DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.
-Izinkan Aku MencintaiMu-
“Abanglah yang pergi. Hawa tunggu abang dekat luar. Pergilah masuk.”
“Hisy, kenapa abang pulak. Hawalah. Hawakan perempuan. Adik angkat kesayangan Kak Filzah lagi. Hawalah yang pergi. Abang tunggu sini.”
Hawa ketap bibir bawah. Dia menggeleng.
“Tak nak. Hawa takut nanti Kak Filzah cakap Hawa ni busybody. Baru dua bulan jadi adik angkat dia dah pandai nak menyibuk bagai. Tak naklah.”
Danial garu kepalanya yang sememangnya saat ini sedang gatal. Gatal sebab banyak uban dan ditambah dengan masalah yang tak semena muncul ni.
“Kalau macam tu tak payah cakap apa-apalah. Biar aje Kak Filzah macam tu. Kalau dia sedih, nanti pandai-pandai dialah nak pujuk hati dia sendiri. Kan?” Sengaja Danial menggunakan ayat seperti itu. Dia ingin menjentik hati kecil isterinya. Danial yakin, Hawa pasti takkan sampai hati nak biarkan kakak angkat kesayangannya layan kesedihan sorang-sorang.
“Kak Filzah tu anak yatim piatu, bang. Kesian dia kalau kita biarkan dia layan sedih sorang-sorang. Apa guna dia ada adik angkat kalau Hawa tak mampu buat apa-apa, kan?”
Danial angguk berkali-kali. “Hah, tahu pun sayang. Itulah maksud abang tadi. Hawa tu dah macam keluarga Kak Filzah. Kalau dia ada masalah, Hawa kenalah tanya. Kalau dia tak nak share, kita tak boleh paksa. Yang penting kita dah usaha untuk bantu apa yang patut.”
Kali ini Hawa angguk dengan lebih yakin. Dari luar, dapat dia lihat kakak angkatnya itu sedang termenung panjang di meja kerjanya. Nampak sangat ada masalah besar. Ya Allah, entah apa masalah Kak Filzah. Kak Filzah macam dah bukan Kak Filzah yang dia kenal. Hmm…
“Hawa masuk dulu. Abang doakan Hawa tau.”
Danial angguk. Dia ukir senyuman indah untuk isteri tercintanya. Bahu Hawa ditepuk-tepuk untuk hadiahkan semangat.
“Abang bangga ada isteri macam Hawa. Moga Allah bagi ganjaran pahala pada Hawa.”
Hawa senyum. Hatinya mengucap ‘amin’ di atas doa ikhlas dari suaminya itu. Dia buat semua ni pun ikhlas kerana Allah. Ikhlas nak bantu kakak angkatnya. Tak sanggup dah rasanya hari-hari tengok wanita itu termenung. Nur Hana Filzah – dah jarang senyum, dah jarang ketawa, dah jarang buat lawak bodoh dan paling ketara perempuan tu dah jarang masuk ofis. Kerja pun dah tak lalu nak buat. Besar manalah agaknya masalah yang kakak angkatnya itu hadapi.
Ketukan dari luar membangunkan Filzah yang sedang leka termenung. Pandang saja ke hadapan, di depan pintu bilik sudah terpacak Siti Hawa, adik angkat kesayangannya.
Sedaya upaya Filzah cuba ukirkan senyuman. Diajak Hawa duduk.
“Duduk, dik. Ada apa-apa ke?” soal Filzah tanpa riak. Meja yang berselerak dikemas dengan malas.
“Erm… akak… akak okey?” tanya Hawa memulakan mukaddimahnya. Dia duduk sopan di hadapan Filzah.
Filzah senyum seraya anggukkan kepala. “Okey. Kenapa Hawa tiba-tiba tanya akak okey ke tak?”
“Hah? Err…” Hawa dah mati kata. Sesekali dia toleh ke belakang mencari kelibat suaminya. Danial yang bersembunyi di balik dinding kaca yang ditutupi dengan tirai kelihatan sedang memberi semangat pada isterinya. Hawa tarik nafas lalu dihembusnya berat. Okey, Hawa. Kau bukan busybody. Kau cuma terlalu kasih pada kakak kau ni. Cepat tanya dia. Selami hati dia, Hawa!
“Dik? Kenapa ni? Termenung pulak dia.” Tangan Filzah dah melambai-lambai di depan muka Hawa. Saat dia memandang ke pintu, dia ternampak kelibat Danial. Baru bibirnya nak ukir senyum, Danial dah…
Danial yang nampak Filzah memandang ke arahnya terus cabut dari situ.
“Kenapa dengan Danial tu. Akak tak sempat panggil dia dah lari. Korang berdua okey ke tak ni?” Penuh bingung Filzah bertanya.
“Kitaorang okey, kak. Tapi… Hawa rasa… Hawa rasa akak yang macam tak okey.”
Senyap. Kerja buat Filzah terhenti mengejut. Matanya mula merenungi wajah adik angkatnya yang sudah tunduk memandang ke bawah.
“Kenapa Hawa cakap akak tak okey? Hmm?” soal Filzah dengan suara mendatar.
“Pandang muka akak bila cakap dengan akak, Hawa.” Tegas suara Filzah.
Terus mata Hawa pandang tepat wajah cantik lagi manis milik Filzah. Air liur ditelan kesat.
“Akak tanya sekali lagi. Kenapa Hawa cakap akak nampak macam tak okey? Hmm? Dekat dahi akak ni ada tulis akak tak okey ke?” Serius Filzah bertanya.
Hawa hanya mampu geleng kepala. Dia rasa macam nak menangis aje. Abang, tolong Hawa!
Dapat rasa adik angkatnya sedang cuba menutupi ketakutannya, Filzah bersandar lemah ke kerusi. Dahinya dipicit-picit. Ya Allah, kenapa aku kasar sangat dengan budak Hawa ni.
“Akak minta maaf, dik. Akak tak sengaja nak cakap kasar macam tu.” Badan ditegakkan kembali dan tangannya mencapai tangan Hawa. Ya Allah punyalah sejuk tangan budak ni.
“Akak tak ada salah pun. Hawa yang salah sebab dah macam busybody dengan hal akak. Hawa minta maaf.”
Dahi Filzah berkerut tebal. “Busybody? Hawa? Siti Hawa busybody aka suka jaga tepi kain orang?” Ada tawa halus menyusul.
Hawa kerut kening. Dah kenapa Kak Filzah ni gelakkan aku. Tadi bukan main serius.
“Setahu akak, adik akak ni tak pandai nak busybody hal orang lain. Dia tu asyik busy bercintun dengan hubby dia adalah.” Filzah tahan senyum. Hawa dah berdecit halus.
“Akak! Tak nak kawanlah macam ni!”
Filzah gelak lepas. “Tapi betul apa akak cakap tadi. Hawa mana pandai busybody hal orang lain. Hawa budak baik. Baik sangat.” Seikhlas hati, Filzah memuji. Dia senyum tawar pada adiknya.
“Hmm… Hawa memang tak reti busybody hal orang lain kak. Tapi kalau hal kakak kesayangan Hawa sendiri, Hawa rasa Hawa perlu buat sesuatu.”
“Maksud Hawa?” Tidak dapat Filzah tangkap maksud sebenar Hawa. Kakak kesayangan yang Hawa sebutkan tadi sudah semestinya dirinya sendiri. Tapi hal dia yang mana satu yang Hawa nak busybody sangat tu.
Kali ini Hawa pula yang menggamit tangan Filzah. Wajah ayu lagi manis gadis bertudung di hadapannya ditatap dengan senyuman penuh kasih.
“Hawa minta maaf kalau soalan Hawa ni buat akak rasa tak selesa. Tapi Hawa akan jadi lebih tak selesa kalau hari-hari terpaksa tengok wajah sedih akak. Akak banyak termenung, akak dah jarang gelak, akak dah tak banyak cakap, akak… akak macam dah lain. Kenapa, kak? Akak ada masalah ke? Sharelah dengan Hawa. Hawa kan adik akak. Kalau Hawa boleh tolong, insyaAllah Hawa tolong.”
Tangannya yang digenggam oleh Hawa ditariknya menjauh. Hawa terpaku dengan respon dingin Filzah. Kak Filzah marah aku ke? Hatinya mula tak enak.
Buat beberapa detik Filzah hanya diamkan diri. Dia tunduk sambil pura-pura sibukkan diri menulis sesuatu pada kertas di hadapannya. Hakikatnya sedaya upaya dia menahan diri daripada menitis air mata di hadapan adik angkatnya itu. Keprihatinan Hawa buat hatinya tersentuh. Cukup tersentuh. Ya Allah, rupanya masih ada orang yang kasih pada aku. Aku… aku tak sendirian, ya Allah…
“Akak… akak sunyi, Hawa. Sunyi sangat.” Akhirnya ayat itu terluah dari bibir Filzah.
Hawa pandang tak berkelip wajah Filzah. Pelupuk mata perempuan itu makin bertakung dengan mutiara jernih. Ya Allah mudahkanlah aku untuk menyelami hati kakak kesayangannku ini… Sempat hati kecil Hawa berbisik.
“Sunyi? Akak kan ada ramai kawan. Akak ada Hawa, ada Danial, ada staf-staf yang semuanya hormat dan sayang akak.”
Filzah senyum nipis sambil angguk kecil.
“Iya, betul tu. Akak memang ada korang semua. Tapi…”
“Akak sunyi sebab akak belum ada cik abang ke?” Hawa tersengih lemah. Hisy mulut ni. Apasal laju sangat potong cakap Kak Filzah.
Tergelak lepas Filzah mendengar kata-kata Hawa itu.
“Sejujurnya itulah penyebab utama akak rasa sunyi dulu. Bila tengok orang lain happy aje dengan pasangan masing-masing, dengan anak dorang yang comel-comel… akak rasa cemburu sangat. Makin bertambah-tambah rasa sunyi akak. Tapi sekarang…”
Hawa diam menanti ayat seterusnya keluar dari bibir Filzah. Wanita berusia awal 30-an itu kelihatannya agak payah nak meneruskan kata. Luahkan aje, kak. Hawa ada…
“Tapi sekarang akak mula sedar bukan itu yang menyebabkan akak sunyi. Akak… akak sunyi sebab akak… sebab akak terlalu ego. Ego dengan… Tuhan!”
Mulut Hawa dah melopong. Dia menggeleng tidak mengerti.
“Akak solat, akak tutup aurat, akak suka tolong orang… tapi kenapa semua tu tak mampu bagi akak ketenangan yang hakiki. Itu yang buat akak tertanya-tanya, dik.” Nafas dihela panjang. Filzah tunduk penuh kekesalan.
Nekad menjadi pendengar yang setia, Hawa cuma diamkan diri. Diberi peluang seluas-luasnya pada Filzah untuk meluahkan segala isi hatinya. Luahkan, kak. Luahkan supaya hati akak rasa lega.
“Semua orang nampak akak ketawa, akak senyum bahagia, akak ceria… tapi hakikatnya jiwa akak kosong dan sunyi. Akak mencari sesuatu. Sesuatu yang akak tahu akak perlukan sangat benda tu tapi akak sendiri tak tahu apa benda tu. Dan… entah dekat mana akak mampu cari benda tu.”
Lama Filzah diam selepas ayat terakhirnya terluah. Dia menghela nafas berat. Kepala tunduk. Hati menahan rasa.
“Luahkan semuanya pada Hawa, kak. Hawa sedia dan setia mendengar.” Bersungguh Hawa cuba membuat kakaknya rasa selesa untuk bercerita.
Filzah senyum dalam diam. Dia mengangguk lemah. Sejujurnya dia sudah lama menanti saat seperti ini. Ingin sekali dia mengadu pada seseorang tentang apa yang sedang menghimpit sanubarinya. Makin dibiarkan makin resah jiwa raganya. Makin dibiarkan makin terseksa pula hatinya.
Kepala diangkat semula. Filzah kembali menyambung kisah hatinya.
“Semenjak dua menjak ni, akak selalu tanya pada diri akak. Kenapa… kenapa walaupun akak solat lima waktu sehari semalam, akak berpuasa di bulan Ramadan, akak keluarkan zakat, bersedekah, buat baik dengan orang sekeliling… akak masih belum mampu menjinakkan hati akak untuk hidup tenang. Hati tetap resah bagai mencari sesuatu. Ya, akak faham sifat hati itu sentiasa berbolak-balik tapi… pada kebanyakkan masa akak selalu tewas. Tewasnya akak rupa-rupanya kerana akak terlalu ego dengan Tuhan. Akak tak bersungguh taat pada Dia. Sedangkan Allah sangat pemurah memberi segala kesenangan yang akak miliki sekarang. Akak ego untuk mengaku diri akak ni hamba. Selayaknya seorang hamba itu bersikap seperti seorang hamba. Sentiasa patuh dan taat pada segala perintah Tuhannya.”
“Bila akak duduk sorang diri, akak muhasabah diri akak. Ya Allah… betapa banyaknya nikmat yang akak dapat selama ni. Kebanyakkannya akak dapat secara percuma dari Allah. Tapi… akak sedar akak tak serius dan akak tak bersungguh balas pemberian Allah tu dengan ketaatan akak. Akak solat tapi… solat akhir waktu. Akak tutup aurat tapi… tak sempurna. Akak buat kerja amal tapi… mulut akak tetap cakap keburukan orang. Banyaknya cacat cela yang ada dalam diri akak, dik. Akak… akak tak bersungguh-sungguh sayang Allah. Akak bukan hambaNya yang baik, dik…”
Luruh kembali air mata yang tadinya sudah kering. Filzah diam dalam tangisannya. Semakin dikorek nikmat yang dia dapat dari Tuhan, semakin dia sedar betapa dia banyak berhutang dengan Allah. Semakin diperiksa satu persatu kegembiraan yang dia dapat di dunia ini, semakin dia takut andai di akhirat nanti tiada lagi kegembiraan untuknya. Semakin direnungi dosa dan kelalaiannya dalam beribadah, semakin dia sedar betapa sikitnya bekal yang sudah dia sediakan untuk sebuah perjalanan yang cukup jauh untuk ke alam akhirat suatu hari nanti.
Semakin difikir, semakin dia merasa dirinya cukup hina. Semakin dikenang, semakin dia merasa dirinya seorang hamba yang tidak mengenang budi Tuhan.
Dosa yang dilakukan dianggap ringan seperti lalat yang hinggap seketika di hidung. Hinggap lalu terbang. Betapa ringannya dosa itu dipandang. Hati mengatakan dosa itu kecil sahaja – Allah pasti mengampunkan aku. Namun diri tidak pernah pula terfikir mungkin yang kecil itu rupa-rupanya cukup besar di pandangan Tuhan. Dosa yang membawa kemurkaan Allah.
Sejujurnya Filzah ingin berubah. Dia benar-benar ingin menyenangkan hati Tuhan, si pemilik jiwa dan raganya. Dia ingin melakukan perkara-perkara yang akan dapat menjadikan dia istimewa di sisi Tuhannya. Redha Allah. Itulah keinginan terbesar Filzah.
“Akak nak berubah, Hawa. Akak nak baiki diri akak. Akak tak nak Allah ambil nyawa akak dalam keadaan akak masih lalai pada Dia. Akak tak nak mati dalam keadaan Dia tak redha pada akak, Hawa. Akak nak jadi hamba kesayangan Dia. Hawa…” Mata Filzah yang sudah basah dialih tepat memandang wajah Hawa.
Hawa yang juga sudah basah pipinya dek air mata yang gugur mengalir, hanya mampu diam. Hatinya sebak. Jiwanya juga rasa rabak dengan impian besar dari kakak kesayangannya itu. Sungguh dia juga inginkan pengakhiran yang cukup indah untuk bertemu dengan Tuhan.
“Hawa bantu akak. Hawa ajar akak untuk jadi hamba Allah yang taat. Hawa cakap aje apa yang perlu akak buat. InsyaAllah akak akan cuba ikut. Akak tahu Hawa mampu bantu akak. Hawa dan Danial hidup dengan jiwa yang tenang. Korang bahagia. Akak yakin hanya orang yang dekat dengan Allah, cukup dengan Allah sahaja yang akan mampu memiliki jiwa yang tenang. Si pemilik jiwa yang tenang hadapi apa saja ujian dari Tuhan dengan tenang. Bila diuji, dia sabar. Bila diberi nikmat dia bersyukur. Akak nak jadi macam tu, dik. Bantu akak, dik…”
Hawa angguk berulangkali. Dia bangun menegak lalu bergerak laju mendapatkan Filzah. Didakap erat kakak kesayangannya itu. Mereka berdua berpelukan kemas.
“Sama-sama kita berusaha jadi hamba Allah yang memiliki hati yang tenang kak. Ketenangan di dunia dan kebahagiaan yang hakiki di akhirat nanti… InsyaAllah peluang masih ada untuk kita tempah tiket kita ke syurga Allah, kak…” Dalam sebak, Hawa berkata-kata.
Akan dia cuba sedaya upaya untuk membantu kakak angkat kesayangannya ini. Moga Allah berikan dia jalan. Alhamdulillah. Ini semua kehendak Allah. Allah yang mengurniakan rasa istimewa ini hadir dalam hati Filzah. Dan Allah jualah yang akan memberi jalan untuk wanita itu mencari cintaNya. Bukankah apabila Allah ingin memberi kebaikan kepada seseorang itu, Dia akan memberi kefahaman agama kepadanya?
“Assalamualaikum, umi.” Hawa dan Puan Hanisah yang mesra dipanggil ‘umi’ bersalaman dan saling berdakapan mesra.
“Waalaikumussalam, Hawa. Hawa apa khabar? Datang dengan Danial ke?” soal Puan Hanisah seraya mengukir senyuman.
“Datang dengan Kak Filzah. Kenalkan, umi. Inilah Kak Filzah, kakak angkat yang selalu Hawa ceritakan pada umi tu.”
Puan Hanisah mengangguk. Tak sempat dia hulurkan tangan, Filzah lebih dulu menghulurkan tangan. Mereka juga berdakapan mesra.
“Hisy kita ni. Berdiri depan pintu aje. Masuklah. Filzah, Hawa jemput masuk.” Sedar mereka bertiga berborak di hadapan pintu rumah, segera Puan Hanisah mempelawa Hawa dan Filzah masuk.
Mereka bertiga melangkah ke ruang tamu. Masing-masing duduk sopan di atas sofa. Hawa di sebelah umi angkatnya merangkap guru mengajinya terus menyampaikan hajatnya. Tak mampu nak tahan-tahan lagi.
“Umi, sebenarnya Hawa ada benda nak minta tolong dengan umi,” ujar Hawa sambil senyum manis.
Puan Hanisah mengangguk. Sesekali dia menatap wajah ayu gadis bernama Filzah itu. Subhanallah memang cantik betul kakak angkat Hawa ni. Sebelum ni dengar dari cerita Hawa aje. Sekarang nampak depan-depan.
“Apa yang boleh umi tolong, insyaAllah umi tolong. Moga-moga Allah mudahkan urusan kita semua.”
Hawa senyum lalu angguk. Sempat dia mengerling pada Filzah yang sedari tadi diam tak bercakap. Hawa tahu Filzah segan.
“Erm… baiklah biar Hawa terus terang aje. Macam ni, umi. Kakak angkat kesayangan Hawa ni sebenarnya… dia nak jadi anak murid umi jugak.”
Puan Hanisah pamer muka bingung. “Maksud Hawa?”
“Maksud Hawa, Kak Filzah nak mengaji dengan umi. Macam Hawa mengaji dengan umi.”
Kali ini barulah muncul senyuman di bibir Puan Hanisah. Dia mengangguk kecil.
“Ya Allah ingatkan apalah tadi. Sengaja buat suspen ya budak ni.” Dipicit manja pinggang Hawa. Hawa terus gelak sambil naikkan jari peace. Filzah ikut gelak sama.
“Saja aje nak usik, umi.” Tersengih Hawa pada ibu angkatnya. Namun beberapa detik kemudian wajahnya kembali serius.
“Hmm… tapi Hawa serius ni. Yalah kenalah tanya dulu. Sebab Hawa tahu umi dah ramai anak murid. Kutlah dah tak ada tempat untuk Kak Filzah.”
Puan Hanisah senyum lagi. Tapi kali ini senyumannya beralih pada Filzah. Tangan Filzah dicapai lalu digamit mesra.
“InsyaAllah… masih ada peluang untuk Filzah belajar mengaji dengan umi. Allah yang gerakkan hati Filzah ke sini. Umi yakin Dia dah sediakan sesuatu yang terbaik untuk Filzah. Jangan risau. Allah pasti akan mudahkan.”
Damai hati Filzah mendengar kata-kata itu. Dia senyum lalu angguk yakin. Ya, Allah pasti akan memudahkan jalan hamba-hambaNya yang benar-benar mahu kembali kepadaNya.
Filzah nekad untuk berhijrah. Dia ingin menjadi hamba Allah yang lebih taat. Apa yang kurang dalam amalannya selama ini ingin dia perbaiki dan tambahkan lagi. Sesiapa yang memilih jalan agama sahaja yang mampu untuk hidup tenang dan bahagia. Selagi jauh dari agama, itu bermakna kita jauh dari Allah. Dekat dengan agama, akan dekatlah kita dengan Allah. Apabila Allah telah kukuh di dalam hati, campaklah apa saja ujian, InsyaAllah kita akan mampu menghadapinya. Kenapa? Kerana kita yakin – sangat yakin bahawa semua yang berlaku atas izin Allah. Bila dia menguji, pasti Dia akan hadirkan sekali jalan penyelesaiannya. Dipakejkan sekali dengan ganjaran besar andai kita bersabar dengan ujian itu.
“Bila kelas boleh mula, umi?” soal Filzah dengan penuh semangat.
“Bagus bacaan Filzah.” Pujian itu terucap di bibir Puan Hanisah setelah dia dan Filzah selesai bertilawah al-Quran. Kini mereka duduk di dapur sambil minum petang.
“Terima kasih, umi. Besar pujian tu. Tak layak saya,” balas Filzah segan.
Puan Hanisah senyum. Lemah lembut dan cukup sopan wanita yang duduk di hadapannya ini berbicara. Andai saja dia ada anak lelaki, harus dia merisik Nur Hana Filzah ni.
“Umi, boleh saya tanya sesuatu.” Filzah bersuara memecahkan kebisuan.
Senyumannya terukir. Hatinya sangat damai lagi bahagia saat Puan Hanisah memanggilnya sayang. Hidup sebatang kara di dunia ini menyebabkan Filzah sudah jarang benar mendapat panggilan istimewa itu dari seseorang yang bergelar ibu atau ayah.
“Sekarang saya dah mula berjinak balik dengan al-Quran. Dulu saya pernah tinggal al-Quran cukup lama, umi. Sampai dah tergagap-gagap nak baca. Tapi Alhamdulillah Allah tetap mudahkan saya baca ayat-ayat cinta Dia ni. Cumanya…”
Filzah tunduk. Kata-kata diteruskan dengan perasaan segan menyerbu ke hati.
“Seakan-akan saya masih gagal mencari titik ketenangan tu, umi. Dah tiga bulan berlalu. Jiwa ni masih tetap rasa sunyi dan lemah. Apa lagi yang patut saya buat, umi. Saya dah cuba jaga solat. Saya juga dah mula berjinak-jinak tutup aurat dari kepala hingga ke kaki. Saya cuba tapi kenapa macam usaha saya ni terasa berat. Saya takut saya tewas dalam perjuangan ni, umi.”
Puan Hanisah diam. Ada keluhan halus terbit di bibirnya. Bahu Filzah diusap lembut.
“Filzah, dalam dunia ni sebenarnya ramai orang yang baik-baik. Dan ramai juga antara mereka yang rajin beribadah, suka kumpul pahala. Tapi, nak. Antara ramai-ramai tu tak ramai yang mampu untuk istiqamah dengan kebaikan yang mereka lakukan.”
Tekun Filzah mendengar butir bicara penuh hikmah dari guru mengaji merangkap umi angkatnya itu.
“Bukankah Nabi Muhammmad SAW berpesan pada kita, amal yang paling dicintai oleh Allah itu adalah yang terus menerus dilakukan walaupun hanya sedikit. Istiqamah dengan apa yang kita buat, sayang. Dalam keadaan sekarang umi mengagak Filzah mungkin nak buat semua ibadah yang ada. Filzah nak kutip banyak pahala. Iya, kan?”
Lemah Filzah mengangguk. Ya dia memang nak tingkatkan amalannya. Kalau boleh dia hanya nak duduk atas tikar sejadah beribadat kepadaNya.
“Tak salah apa yang Filzah buat tu. Tapi apa guna kalau kita bersungguh hanya di awal namun pada akhirnya kita tewas. Maafkan umi… bukan maksud umi untuk melemahkan dan merendahkan usaha Filzah. Umi cuma takut Filzah kalah di akhir perjuangan ni. Kerana syaitan itu tak pernah berhenti untuk kucar-kacirkan hati kita, nak.”
“Buat masa sekarang istiqamahkan amalan Filzah. Biarlah setakat solat sunat dua rakat Dhuha sekali pun. Biar ia berterusan. Biar kita sebati dengan amalan tu. InsyaAllah Allah pasti akan membuka jalan lain pula pada kita. Dengan sendirinya kita akan cuba memperbanyakkan amalan pula nanti.”
“Filzah nak tahu tak apa amalan yang mula-mula umi buat secara istiqamah dulu?”
“Setiap hari umi akan pastikan umi dirikan dua rakaat solat sunat taubat. Walau penat, walau malas, umi paksa diri untuk tunaikan solat tu. Sebab umi tahu umi ni banyak dosa. Dosa sentiasa melingkari hati umi. Dengan buat solat tu, umi rasa dosa umi terampun oleh Allah. Umi dapat rasa Allah ada dekat dengan umi. Dia masih bagi harapan pada umi. Keampunan ada untuk umi.”
Puan Hanisah senyum indah pada anak angkat barunya itu. Pipi kanan Filzah diusap lembut.
“Apabila hamba-hambaKu bertanya kepada engkau (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku memperkenankan permohonan orang yang meminta jika dia meminta kepada Aku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan aku serta beriman kepada Aku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.”
Terus gugur air mata Filzah mendengar ayat-ayat cinta yang cukup-cukup indah itu.
“Ini bukan kata-kata umi, nak. Ini kata-kata Allah. Walau lemah, walau hampir rebah, walau tersungkur sekali pun… teruskan. Teruskan berdoa dan meminta pada Dia. Dia terlalu sayang pada kita, nak…”
Perlahan kepala Filzah mengangguk. Mutiara jernih makin galak menuruni lekuk pipi.
‘Ya Allah… izinkan aku mencintaiMu….’ Hati kecil Nur Hana Filzah merintih penuh pengharapan.
TAMAT>>>>>>
#Jangan lupa tinggalkan komen anda ^_^