu Yati sebelum kembali tunduk ke
bawah.
“Cita-cita saya adalah…”
Semua budak dalam kelas bersiap sedia
memasang telinga. Huda juga sama. Teringin juga dia nak tahu apa cita-cita
budak si pemalu ni. Dalam kelas, Hadi lebih suka bergaul dengan budak lelaki
sahaja. Budak perempuan dia cuba jauhi. Nasib baiklah bukan si Hadi ni yang
jadi ketua kelas kalau tak memang payah Huda nak bekerjasama. Maklumlah dia kan
penolong ketua kelas. Haruslah kena berhubung dengan ketua kelas selalu.
“Cita-cita saya adalah untuk
merealisasikan semua cita-cita dan impian Nurul Huda, cikgu.”
Huda hanya angguk-angguk. Sebetulnya
otak dia tidak berada di situ saat itu. Itu yang tak berapa nak perasan
kata-kata keramat dari Imran Hadi tadi.
“Boleh ulang sekali lagi cita-cita awak,
Hadi?” Cikgu Yati sudah mula urut dada. Dia terduduk di kerusi hadapan.
“Cita-cita saya adalah untuk
merealisasikan semua cita-cita dan impian Nurul Huda, cikgu.”
Kali ini seisi kelas bagaikan mula
sedarkan diri. Si ketua kelas, Ehsan yang sememangnya mudah terkejut didapati
terus kejung di atas lantai dek terkejut sakan dengan pengakuan Hadi.
“Boo! Hadi pun gatal!”
“Elok kita kawinkan dorang cikgu.
Dua-dua tak malu cakap pasal kahwin!”
“Meran! Aku bagitau bapak kau!”
Dalam suasana gamat dan riuh-rendah
seperti perang dunia ketiga itu, Cikgu Yati sendiri tidak mampu bersuara.
Kelihatan ada beberapa orang pelajar perempuan sedang membantu cikgu bertubuh
agak gempal itu melangkah meninggalkan meja cikgu. Pergi bilik rawatan
gamaknya. Punyalah hebat kesan pengakuan Hadi.
Masakan tidak. Imran Hadi - budak lelaki
paling pemalu dalam sekolah. Paling tak suka bergaul dengan budak perempuan.
Anti dengan gadis-gadis. Dengan cikgu perempuan pun dia payah nak bekerjasama.
Hari ini tercatat dalam sejarah sekolah,
Imran Hadi si budak pemalu melafazkan kata-kata itu??? Hadi pasti sudah terkena
demam kura-kura!
Namun dalam keadaan kacau-bilau dan
huru-hara itu, secara tersembunyi ada dua pasang mata telah bertemu. Ada
senyuman pula yang terukir.
Imran Hadi – Nurul Huda. Mungkinkah aka
nada kisah cinta antara mereka? Tak sekarang mungkin besar nanti? Jeng jeng
jeng.
25 tahun berlalu dibawa hembusan masa.
“Abah, dekat sekolahkan ada sorang budak
perempuan ni suka sangat tenung abang lama-lama. Abang takutlah, abah. Dia
macam marah dekat abang aje,” adu Hadi Naufal kepada abahnya, Imran Hadi.
Imran Hadi menjeling pada isterinya. Si
zaujjah hanya mampu tersenyum sambil jungkit bahu.
“Mungkin dia tak cukup tidur tu, abang.
Sebab tu dia tenung abang. Tak adanya dia nak marah abang. Kawan-kawan abang
semuanya baik-baik belaka, kan?” Hadi angkat Naufal duduk di atas ribanya. Anak
sulungnya yang berusia lima tahun ini kini sedang belajar di Little Caliph
Kindergarden. Makin lama makin petah dia berkata-kata. Makin matang juga
orangnya. Tak sangka isu kena usik ini yang anak bujangnya buat laporan.
“Abah, dulu masa abah sekolah, abah
pernah kena tenung lama-lama dengan kawan perempuan tak?”
Dah sudah. Makin dahsyat soalan si
kecil. Hadi garu kepala.
“Jawab jangan tak jawab abang. Hadi
Naufal perlukan jawapan tu.” Si isteri sengaja mendesak. Senyuman nakal tidak
dapat disembunyikan.
Hadi juga sama. Tergelak mendengar
soalan anaknya itu. Baiklah. Jadi dia kena jawablah ni ya.
“Masa sekolah dulu, abah ni pemalu tau.
Memang tak suka kawan dengan perempuan.” Hadi Naufal terangguk-angguk kusyuk
mendengar kisah masa kecil abahnya.
“Abah tak pernah ditenung oleh budak
perempuan tapi abah ada curi-curi tenung muka seorang budak perempuan ni.”
Wajah si zaujjah di sebelah ditatap sekilas. Hadi ukir senyum.
“Budak perempuan tu sekarang mesti dah
besarkan, abah. Dia dah kahwin ke?” soal si kecil.
Hadi senyum lagi. Kahwin? Perkataan itu
buat dia terimbau memori lama.
“Siapa nama budak perempuan tu, abah?” soal
Hadi Naufal dengan soalan bertubi-tubi. Wajah abah dan uminya tidak lepas dari
pandangan mata.
“Nama budak perempuan tu…” Hadi toleh ke
kanan memandang wajah isterinya. Anggukan dari si isteri buat dia meneruskan
cerita tanpa tersekat-sekat lagi.
“Hadi, awak jangan nak gatal eh! Siapa
suka awak!” Terasa mahu meletup jantung Huda saat ini. Dahlah muka dah merah
padam dek menanggung ejekan dari kawan-kawan. Cikgu pun join sekali. Malu, beb. Malu! Mana nak letak muka suci ni!
Hadi yang tidak berani membalas renungan
mata menyala dari Huda hanya tunduk. Dia hanya mampu terus berdiri di
tengah-tengah padang bola jaring itu tanpa suara. Berdiri di atas kerusi. Bukan
kerana didenda oleh cikgu. Tapi didenda oleh Nurul Huda. Sob!
“Bagi saya sepuluh sebab kenapa awak nak
penuhi impian dan cita-cita saya. Cepat bagi!” Huda bercekak pinggang.
Hadi tergagap-gagap nak menjawab.
“Satu!” Huda menjerit.
“Sebab saya suka awak.” Huda telan air
liur. Gatal!
“Dua!” Huda jerit lagi.
“Sebab saya suka awak, Nurul Huda.”
Terasa mahu tercekik Huda saat itu. Gatal, gatal!
“Tiga!”
“Saya suka awak, Nurul Hudaaaa! Empat,
lima, enam, tujuh, lapan, sembilan dan sepuluh. Saya suka awak!”
“Gatalllllllllll!!!!” Bergema suara Huda
di ruang yang luas itu. Budak-budak lain yang melihat keadaan itu hanya mampu
menjadi pemerhati. Memang tak ada yang berani nak masuk campur kalau Nurul Huda
binti Haji Yaakob mengamuk.
“Kalau tak mengenangkan awak ni budak
baik, saya memang dah tumbuk muka awak tau! Sangat tak sesuai awak cakap semua
ni dekat saya, wahai Imran Hadi! Kita baru 10 tahun kut. Kut iya pun nak cakap
suka tunggulah dah besar nanti.”
Terusik hati kecil Hadi mendengar
kata-kata Huda itu. Tidakkah gadis itu punya perasaan yang sama terhadapnya?
Salah ke kalau suka pada seorang budak perempuan? Bukankah itu yang sepatutnya? Takkanlah nak suka dekat budak lelaki.
“Dah turun. Dah tamat saya denda awak.”
Arahan dari Huda tidak bersambut. Hadi masih pegun berdiri di atas kerusi.
“Laa turunlah. Dah nak habis waktu rehat
ni. Jom masuk kelas.” Huda mula nak melangkah. Tak kuasa nak melayan benda tak
penting ni. UPSR pun belum lepas nak cakap pasal suka, cinta konon. Hadi, Hadi…
“Habis tu awak tak suka dekat saya ke?” Hadi
beranikan diri bertanya tanpa mahu turun dari kerusi.
Huda berpaling. Dia pantas gelengkan
kepala.
“Tak,” jawabnya pendek.
“Kalau macam tu siapa yang akan tunaikan
cita-cita dan impian awak untuk jadi isteri solehah bila besar nanti?”
Aduhai. Hampir terpeleot jantung Huda
mendengarnya. Tak sangka Imran Hadi sudah terkena sindrom cinta monyet.
“Itu impian saya. Pandai-pandai sayalah
nak tunaikan macam mana.”
“Tapi saya tetap nak jadi orang yang
tunaikan impian awak tu, Huda.”
Tskk.Huda mati kata. Macam manalah nak
pujuk mamat ni.
Akhirnya dia menapak perlahan mendekati Hadi.
Kepala didongakkan memandang Hadi yang lebih tinggi darinya. Iyalah mamat tu
tak turun-turun dari kerusi.
“Imran Hadi, awak nak saya jawab soalan
awak dengan jawapan orang dewasa ke?” Huda bertanya dengan nada serius.
Hadi angguk.
“Dengar sini baik-baik ya. Emak saya
cakap, jodoh tu rahsia Allah. Sedangkan Goku juga tidak pernah tahu dia akan
dijodohkan dengan Chichi. Doraemon juga tidak pernah tahu sama ada dia akan berkahwin
atau membujang sampai ke tua. Jadi, dengar sini baik-baik…”
Huda tarik nafas. Wajah Hadi ditatap
dalam.
“Antara awak dengan saya, kita takkan
pernah tahu dengan siapa kita akan kahwin. Andai betul awak akan jadi suami
saya bila kita besar nanti, satu aje saya harapkan. Awak berpegang dengan janji
awak untuk tunaikan impian saya jadi isteri solehah.” Hadi sudah sengih
kambing. Harapan kembali bernyawa.
“Tapi kalau kita besar nanti bukan saya
yang jadi isteri awak, saya nak awak janji. Awak tetap akan tunaikan impian
isteri awak tu walau siapa pun dia. Matang tak jawapan saya?” Huda sempat
bertanya.
Hadi angguk laju. “Matang. Tapi pasal
Goku dan Doraemon tu macam budak-budak sangat.”
Erk. Huda picit kepala. “Nak kena ulang
skrip baru ke?”
“Takpe-takpe. Saya dah faham maksud
awak.” Hadi sengih.Huda senyum.
“Dah selesaikan benda ni?” Huda bertanya
inginkan kepastian. Jangan esok Hadi buat press conference nak ajak dia kahwin
sudah.
“Dah selesai.Saya akan ingat kata-kata
awak tu, Huda. Saya ni nampak aje kecik, tapi jiwa saya besar. Saya akan
berusaha untuk jadi budak lelaki yang baik. Demi ibu bapa saya dan demi masa
depan saya.”
Huda tepuk bahu Hadi sekali dua.
“Bagus-bagus. Kita kawan okey?”
Hadi angguk.
“Kawan.”
“Hooreyyyy!!!!” Tak pasal-pasal ada
jambatan muzik dekat belakang. Budak-budak lain bertepuk tangan pada mereka.
Meraikan kes Nurul Huda dan Imran Hadi sudah ditutup. Kes selesai!
“Itulah ceritanya, abang. Kisah abah
dengan budak perempuan tu. Comelkan budak perempuan tu.”
“Ehem!” Si isteri dah batuk-batuk
cemburu.
“Budak perempuan tu umi ke, abah?” tanya
Hadi Naufal, cuba membuat rumusan cerita.
Hadi dan si isteri saling berbalas
senyuman.
“Abang rasa?” Soalan berbalas soalan.
Hadi Naufal garu kepala botaknya. Dia
geleng tidak tahu.
“Abah, tengok tu layang-layang.”
Sepantas kilat Hadi Naufal bangun dari ribaan abahnya. Dia berlari ke tengah
padang berkumpul dengan budak-budak yang bermain layang-layang. Elok cuaca hari
ni. Layang-layang pun terbang tinggi.
“Jom sayang main layang-layang.” Hadi
hulur tangan. Si isteri menyambutnya tanpa ragu-ragu.
“Abang belum jawab soalan Hadi Naufal
tau.” Si isteri berbisik perlahan.
Hadi tersengih.
“Alah tak payah jawab pun tak apa.”
“Kenapa?”
“Sebab orang tu sekarang dah merantau
jauh ke negeri orang.”
Si isteri mengangguk mengiyakan
kata-kata suaminya.
Sambil memaut lengan Imran Hadi, Nurin
Amira bertanya satu soalan cepumas untuk sang suami.
“Abang rasa, sekarang Huda dah jumpa ke
lelaki yang dapat penuhi impian dia untuk jadi isteri solehah?”
Pertanyaan dari isterinya buat Hadi
tergelak lepas. Langkah tetap diatur mendapatkan Hadi Naufal yang sudah
berlari-lari anak sambil memegang tali layang-layang.
“Abang doakan moga dia berjaya bersatu
dengan lelaki tu. Sebagaimana dia doakan abang untuk bersatu dengan sayang.”
Nurin Amira mengulum senyum. Nurul Huda
– gadis yang telah memperkenalkan Imran Hadi kepadanya.
Selepas kejadian Hadi membuat pengakuan
eksklusif itu, hubungan persahabatan antara Huda dan Hadi makin erat terjalin.
Namun semakin lama, Hadi makin resah dan
rasa bersalah untuk meneruskan hubungannya dengan Huda. Semakin meningkat
dewasa, Hadi sedar perasaan sukanya pada Huda kian terhakis. Benarlah Huda
cakap dulu. Perasaan itu hanyalah satu cinta monyet. Hadi tidak menyangka dia
tidak lagi menyukai Huda seperti waktu sekolah rendah dulu.
Mereka berkawan baik. Itu sahaja. Pada
suatu hari, Hadi dipertemukan dengan Nurin Amira berkat bantuan dari Nurul
Huda. Kini Nurin Amira menjadi isterinya yang sah. Dan Nurul Huda akan kekal
menjadi sahabat baiknya dan cinta pertamanya.
Seoul, Korea.
“Dekat Korea ni kita makan kimchi.
Bukannya makan hati macam kau, Huda!” Suara petir Raihan mengejutkan Huda yang
sedang kusyuk menatap skrin laptop.
Pantas komputer ribanya itu ditutup.
“Eleh nak sorok konon. Aku dah nampaklah
kau godek FB siapa tadi. Aduh mak… geram pulak aku tengok kau ni, Huda. Suka
tapi tak cakap. Berpeganglah sangat dengan konsep teman tapi mesra kau tu. Kan
dah melepas.”
“Hisy diamlah kau, mak nenek.” Huda menjerit
geram. Dia berdecit.
“Apa? Nak marah aku? Silakan. Sebelum
kau marah aku baik kau marahkan diri kau sendiri. Sebab apa? Sebab kau minah
stupido yang rela lepaskan seorang lelaki yang baik yang selama ni suka dekat
kau.” Raihan makin bersyarah hebat. Habis dikeluarkan hujah-hujah dan
dalil-dalilnya.
“Dia suka dekat aku waktu sekolah rendah
dulu aje, An. Dah besar ni, hati dia dah berubah. So buat apa aku nak cakap aku
suka dia. Kalau aku cakap pun, bukan dia nak balas cinta aku.”
Raihan geleng. Dia duduk di sebelah Huda
sambil gosok bahu sahabatnya itu lembut.
“Hmm… tak jadi aku nak sembur kau
lebih-lebih tau. Kisah kau memang touching. Tapi jangan risau. Aku ada ubat
untuk hilangkan kesedihan kau.” Raihan bersuara ceria.
Huda yang monyok tidak langsung buat
muka teruja. Malas dia nak melayan. Hatinya masih terluka jugaklah tengok
kebahagiaan rumahtangga Imran Hadi dan Nurin Amira.
Pejam celik pejam celik sudah lima tahun
mereka berdua tu berkahwin. Anak dah sorang. Bahagia aje keluarga dorang tu. Dalam
redha, Huda tetap rasa kecewa setiap kali melihat kebahagiaan yang berjaya Hadi
dan Nurin raih. Redha apanya kalau macam ni. Hmm… mungkin perasaan kecewa tu
hadir sebab Imran Hadi adalah cinta pertamanya. Jadi payah nak hakis.
Al-kisahnya…. waktu sekolah rendah dulu
sememangnya Huda sudah menyukai Hadi. Tetapi tidak mungkin dia menjadi gadis
gedik untuk mengaku perasaannya. Maka dia mula bersahabat dengan Hadi. Dengan
harapan ada jodoh antara mereka. Bermaksud Hadi akan setia dengan kata-katanya.
Dah besar nanti mamat tu akan melamar dia. Mereka akan hidup happy ever after.
Namun takdir Allah bukan begitu. Tuhan
telah menetapkan bukan Nurul Huda yang menjadi pelengkap rusuk Imran Hadi.
Antara mereka hanya ada istilah saudara seIslam dan sahabat baik.
Huda terima takdir itu. Namun dalam
penerimaannya, dia akur untuk tidak lagi berada dekat dengan Hadi. Kerana itu
dia menyambung pelajarannya ke Korea Selatan. Bukan kerana dia peminat tegar
K-POP atau drama-drama Korea namun kerana membawa hatinya yang terluka dan
kecewa. Moga penghijrahannya ke sini dapat membuatkan dia menjadi insan yang
lebih redha. Semua ini adalah kehendak takdir. Huda tahu dia tidak patut terus
berduka lara. Allah pasti akan menyediakan sesuatu yang lebih baik untuknya di
masa akan datang. Sabar. Itulah kuncinya.
“Eh jomlah. Nak pergi ke tak ni? Tadi
bukan main angguk. Tapi tak gerak-gerak jugak minah ni.” Raihan sudah bersiap
dengan beg tangannya. Shawl hitam yang terbelit di kepala dikemaskan bagi lebih
rapi.
“Nak pergi mana? Aku takde moodlah.”
Huda menolak. Sejuk-sejuk macam ni pun nak keluar minah ni.
“Laa keluar jumpa budak freshielah.
Berkenal-kenalan dengan diorang. Manalah tahu ada budak freshie segatal Imran Hadi
yang dulu-dulu tu.” Raihan jungkit kening. Dia tergelak jahat.
Bantal busuk yang sememangnya sudah
berada dalam pelukannya pantas Huda lemparkan tepat mengena ke muka Raihan.
Mati terus gelak sakan Raihan. Dia tarik muka masam sambil cebik bibir.
“Freshie-freshie. Arghhh! Bosannya aku.
Nanti mesti Prof. Cha mintak aku buat macam-macam. Bajet aku ni duta Korea.”
Prof Cha merupakan pensyarah Bahasa Korea yang mengajar Huda dan Raihan di
kolej. Sangat ramah orangnya. Sampaikan sanggup belajar bahasa Melayu
semata-mata nak borak dengan budak Malaysia. Terutama budak nama Nurul Huda.
“Alah takpelah. Anggaplah itu sebagai
amal jariah kau dekat adik-adik freshie. Arasso?”
Huda hanya cebik malas.
“Dah bangun cepatlah ahjumma. Karang
suhu makin sejuk kau jugak yang kena
demam kura-kura.” Raihan tarik kasar lengan Huda memaksa gadis itu bangun.
Dengan malas dan terpaksa, Huda bangun
juga akhirnya. Disarung malas selendang bawal bidang 50 ke kepala. Kiri dan
kanan selendang dipin. Baju sejuk disarungkan ke badan. Beg galas dicapai lesu.
“Jangan duk fikir sangat pasal Meran
Hadi tu. Dia dah bahagia dengan isteri dia. Sekarang kau pun kena bahagia.
Ingat, Nurul Huda. Kau belum jumpa lagi dengan lelaki yang nak dibuat suami
untuk kau realisasikan impian kau jadi isteri solehah. Ayuh kita cari calon
itu! Aja-aja fightinggg, beb!”
Huda sengih sekadar ambil hati Raihan. Otaknya
menerawang memikirkan misi yang Raihan perkatakan tadi. Ada benarnya juga.
Imran Hadi sudah berbahagia dengan
keluarganya. Aku juga berhak bahagia. Aku kena cari kebahagiaan aku sendiri. Kalau
bukan Hadi lelaki tu, aku kena terima. Itu janji aku dengan Hadi dulu. Jadi
sekarang aku kena mula cari bahagia aku. Tapi… ada ke orang nak dekat aku.
Nurul Huda yang tidak berapa cantik dan agak garang ini? Hati kecil Huda
bercakap sendirian.
Langkah diatur mengikut Raihan menuruni
anak tangga. Dewan tertutup bagi pelajar Falkulti Sains Pentadbiran dan
Pengajian Polisi di Seoul National University menjadi destinasi kedua-dua anak
gadis itu. Dekat sana nanti sebuah kisah bakal terlakar. Mungkinkah…?
TAMAT.
#Moral of the stori. Kalau suka cakap suka. Kalau saling suka cepat2 ler nikah ^^ Dan ingat! Untuk bertemu dengan jodoh yang betul, Allah pasti akan pertemukan kita dengan jodoh yang salah dulu. Untuk? Untuk bagi hikmah buat kita.